Sunday, February 20, 2022

SOP beri kelebihan kepada BN -K/Pemuda PN

 

SOP PRN Johor beri kelebihan kepada BN

JOHOR BAHRU: Prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini hanya memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana parti itu mempunyai pengundi teras di negeri berkenaan.

Berbeza dengan gabungan parti di dalam PN katanya, ketetapan SOP yang diumumkan itu memberikan kekangan kepada pihaknya untuk mengadakan kempen dengan lebih terbuka, berbanding BN yang merupakan parti awal yang menapak di negeri itu.

“Agak longgar berbanding (SOP) Melaka tetapi belum lagi longgar sebagaimana yang kita mahukan. Sebagai contoh ceramah dibenarkan di bilik-bilik operasi yang sangat sempit, begitu juga beberapa kaedah lain yang masih memerlukan kelonggaran

“Kalau SOP ini dikekalkan, ia hanya akan memberikan kelebihan kepada BN yang mempunyai pengundi teras di Johor ini,” katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Bagaimanapun, beliau optimis dengan ruang diberikan bagi melakukan kempen secara fizikal, termasuk ceramah menggunakan pelbagai pendekatan bagi menarik minat pengundi muda dalam PRN Johor.

“Kita yakin insya-Allah sekiranya SOP MKN ini tidak menghalang kita, kita boleh beroperasi sebagaimana pilihan raya-pilihan raya yang lain, tidak ada masalah untuk berjumpa dengan anak-anak muda.

“Semalam ketika pelancaran PN Johor kita dapat lihat bagaimana sambutan anak muda yang begitu hebat sekali. Saya pun bertemu dengan anak-anak muda, berjumpa mereka dan mereka melahirkan komitmen untuk bersama dengan PN dalam PRN Johor,” ujarnya.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkongsi SOP Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor di saluran Telegram rasminya menyatakan, hanya individu lengkap divaksinasi dibenarkan hadir.

Penganjuran ceramah, syarahan atau kempen pada PRN Johor dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

SOP yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu menyatakan, penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala setiap aktiviti hanya dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam.

SPR turut menetapkan penganjur, urus setia, penceramah dan peserta dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter di antara satu sama lain serta memakai pelitup muka.

SPR menetapkan SOP program merangkumi mengawal pintu masuk dan kehadiran peserta ke dalam pejabat parti atau bilik gerakan parti dengan hanya memastikan satu laluan untuk masuk dan satu laluan untuk keluar.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 19/2/2022

Lihat seterusnya..
Siri Analisis PRN Johor

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails