Saturday, February 19, 2022

Politik wang mengundang rasuah -Presiden PAS. Komen IH.

 

1. Politik wang mengundang rasuah

AL-QURAN membawakan cerita yang benar, bahawa politik wang menjadi amalan bangsa Yahudi dan salah satu sebab yang menjadikan mereka kumpulan paling dimurkai oleh Allah SWT. Akibatnya, mereka juga pelaku dan penggalak kepada amalan rasuah yang paling aktif kerana kuatnya aqidah kebendaan mereka, sehingga melampau tanpa mengira hukum agamanya dari sudut halal mahupun haram yang ada persamaan dengan ajaran Islam.

Setiap Muslim diwajibkan berdoa pada setiap rakaat solat yang ditunaikan agar Allah SWT tidak menjadikan mereka sepertimana bangsa Yahudi itu. Antara amalan bangsa tersebut ialah amalan politik wang, khususnya apabila mereka ingin melantik ketua negara. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ٢٤٧﴾

“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: ‘Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kalian.’ Mereka menjawab: ‘Bagaimana dia mendapat kuasa untuk memerintah kami, sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan dia pula tidak diberikan keluasan harta kekayaan?’ Nabi mereka berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kalian, dan telah mengurniakan kepadanya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan.’ Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya.” (Surah al-Baqarah: 247)

Aspek kebendaan dan harta dijadikan dasar dan matlamat kehidupan mereka tanpa sempadan agama. Ternyata perkara tersebut juga menjadi kepercayaan mereka, apabila mereka meminta Nabi pada zamannya untuk memohon kepada Allah SWT agar melantik seorang raja yang memimpin bagi mengembalikan kedaulatan bangsanya yang telah dijajah dengan hina.

Namun, mereka menolak calon yang ditunjukkan oleh Allah SWT secara wahyu kepada Nabi-Nya yang wajib bersifat benar, amanah lagi bijaksana. Hal ini disebabkan Allah SWT telah menentukan seorang individu yang bernama Talut dengan kelebihan ilmu agama dan dunia, serta keberanian. Sekali gus menunjukkan Talut ialah seorang yang berilmu dan berintegriti, suatu sifat yang melayakkan dirinya menjadi pemimpin.

Walau bagaimanapun, kalangan bangsa Yahudi tetap menolak pelantikan Talut sebagai raja kerana dirinya tidak mempunyai harta kekayaan. Mereka menetapkan kekayaan harta sebagai syarat pertama kerana harta dianggap menjadi rukun pertama bagi kehidupan manusia.

Tanpa mengira bahawa harta juga adalah suatu aspek yang penting, tetapi bukanlah untuk didahulukan, kerana aspek-aspek ketokohan bagi mengurus dan mentadbir wajib didahulukan. Antaranya, seseorang pemimpin itu diwajibkan beriman, berakhlak, berilmu dan bersifat gagah berani, sifat-sifat yang lebih penting bagi mengurus dan mentadbir.

Penyakit memuja kebendaan juga mempengaruhi kalangan agamawan (ulama’). Hal ini ada dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَالَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ١٧٦﴾

“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang (alim) yang kami berikan kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. Kemudian, dia menjadikan dirinya melepaskan dirinya daripada mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka mereka termasuk daripada kalangan orang-orang yang sesat. (175); Dan kalau Kami menghendaki, nescaya Kami meninggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Akan tetapi, dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya; maka bandingannya adalah sepertimana anjing. Jika engkau menghalaunya, maka ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Dan jika engkau membiarkannya, maka ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah, bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (176)” (Surah al-A‘raf: 175-176)

Akhirnya, rasuah menjadi amalan biasa dalam kehidupan mereka, sehingga perbuatan itu merosakkan masyarakat dan negara.

Firman Allah SWT:

﴿وَتَرَىٰ كَثِيرٗا مِّنۡهُمۡ يُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ٦٢ لَوۡلَا يَنۡهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّٰنِيُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ عَن قَوۡلِهِمُ ٱلۡإِثۡمَ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَصۡنَعُونَ٦٣﴾

“Dan kamu akan melihat kebanyakan daripada mereka (orang Yahudi) berlumba-lumba dalam melakukan dosa dan pencerobohan (melampau) serta memakan daripada perkara yang haram (riba dan rasuah). Demi sesungguhnya! Amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan. (62)Alangkah baiknya, jika ketua-ketua agama dan pendeta-pendeta mereka, melarang mereka daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan daripada memakan daripada perkara yang haram? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. (63)” (Surah al-Ma’idah: 62-63)

Bencana yang diikuti dengan penyakit rasuah menjadi suatu wabak, bermula daripada golongan atasan sehinggalah kelompok paling bawah. Kemudiannya, datang penyakit kemungkaran yang lebih parah.

Datangnya bertalu-talu, apabila pagarnya memakan padi serta apabila rakyat dibeli dan pemimpin juga dapat dibeli. Seterusnya, diikuti dengan penyakit masyarakat yang datang secara bertalu-talu dan bertali arus, sehingga memusnahkan semuanya, khususnya apabila ia turut merosakkan pembangunan termasuk alam sekitar.

Adalah mustahil negara yang masih mengamalkan politik wang dapat menghapuskan rasuah, kerana wabaknya menjadi payung negara. Pencegahannya sekadar laksana menampar nyamuk di kawasan yang dibiarkan longkangnya terdedah sehingga membiakkan nyamuk berkali ganda banyaknya.

Maka, rakyat yang memilih pemimpin kerana politik wang yang berkonsepkan kebendaan pasti akan menempah kemusnahannya. Hal ini berlaku setelah urusan mereka dijual beli dengan rasuah dan penipuan, semata-mata untuk mengejar kemewahan yang melampau kerana sudah tidak bermoral lagi.

Bahkan, mereka juga sekadar bergembira pada masa kehidupan dunia yang pendek, tetapi berdukacita dalam tempoh masa yang panjang. Begitu juga, mendapat kecelakaan buat selama-lamanya sekiranya tidak bertaubat dengan kembali kepada petunjuk Allah SWT.

Maka, Allah SWT melaknat pelaku, penerima, pemberi dan semua yang terlibat dengan rasuah, termasuklah rakyat yang melantik atau mengundi pemimpin dengan rasuah dan memilih yang mengamalkan rasuah.

Islam menunjukkan pendekatan politiknya dengan meletakkan rukun kehidupan manusia itu mengikut tertib maqasid al-syari‘ah ialah memelihara agama, akal, keturunan, maruah dan harta. Pada masa yang sama, meletakkan syarat integriti syakhsiah berprinsipkan aqidah agama, akhlak dan ilmu bermanfaat menjadi konsep tanpa mendahului harta.

Hal ini demikian kerana, harta tanpa syakhsiah yang berintegriti tidak akan mampu menguruskan harta dan masyarakatnya. Akan tetapi, harta boleh dihasilkan dengan kemampuan ilmu dan syakhsiah yang berintegriti.

Harta kekayaan sahaja tanpa integriti boleh merosakkan dan menghabiskan harta dengan sia-sia. Ilmu tanpa integriti menjadikan seseorang itu penipu, semuanya akan merosakkan diri, masyarakat dan negara.

Allah SWT menyebutkan asas pemilihan Makkah yang tidak mempunyai sumber harta sebagai tempat bermulanya Islam melalui firman-Nya:

﴿لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ١ إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ٢ فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ٣ ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۢ٤﴾

“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). (1); (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke Negeri Yaman), dan pada musim panas (ke Negeri Syam). (2); Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. (3); Tuhan yang telah memberikan makanan kepada mereka yang menyelamatkan mereka daripada kelaparan, dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4).” (Surah Quraisy: 1-4)

Prinsip ibadat yang menghasilkan taqwa diletakkan di tempat pertama, kerana daripada situ akan melahirkan sifat integriti yang sebenar, kemudiannya diikuti dengan konsep kehidupan dan keamanan. Prinsip ibadat adalah bagi melahirkan syakhsiah dan membina insan bertaqwa yang berintegriti serta menjadi asas kepada aspek yang lain supaya manusia itu beristiqamah.

Al-Quran menyatakan secara tegas dan nyata berkenaan konsep menegakkan negara berdaulat yang membawa kemajuan yang penuh dengan keberkatan, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan mungkar; dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 40-41)

Ayat di atas mewajibkan ibadat sehingga setiap pemimpin itu bertaqwa, seterusnya melahirkan integriti yang tulen berasaskan iman yang melahirkan pula sifat adil dan istiqamah. Integriti tanpa iman dan taqwa hanyalah satu bentuk kepura-puraan sahaja.

