KOTA TINGGI: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Barisan Nasional (BN) supaya mewajibkan calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mengangkat sumpah menentang rasuah dan tidak menyalah guna kuasa.
Kata beliau, BN perlu melakukan sebagaimana PN mewajibkan semua calon-calonnya yang dipilih perlu mengangkat sumpah.“Macam mana kita buat di Melaka, hanya Perikatan Nasional di negeri Melaka di mana calon-calon yang bertanding angkat sumpah menentang rasuah, tidak akan salah guna kuasa.
“Kita nak cabar pada BN buat apa yang kita nak buat, ikrar bukan sekadar ikrar, akujanji biasa, Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya nama, kad pengenalan dan alamat yang datang daripada parti sekian-sekian akan bertanding sebagai calon bersumpah bahawa saya tidak akan melakukan perbuatan-perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.
“Saya fikir ini penting kerana kita nak melihat ada satu iltizam yang betul-betul bersungguh-sungguh bila mana kita telah diberikan amanah dan kuasa oleh rakyat, kita nak mentadbir uruskan kuasa-kuasa yang telah diamanahkan.
“Kita mesti (menggunakan) cara yang betul, telus yang dikehendaki oleh agama dan jangan sekali-kali melakukan sesuatu perbuatan yang salah bertentangan dengan undang-undang mencuri, merompak jauh sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Johor di Taman Pasak Indah, di sini malam tadi.
Turut berucap ialah Timbalan-timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Senator Dato’ Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Antara pemimpin yang hadir ialah Pengerusi STAR, Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan, Pengerusi SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Pengerusi Bersatu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari dan Timbalan Setiausaha PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.
Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 19/2/2022
2 comments:
alamak padang merbuk tutup la. kalau tak boleh panggei geng ounta pi kumpul tengok. bising je la tapi dok sokong sokmo. yang nak jawab korang jugak, selamat turun dua kupang. moga berbahgia selalu hingga anak cucu. yang penting bior le pimpinan naik mercedes akunaik moto jadi le..
Alamak. Abam pun tak berani angkat sumpah. Kalau buat angkat sumpah, nanti tak boleh buat dosa. Fitnah pun tak boleh buat, sedangkan itu nyawa parti liberal. Tanpa fitnah, parti liberal pupus.
Post a Comment