Sunday, February 20, 2022

Pembangkang lesu tersasar, 2 sebab.. Menurut PKS K'tan

Pengarah Pusat Kajian Stategik (PKS) Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof,'strategi di Johor agak tersasar.'

Langkah pembangkang makin lesu di Johor

Oleh M FAQIH

PILIHAN 
Raya Negeri (PRN) Johor merupakan edisi keempat siri PRN pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 14. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara begitu kerap PRN diadakan.

Biarpun begitu PRN pernah diadakan di Kelantan pada 11 Mac 1977. PRN itu diadakan selepas Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dibubarkan. Sebelum itu berlaku krisis politik di Kelantan. Pertembungan Menteri Besar Mohamad Nasir dan pimpinan PAS diketuai Mohd Asri Muda.

Mat Nasir disingkirkan melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun). Namun, penyokongnya membantah. Mereka berhimpun sehingga mencetus darurat.

Biarpun berlaku krisis dalaman PAS, namun ada aktornya. Di sebalik darurat itu banyak kajian melihat peranan Umno di sebaliknya.

Situasi yang berlaku ketika itu cukup mendebarkan. Krisis politik dan keamanan tergugat, maka PRN diadakan. Lojik dan munasabah PRN sebagai jalan penyelesaian.

Begitu juga PRN di Sabah pada 26 September 2020. Ia bermula dengan krisis politik. Kerajaan Warisan diketuai Shafei Apdal hilang sokongan majoriti.
Shafie hilang majoriti di Dun.

Beberapa Adun Warisan meninggalkan Shafie. Mereka menyatakan sokongan terhadap Musa Aman. Kumpulan terbabit iaitu Hamisah Samad (Tanjung Batu), Osman Jamal (Balung), Bolkiah Ismail (Pitas), Masiung Banah (Kuamut) dan Muis Picho (Sebatik).

Namun, usaha Musa (Umno) untuk kembali menerajui kerajaan gagal. Shafei tiba-tiba membubarkan Dun. Akhirnya Warisan tumbang di gelanggang PRN Sabah.

Maka ramai berhujah PRN Sabah wajar. Situasi politik ketika itu benar-benar gawat. Situasi serupa juga melanda Melaka. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti.

Dua Adun BN, seorang dari Bersatu dan Bebas hilang kepercayaan terhadap Sulaiman. Maka PRN Melaka diadakan pada 20 November 2021. PRN tersebut wajar kerana mengambil kira krisis politik yang berlaku.

Begitu juga PRN Sarawak. Ia perlu diadakan selepas penggal ke-12 tamat. PRN sepatutnya diadakan pada Jun 2021, namun Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di seluruh Sarawak bermula 2 Ogos 2021 hingga Februari 2022. Darurat kerana wabak Covid-19.

Bagaimanapun 3 November 2021 baginda memperkenan pembatalan proklamasi darurat. Berikutan itu PRN 12 diadakan pada 18 Disember 2021.

PRN Johor ‘belum wajib’

PRN Sarawak bukan sahaja perlu, malah wajib. Namun, bagaimana pula dengan PRN Johor. Apakah ia berada skala wajib dan perlu.

Apa pun tengok apa kata menteri besarnya. Hasni Mohammad dilapor berkata, PRN diadakan kerana kerajaan PN tergantung (hung government).

Kerajaan Johor sebelum ini dibentuk hasil koalisi antara BN dan PN dengan 28 kerusi. Manakala pembangkang pula 27 kerusi. Bagaimanapun 1 kerusi kosong berikutan kematian Adun Kempas Osman Sapian Disember lepas.

Biarpun kekosongan satu kerusi, namun kerajaan PN masih lagi ada kelebihan satu kerusi. Namun, Hasni tetap bimbang kerana katanya Speaker Dun dari Amanah.

“Situasi Melaka dan Johor jauh berbeza. Di Melaka hilang majoriti selepas wujud satu pakatan baru sehingga membawa kepada pembubaran Dun.

“Tetapi di Johor pembubaran dilakukan kerana kerajaan yang kukuh diperlukan untuk merangka lebih banyak pembangunan,” kata menteri besar Johor.

Jelas di sini, keperluan PRN di Johor sekadar mahu kerajaan yang kukuh. Agendanya untuk merangka lebih banyak pembangunan.

Tentunya, pembaca nampak perbezaan antara PRN di Johor berbanding di Melaka, Sarawak dan Sabah. Hasni mengakui mahu sebuah kerajaan yang kukuh.

Bagaimanapun, pemerhati politik melihat di sebaliknya. Ia ada agenda terancang untuk menyingkirkan Bersatu daripada kerajaan. Usaha itu terbukti berjaya dilakukan di Melaka.

Namun, bagi Pengarah Pusat Kajian Stategik (PKS) Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof, strategi di Johor agak tersasar.

Pertama, katanya PRN Melaka diadakan ketika belum ada kelibat pengundi 18 tahun. Sedangkan, di Johor berlaku penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas. Ia susulan pendaftaran automatik Undi18.

“Jumlah pengundi itu mencatat peningkatan kira-kira 28 peratus,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Kedua, kata Dr Wan Nik, Umno dan BN berdepan dengan kluster mahkamah. Ketika PRN Melaka kes Ahmad Zahid Hamidi belum diputuskan.

Bagaimanapun pada 24 Januari lepas Mahkamah Tinggi mengarah Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim mendapati pasukan pendakwa berjaya menimbulkan kes prima facie semua tuduhan terhadap Zahid.

“Kes presiden Umno itu mampu mempengaruhi pengundi lebih-lebh pemilih muda. Mereka benci rasuah dan tolak penyelewengan,” ujarnya.

Kes itu tambah mendebarkan apabila bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pula mendakwa Ahmad Zahid Hamidi pernah bertemunya.

Kata laporan itu Zahid meminta Muhyiddin campur tangan kes mahkamah yang dihadapinya. Muhyiddin dilapor berkata Zahid melawatnya selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri.

Umno juga berdepan laluan sukar apabila enam kerusi Dun dimenangi pada PRU lepas bawah majoriti 1,000 undi. Dun terbabit iaitu Buloh Kasap dimenangi Zahari Sarip dengan majoriti 877 undi.

Selain itu Dun Sungai Balang (Zaiton Ismail – 174 undi), Dun Machap (Abu Taib Abu Bakar – 404 undi), Layang-Layang (On Hafiz Ghazi – 364 undi), Parit Raja (Rashidah Ramli – 638 undi) dan Kukup (Md Othman Yusof – 862 undi).

Mengambil kira kegetiran itu Umno/BN hanya mampu bertahan di 10 kerusi. Selebihnya 46 kerusi lagi ada pengaruh PH dan PN.

Begitu juga kondisi pembangkang. PH dilihat sukar mengulangi kejayaan PRU14. PH tidak lagi berpadu kerana PKR sudah membawa diri.

Muda yang baharu belajar masuk gelanggang pun tidak memilih logo PH. Pembangkang jelas kelihatan semakin lesu.

Apa pun percaturan Zahid kelihatan tempang. Silap haribulan disebut orang ‘mendengar bunyi guruh di langit, air di tempayan dicurahkan.’ Itukah wajah Umno? – HARAKAHDAILY 18/2/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pembangkang lesu tersasar, atas 2 sebab.. Menurut Pengarah Pusat Kajian Stategik (PKS) Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof.

Benarkah percaturan Zahid kelihatan tempang?  Mendengar bunyi guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Itukah wajah Umno?

2 comments:

  1. Ayuh tumbangkan parti kris. Presiden pun tak betul, macam mana parti nak betul. Parti pun tak betul,macam mana nak betulkan negara.

    ReplyDelete