Allah SWT menjanjikan keberkatan dengan iman dan taqwa, seiring dengan itu turut memberikan amaran sekiranya sifat-sifat tersebut tiada pada seseorang pemimpin. Perkara tersebut dihuraikan melalui firman-Nya:

﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ٩٩﴾

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan ke atas mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (96); Patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97); Atau patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98); Patutkah mereka (bersuka ria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah? Kerana sebenarnya tiada yang merasa aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (99)” (Surah al-A‘raf: 96-99)

Maksud berkat ialah menguruskan hal ehwal dunia daripada harta dan kedudukan yang mendatangkan faedah untuk dunia dan akhirat. Perkataan berkat merupakan istilah Islam yang tidak terdapat dalam mana-mana ideologi dan teori ciptaan manusia. Apabila pangkat dan harta tidak mendatangkan sebarang faedah, hal tersebut bermakna tiada keberkatan.

Kita juga menyaksikan betapa negara yang ditegakkan dengan kebendaan tanpa iman dan taqwa, serta melahirkan integriti yang palsu adalah terlalu rapuh, tidak boleh bertahan lama dan akan mengalami keruntuhan bila-bila masa sahaja. Sebenarnya, kita telah menyaksikan keruntuhan kuasa besar dahulu kala dan terkini keruntuhan sosialisme dan komunisme.

Kini pula terserlah tanda-tanda keruntuhan ideologi liberal kapitalisme. Semua ideologi dan teori ciptaan manusia adalah berkonsepkan duniawi dan kebendaan yang tiada wawasan akhirat.

Islam bukan sahaja mencegah rasuah melalui tindakan undang-undang negara dengan dikenakan hukuman ta‘zir, bahkan mengharamkannya dengan amaran dosa yang akan dihukum selepas mati kepada semua yang terlibat dengan amalan tersebut dan menjadi penyebabnya. 

Allah SWT membawakan suatu cerita benar yang berlaku pada Hari Kiamat nanti kepada mereka yang menyesal tiada berguna kerana bersekongkol bersama pemimpin yang salah. Termasuklah juga pemimpin yang diikuti kerana mengamalkan politik wang. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿إِذۡ تَبَرَّأَ ٱلَّذِينَ ٱتُّبِعُواْ مِنَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُواْ وَرَأَوُاْ ٱلۡعَذَابَ وَتَقَطَّعَتۡ بِهِمُ ٱلۡأَسۡبَابُ١٦٦ وَقَالَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُواْ لَوۡ أَنَّ لَنَا كَرَّةٗ فَنَتَبَرَّأَ مِنۡهُمۡ كَمَا تَبَرَّءُواْ مِنَّاۗ كَذَٰلِكَ يُرِيهِمُ ٱللَّهُ أَعۡمَٰلَهُمۡ حَسَرَٰتٍ عَلَيۡهِمۡۖ وَمَا هُم بِخَٰرِجِينَ مِنَ ٱلنَّارِ١٦٧﴾

“(Iaitu) ketika pemimpin yang menjadi ikutan itu berlepas diri daripada orang-orang yang mengikutinya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus. (166); Dan orang-orang yang menjadi pengikut itu berkata: ‘Sekiranya kami mendapat kesempatan (untuk kembali ke dunia), tentu kami akan berlepas diri daripada mereka, sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami.’ Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka yang menjadi penyesalan mereka, dan mereka pula tidak akan keluar daripada neraka. (167)” (Surah al-Baqarah: 166-167)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿يَوۡمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمۡ فِي ٱلنَّارِ يَقُولُونَ يَٰلَيۡتَنَآ أَطَعۡنَا ٱللَّهَ وَأَطَعۡنَا ٱلرَّسُولَا۠٦٦ وَقَالُواْ رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعۡنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا ٱلسَّبِيلَا۠٦٧ رَبَّنَآ ءَاتِهِمۡ ضِعۡفَيۡنِ مِنَ ٱلۡعَذَابِ وَٱلۡعَنۡهُمۡ لَعۡنٗا كَبِيرٗا٦٨﴾

“Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): ‘Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah dan juga kepada Rasul-Nya.’ (66); Dan mereka berkata lagi: ‘Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar (pemimpin) kami, lalu mereka menyesatkan kami daripada jalan yang benar. (67); Wahai Tuhan kami! Berikanlah mereka azab sengsara dua kali ganda lebih berat, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!’ (68)” (Surah al-Ahzab: 66-68)

Lebih malang lagi, apabila mereka sudah tiada kesedaran atau keinsafan, sehingga mereka tidak merasai kemungkaran yang telah dilakukan. Bahkan, perbuatan mereka itu pula dianggap sebagai suatu pekerjaan yang baik dan bijak.

Firman Allah SWT:

﴿قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِينَ أَعۡمَٰلًا١٠٣ ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعۡيُهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ يُحۡسِنُونَ صُنۡعًا١٠٤ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِ‍َٔايَٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَآئِهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فَلَا نُقِيمُ لَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَزۡنٗا١٠٥ ذَٰلِكَ جَزَآؤُهُمۡ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُواْ وَٱتَّخَذُوٓاْ ءَايَٰتِي وَرُسُلِي هُزُوًا١٠٦﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Mahukah Kami khabarkan kepada kalian akan orang-orang yang paling rugi amal perbuatannya? (103); (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.’ (104); Merekalah orang-orang yang mengingkari ayat-ayat Tuhan mereka dan (tidak percaya) akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah (sia-sia) amal perbuatan mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberikan sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada Hari Kiamat kelak. (105); (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya adalah dimasukkan ke dalam neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayat-Ku dan Rasul-rasul-Ku sebagai ejek-ejekan. (106)” (Surah al-Kahf: 103-106)

Ketahuilah bahawa urusan politik juga akan dihisab pada Hari Kiamat kelak kerana kuasa politik itu adalah menaungi kehidupan manusia. Firman Allah SWT:

﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾

“(Ingatlah) pada suatu hari (tatkala pada hari itu) Kami memanggil tiap-tiap umat dengan pemimpinnya; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak akan dianiaya sedikit pun. (71); Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat daripada jalan (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Rajab 1443 / 19 Februari 2022 – HARAKAHDAILY 19/2/2022

2. Komen Weblog Ibnu Hasyim mengenai 'rasuah'.  Bagaimana Nak Hapus Rasuah, Makna Rasuah Pun Tak Lengkap?

Bagaimana Nak Hapus Rasuah, Makna Rasuah Pun Tak Lengkap?

Friday, March 20, 2009

Ibnu Hasyim Catatan Santai

PAK Ibnu. Maaf sekadar nak tahu.. Apa maksud Pak Ibnu takrif ‘rasuah’ perlu dibetulkan menurut Al-Quran Hadis tidak bertopeng dibalik ‘hadiah’, keraian’ dll? Kalau ada masa, sila beri takrifan ringkas.. March 19, 2009 3:41 PM”. 

Demikian komen Dr Hasan PP ke atas tulisan saya Thursday, March 19, 2009 PAS Perlu Perubahan, Wibawakan Majlis Syura Ulama! ...Okey, saya jawab! 

Dalam kitab ‘Riadhus Sholihin’ (Fasal 1 .Haram berlaku zalim dan perintah mengembalikan hak orang’, hadis no 7) dinukilkan sebuah hadis Abu Humaid (Abdurrahman) bin Saad Assaidy RA berkata…

Rasulullah mengangkat seseorang (jadi pegawai) untuk kumpulkan zakat. Namanya Ibnu Allutbiyah dari suku Al’azd. Setelah beliau kembali dari bertugas bertemu Rasulullah (dan serahkan apa yang patut) katanya, “Yang ini untuk kamu (kerajaan pimpinan Rasulullah) dan yang ini saya dapat hadiah dari orang-orang itu!”

Maka Rasululah SAW cepat-cepat naik atas mimbar, setelah memuji syukur kepada Allah kata beliau, 

“Amma ba’du, adapun saya mengangkat seseorang untuk satu tugas yang diberikan Allah kepada saya, lepas itu dia datang dan berkata, ini bahagianmu dan yang ini saya sendiri dapat dari orang-orang (yang dikutip itu)! Mengapa dia tidak duduk saja di rumah ibubapanya hingga datang hadiah itu kepadanya kalau benar-benar demikian (yakni kalau benar-benar orang-orang itu hendak memberi kepadanya bukan kerana tugasnya ke sana sebagai pemungut wang zakat, duduk di rumah pun dapat juga)? Demi Allah, tiada seseorang yang mengambil sesuatu yang bukan haknya, pasti akan dipikulnya di hari kiamat. Akan saya tahu juga seseorang yang memikul unta, lembu atau kambing yang mengembek. (yakni orang itu tidak lepas dari tanggungjawab dan dihisab di akhirat).”

