PASIR PUTEH: Kerajaan Pusat merancang menjadikan Tok Bali sebagai pelabuhan hub halal terbesar di Pantai Timur dan rantau Asia menjelang tahun 2025.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, antara produk yang dihasilkan termasuk berasaskan ikan dan pruduk-produk hiliran yang dikeluarkan oleh Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
“Tok Bali berpotensi besar menjadi pelabuhan terkemuka kerana ia menjadi laluan utama ke negara-negara seperti Cina, Thailand dan Vietnam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Keluarga Malaysia peringkat Parlimen Pasir Puteh, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kelantan Khuzaimah Hussin dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Mohd Hanifa Awang Su.
Dr Nik Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, bagi tujuan itu beberapa kemudahan asas antaranya kilang air batu yang bernilai lebih RM10 juta sedang dibina bagi memenuhi permintaan nelayan tempatan.
Selain itu, kerajaan juga akan membina pangkalan khas untuk perusahaan ikan tuna yang dihasilkan pengusaha bot laut dalam di perairan antarabangsa bagi tujuan eksport ke luar negara, selain memenuhi permintaan dalam negeri.
“Saya cukup yakin pelabuhan itu akan menjadi pusat perdagangan yang terkenal kerana ia disokong pula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan intensif percukaian oleh kerajaan yang akan menarik lebih banyak pelabur ke Tok Bali.
Pada pertengahan bulan lepas Menteri Kewangan, Tengku Dato Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meluluskan cukai khas untuk memacu pelaburan di Tok Bali sebagai pusat pertumbuhan baharu di Kelantan.
Selain itu kelulusan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama 15 tahun dan cukai pendapatan pada kadar istimewa selama 15 tahun serta cukai pendapatan 17 peratus bagi lima tahun berikutnya. – HARAKAHDAILY 12/2/2022
No comments:
Post a Comment