2 jemaah ditembak ketika sedang solat di masjid.
MANILA: Dua jemaah ditembak selepas empat lelaki bersenjata masuk ke sebuah masjid, dalam satu serangan berani di Pagadian City di wilayah selatan Filipina, Zamboanga del Sur.
Manila Times melaporkan, polis berkata, serangan pada Khamis lalu itu menyebabkan Salman Maulana Palwa, 39 dan Edon Abas Palwa, 63, cedera.
Salman ialah Presiden Yayasan Jawatankuasa Pembangunan Asia Tenggara Inc.
Jurucakap polis wilayah, Mejar Shellamie Chang, berkata siasatan mendapati, sebelum kejadian, mangsa sedang solat di dalam masjid apabila empat suspek lelaki yang tidak dikenali itu masuk dan menembak mereka.
"Motif serangan tidak diketahui dan tidak jelas, sama ada ada kaitan dengan yayasan bukan berasaskan keuntungan Ustaz Palwa," katanya.
Berdasarkan maklumat, yayasan berusia 27 tahun itu membantu dan memberi peluang kepada umat Islam yang sangat memerlukan bantuan dan sokongan, untuk memartabatkan mereka ke status lebih tinggi dalam aspek amalan agama, ilmu, budi pekerti dan kedudukan ekonomi supaya menjadi individu yang lebih produktif dan takutkan Tuhan.
Penyerang melarikan diri dengan dua motosikal selepas serangan dan sedang diburu polis di Pagadian, di mana serangan senjata api bukan satu perkara luar biasa.
Shellamie berkata, mangsa dikejarkan ke hospital.
Penyiasat polis menemukan sejumlah 18 kelongsong peluru daripada pistol berkaliber 45, yang digunakan lelaki bersenjata itu.
"Kakitangan Balai Polis Bandar Pagadian menjalankan siasatan menyeluruh dan operasi susulan untuk mengenal pasti, mengesan dan menangkap suspek," katanya.
Keluarga mangsa atau yayasan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai tembakan itu. - AGENSI
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Siapa mereka mangsa dan pelaku? Kita belum jelaas maklumatnya..
No comments:
Post a Comment