Friday, February 18, 2022

Temuan dengan Duta Qatar. Afghan, Islam kembali bersinar..

1. Utusan Khas PM adakan pertemuan dengan Duta Qatar

KUALA LUMPUR: Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengadakan perbincangan lanjut dengan Duta Qatar ke Malaysia, Fahad Mohd Y. Kafoud semalam.

Pertemuan tersebut berkisar hasil dari susulan lawatan kerja beliau ke Qatar bagi membincangkan peranan yang perlu diambil oleh Malaysia dalam usaha membantu membangunkan Afghanistan terutamanya dalam bidang pendidikan, kemanusiaan dan ekonomi.

“Insya-Allah tindakan susulan akan diambil oleh pemegang-pemegang taruh bagi menjayakan usaha murni ini,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau sebelum ini telah menyempurnakan lawatan kerja selama empat hari ke Qatar pada 31 Januari hingga 4 Februari  dengan mandat dan persetujuan Perdana Menteri.

Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah pada 4 Februari lalu menyatakan tujuan lawatan itu adalah untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia-Qatar yang sedia terjalin serta membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama di rantau Timur Tengah dan umat Islam seluruhnya.

Menurut kenyataan itu, sepanjang lawatan di Doha, Tuan Guru Abdul Hadi telah mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan Qatar dan pemegang taruh utama seperti Perdana Menteri, Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdul Aziz Al-Thani, Menteri Perdagangan dan Industri, Sheikh Mohamed bin Hamad bin Qassim Al-Abdullah Al-Thani, Penolong Menteri Luar dan Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Lolwah binti Rashid Al-Khater.

“Fokus utama lawatan ini adalah untuk menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan termasuk penyelarasan misi bantuan kemanusian, di samping membuka pintu kerjasama baharu antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan kebajikan bagi manfaat bersama,” ujar kenyaatan itu lagi. – HARAKAHDAILY 17/2/2022

2. Islam kembali menyinar di bumi Afghanistan

SEJAK Ogos 2021, Bumi Afghanistan telah kembali dipimpin oleh kumpulan Islam Taliban apabila pihak Amerika Syarikat tidak lagi memberi sokongan ketenteraan kepada Kerajaan Afghanistan di bawah kepimpinan Ashraf Ghani. Kemenangan Taliban mengusir Amerika Syarikat itu telah memberi tamparan yang hebat kepada musuh Islam di seluruh dunia.

GAMIS memuji usaha Kerajaan Malaysia melalui Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah ke arah mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Afghanistan. YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Afghanistan ke Malaysia, TYT Dr Moheb Rahman Spingar hasil dari susulan lawatan kerja YB Tan Sri ke Qatar bagi membincangkan peranan Malaysia dalam usaha membantu membangunkan Afghanistan terutama dalam bidang pendidikan dan kemanusiaan. 

Melihat perkembangan yang berlaku di Afghanistan setelah hampir 6 bulan bertukar kerajaan, GAMIS melihat usaha ke arah membaikpulih ekonomi sedang giat dijalankan oleh Taliban. Namun, hal ini akan lebih mudah dijayakan jika sekatan ekonomi dan pembekuan aset yang merupakan tulang belakang ekonomi Afghanistan ditamatkan. Dalam hal ini, negara-negara Islam seharusnya berganding bahu bagi memastikan usaha ini berjalan dengan baik demi menjaga kebajikan rakyat Afghanistan. 

Seawal peralihan tampuk kepimpinan di Afghanistan, kerajaan baharu Afghanistan telah menegaskan bahawa mereka akan menjadikan Islam sebagai sistem negaranya. Hukum hudud, perundangan Islam dan cara hidup Islam termasuk pakaian kebangsaan Afghanistan kembali diamalkan khususnya dalam acara rasmi kerajaan. Islamofobia juga tidak lagi menjadi topik hangat yang dibicarakan dalam kalangan masyarakat bukan Islam di sana. 

Oleh itu, GAMIS melihat usaha untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara perlu diteruskan melalui program bantuan kemanusiaan ke arah memastikan kebajikan saudara seagama kita di sana terpelihara. Hal ini sejajar dengan sabda Rasulullah S.A.W:

‎مَثَلُ ‌الْمُؤْمِنِينَ ‌فِي ‌تَوَادِّهِمْ، ‌وَتَرَاحُمِهِمْ، ‌وَتَعَاطُفِهِمْ ‌مَثَلُ ‌الْجَسَدِ ‌إِذَا ‌اشْتَكَى ‌مِنْهُ ‌عُضْوٌ ‌تَدَاعَى ‌لَهُ ‌سَائِرُ ‌الْجَسَدِ ‌بِالسَّهَرِ ‌وَالْحُمَّى.

“Bandingan hubungan persaudaraan dalam kalangan orang-orang yang beriman (umat Islam) dalam hal saling menyayangi, bersimpati dalam kalangan mereka dan mengasihi laksana hubungan anggota dalam satu jasad, apabila salah satu anggota itu kesakitan, maka seluruh anggota jasad turut berjaga dan demam (merasai kesakitan).”