Rasulullah terus mengangkat duatangannya sampai nampak putih ketiaknya, sambil bersabda, “Allahumma hal ballaghtu. Ya Allah! Saya telah menyampaikan.”

Hadis yang dirawikan oleh Bukhari & Muslim itu mentakrifkan ‘sesuatu yang bukan haknya’ hasil perolehan dari khidmat tugas atau jabatannya untuk diri sendiri, selain dari upah atau gaji yang telah diperuntukkan kepadanya. Itulah antara ciri-ciri ‘rasuah’ yang sekarang kini ditopengkan di balik kata manis ‘hadiah’, ‘wang sagu hati’, ‘derma’, keraian, dan lain-lain, yang bukan dapat kepada kerajaan tetapi dapat kepada individu petugasnya.

Walaupun dia Perdana Menteri atau Raja, kalau ‘hadiah’ yang diberi itu kerana jawatannya, maka pemberian itu bukan miliknya, tetapi milik kerajaan atau rakyat. Itulah ‘rasuah’! Jangan main-main, di akhirat penerima-penerima rasuah itu akan dihukum. Itulah salah satu contoh bahawa takrif ‘rasuah’ yang ada sekarang ini tidak lengkap dan perlu dibetulkan semula. Jadi rasuah adalah harta yang diperolehi kerana selesainya suatu kepentingan manusia yang wajib diselesaikan tanpa imbalan lagi (yang tidak sepatutnya diterima).

Kerana itu nabi bersabda ertinya “Rasulullah SAW telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan”. (Riwayat At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih)

Oleh itu ada ulama-ulama yang mentakrifkan rasuah dan sogokan sekurang-kurangnya adalah…

1. Wang, derma, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain.
 
2. Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat.

3. Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya. 

4. Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan. 

5. Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga.

6. Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang di kenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi’

7. Apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan seperti di atas.

Sebagai rujukan di samping beberapa dalil-dalil Al-Quran sila lihat hadis-hadis ini..

1. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah pengkhianatan.” ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Albani : Hadith Sohih ; Ma’alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

2. Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata, “..ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda, “Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)” (Al-Bukhari & Muslim)

3. Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah SAW mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah SAW telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin. 
Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah, “Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh,” Abdullah menjawab, 
“Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kamu lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kamu. Rasuah yang kamu tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!” Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, “Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!” [Imam Malik, Al Muwattha':1450].

4. Rasulullah SAW bersabda, “Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur” [Riwayat Ahmad]. 

Oleh yang demikian, tidak kira samada itu adalah rasuah mahupun hadiah, kedua-duanya adalah jelas-jelas haram di dalam Islam. Semua harta yang diperolehi dari jalan rasuah adalah haram, menyimpannya adalah haram, membelanjakannya adalah haram. Justeru, setiap penerima, pemberi dan perantara yang terlibat di dalam keharaman ini wajib dihukum, dan hukuman ke atas mereka adalah ta’zir. Dan banyak lagi. 


Bagaimana pula dengan rasuah politik. Itulah  yang disebut ‘politik wang’ supaya nampak cantik sikit. Inilah yang memeningkan Tengku Ahmad Rhithaudden selaku Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO sekarang ini yang terpaksa bertindak kepada Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Khairy Jamaluddin atau entah siapa-siapa lagi. 

Bagaimana hendak menghapuskan rasuah hingga ke akar umbi? Pada saya ianya tidak akan selesai, kalau takrifnya pun masih belum lengkap lagi. Takrif perlu dibetulkan, walaupun melibatkan amalan pemimpin-pemimpin tertinggi atau Sultan.

Sekian catatan santai untuk kali ini.

Ibnu Hasyim (kiri): Tolong Saudara Baru SeIslam Muallaf Ini.. Semasa di Perak..

ibnuhasyim.com
e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com
Mac 20, 2009. KL

No comments:

Post a Comment