(Riwayat Muslim 2586)

Sebagai umat Islam, kita tidak sewajarnya termakan dengan berita palsu rekaan media Barat yang hanya memotretkan cerita buruk pasca peralihan kuasa yang berlaku di Afghanistan. Sebaliknya, kita harus sentiasa memberi sokongan terhadap segala usaha ke arah memartabatkan Islam di muka bumi ini. 

Akhir kata, GAMIS menyeru seluruh umat Islam untuk sentiasa mendoakan agar kebangkitan Islam di Afghanistan dapat memberi kesan yang positif kepada negara-negara Islam yang lain termasuklah Palestin, Bumi Baitul Maqdis kita tercinta.

“Membangun Kesatuan Mahasiswa”

MUHAMMAD YUSUF NAZARUDDIN

Timbalan Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)HARAKAHDAILY  18/2/2022

3. Apa salah kami perlu bayar pampasan mangsa 9/11?

KABUL: Sentimen umum di Afghanistan ialah Amerika Syarikat (AS) telah merampas wang milik 38 juta rakyat Afghanistan terhadap kesalahan yang tidak mereka lakukan.

Bagi Rizakullah, 35, mengambil wang daripada rakyat Afghanistan dengan alasan untuk membayar pampasan keluarga mangsa 9/11 ketika Afghanistan dilanda kebuluran adalah perbuatan keji. Buruh di ibu negara Afghanistan bertanya mengapa penduduk negaranya dihukum.

“Untuk mencari 100 Afghanis (AS$1/RM4.2) sehari pun sangat susah. Saya tidak mampu membeli roti kosong untuk keluarga.

“Kami diasingkan dari tempat lain di dunia ini dan dihukum terhadap jenayah yang tidak kami lakukan,” katanya.

Pada 11 Februari lalu, Presiden AS, Joe Biden, menandatangani perintah mencairkan aset Afghanistan bernilai AS$7 bilion (RM29.3 bilion) yang kini dibekukan di AS, tetapi diasingkan dengan sebahagian untuk membayar pampasan keluarga mangsa 9/11 dan sebahagian lagi untuk bantuan kemanusiaan Afghanistan.

AS$3.5 bilion (RM14.6 bilion) diasingkan untuk mahkamah di AS menentukan sama ada boleh digunakan bagi menyelesaikan tuntutan keluarga mangsa 9/11. Tindakan ini akan memufliskan Bank Pusat Afghanistan dan meletakkan negara yang sedia miskin dalam malapetaka ekonomi.

Mengikut Bank Dunia, kadar pendapatan di Afghanistan merosot hingga 18 peratus dalam beberapa tahun lalu dan menjelang pertengahan tahun ini, Pertubuhan Buruh Antarabangsa menjangkakan 900,000 orang akan kehilangan pekerjaan. 

Sekatan AS terhadap Afghanistan sejak kumpulan Taliban mengambil alih pemerintahan Ogos tahun lalu, juga menghalang usaha pertubuhan antarabangsa membantu rakyat Afghanistan. Kerajaan Emiriah Islam Afghanistan berpendirian bahawa aset berkenaan milik Afghanistan dan patut dipulangkan kepada negara itu.

“Simpanan Bank Pusat Afghanistan bukan milik kerajaan atau kumpulan tertentu, tetapi hak rakyat Afghanistan. Ia hanya digunakan untuk perlaksanaan dasar matawang, memudahkan perdagangan dan meningkatkan sistem kewangan negara,” kata jurucakap kerajaan, Suhail Shaheen.

Katanya, membekukan atau mencairkan aset secara sebelah pihak untuk apa tujuan pun adalah tidak adil serta tidak boleh diterima oleh rakyat Afghanistan. Nasair Khan yang berhijrah dari Khogyani di daerah Nangarhar ke sini, lapan tahun lalu dan kini bekerja sebagai pekerja binaan bergaji hari, tidak dapat mencari kerja yang sesuai.

“Wang itu milik kami. Jika tidak dapat, kami akan terus sengsara,” katanya.

Kumpulan hak asasi manusia dan penganalisis memberi amaran bahawa AS$3.5 bilion yang diketepikan untuk bantuan kemanusiaan tidak cukup untuk membaiki keadaan di Afghanistan melainkan keadaan ekonomi dipulihkan.

“Mengagihkan AS$3.5 bilion untuk bantuan kemanusiaan kepada penduduk Afghanistan kelihatan pemurah, tetapi perlu ingat bahawa seluruh AS$7 bilion dari sudut undang-undang adalah milik rakyat Afghanistan,” kata Human Right Watch, minggu lalu.

Kembali di Kabul, Inzar Gul dari daerah Kapisa yang mencari kerja di Kabul apabila ditanya sama ada dia tahu mengenai keputusan Biden: “Dunia sedang memerhati kami dihalang mendapat keperluan asas: makanan, pendidikan, pekerjaan, kesihatan. Perang memusnahkan kami.

“Apa salah kami? Kenapa kami perlu bayar?” – TRTWorld

No comments:

Post a Comment