Friday, March 11, 2022

Beri Peluang PN perintah Johor, lebih baik..

 

1. PRN Johor: Beri peluang PN perintah, perbetul keadaan

JOHOR BAHRU: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan para pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya menunaikan tanggungjawab dengan mengundi Perikatan Nasional untuk membuat perubahan di negeri ini.

Katanya, para pengundi perlu memberi peluang kepada Perikatan Nasional memerintah supaya dapat membetulkan keadaan yang berlaku di dalam masyarakat.

“Beri peluang kepada Perikatan Nasional untuk kami memerintah Negeri Johor supaya kami dapat membetulkan keadaan yang berlaku di dalam masyarakat,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosial beliau.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional turut memberi pesanan itu pada Majlis Ceramah Umum PRN Johor Dun Pulai Sebatang di Bilik Gerakan Dun Pulai Sebatang, Pontian kelmarin.

Beliau berkata, rakyat memiliki tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang benar dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab.

“Hari ini kita melihat penyakit rasuah dan salah laku berleluasa dalam masyarakat.

“Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan petunjuk kepada kita bahawa Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.

“Penyakit rasuah ini harus kita hapuskan daripada terus merebak ke dalam masyarakat,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, ujar beliau PAS dan Perikatan Nasional membawakan calon-calon bagi PRN Johor yang telah bersumpah bagi melawan penyakit rasuah itu.

“Pesanan saya buat pengundi PRN Johor, tunaikan tanggungjawab anda dengan mengundi Perikatan Nasional untuk membuat perubahan di negeri Johor,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Perikatan Nasional bertanding di semua 56 kawasan DUN melibatkan 33 calon daripada Bersatu, PAS (15) dan Gerakan (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala pengundian awal pada 8 Mac.  HARAKAHDAILY 6/3/2022

2. PN juga boleh adakan pembangunan lebih baik dari BN

PONTIAN: Rakyat tidak perlu terpesona atau terpedaya dengan modal janji-janji politik pembangunan kerana ianya merupakan tanggungjawab kepada sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan untuk mengadakannya.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata demikian pada ceramah penerangan Perikatan Nasional (PN) sempena PRN Johor di DUN Benut, di sini malam tadi.

“(Jadi) Pembangunan boleh dibuat oleh sesiapa sahaja seperti jalan raya, hospital dan sebagainya. Sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan, dia mesti melakukan pembangunan. Oleh sebab itu, pembangunan wujud di negara Komunis seperti di Rusia kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan. 

“Oleh itu, kita tidak berjanji sekiranya kita menjadi kerajaan, kita akan membina jambatan atau jalan raya sebab itu adalah tanggungjawab kerajaan. Contoh seperti orang yang berkahwin, apabila dia sudah berkahwin, dia tidak perlu berjanji untuk sampai satu masa nanti nak mengandung dan melahirkan anak. 

“Mana ada seorang lelaki pergi meminta orang perempuan, “Pakcik, kalau bagi Minah ni jadi isteri saya, saya pastikan beranak sore setahun.” Sebab hal tersebut natural. Apabila berkahwin mesti melahirkan anak jika tiada masalah,” ujarnya. 

Jelasnya, hal tersebut sama seperti kerajaan di mana jika Umno boleh lakukan, maka kita PN juga insya-Allah boleh lakukan yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) pernah adakan selama ini.

“Cuba kita lihat Singapura, mana yang lebih maju antara Singapura dengan Malaysia? Tentulah yang lebih maju adalah Singapura. Saya meminta maaf untuk bertanya secara berterus-terang, Umno ada ke di Singapura? 

“Ada BN ke di Singapura? Tiada. Ini bermakna, jika tiada Umno, ia menjadi lebih mudah untuk membangunkan negara. Sehinggakan setiap hari orang Malaysia menyeberangi tambatan Johor untuk bekerja di Singapura,” ujarnya menjentik kewajaran.

Menurutnya, keutamaan rakyat adalah untuk memilih dan mempunyai pemimpin yang baik terlebih dahulu di mana pembangunan akan menyusul setelahnya di mana ianya merupakan hasrat kebanyakan rakyat.

Cerita Dato’ Mohd Amar, semasa beliau mula menjadi wakil rakyat, pernah mengadakan perjumpaan dengan para peniaga Cina di Kota Bharu dengan cara masuk ke dalam kedai mereka sambil berborak-borak. 

“Saya bertanya secara terus-terang, “Mengapa kamu orang Cina sokong PAS? Mengapa kamu sokong Tuan Guru Nik Aziz?” Mereka berkata, “YB, kita bukan mahukan pembangunan atau kemajuan, tetapi yang kita inginkan adalah pemimpin yang baik”,” imbas beliau.

Jaminan terhadap kaum bukan-Islam

Kelantan bentangnya, telah membuktikan betapa masyarakat bukan-Islam dalam kalangan kaum Cina, India dan Siam dapat hidup dengan aman harmoni serta mempraktikkan kepercayaan dan budaya mereka tanpa halangan.

Menurut beliau, sekitar 90 peratus orang bukan-Islam yang merupakan rakyat Negeri Kelantan menyokong PAS menerajui pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan sejak sekian lama.

“Sebagai contoh, kita tidak menyekat hak orang Buddha. Mereka mempunyai tiga patung yang besar misalnya di Tumpat, kita tidak mengejutkan patung yang tidur atau tidak menyuruh patung yang duduk untuk bangun dan di Bachok, kita tidak menyuruh patung yang berdiri untuk berlari. 

“Kita tidak mengusiknya kerana kita menghormati pegangan agama orang Siam dan patung-patung tersebut dibina dalam penempatan mereka. Kita bergerak atas dasar Islam. Di dalam Islam, ada menyebut bahawa kita mesti berlaku adil kepada semua orang tidak mengira sama ada Muslim atau bukan. 

“Setiap orang mempunyai hak yang kita perlu berikan. Oleh sebab itu, sewaktu pemerintahan almarhum Tuan Guru Nik Aziz (Nik Mat), beliau membuat dasar bagi orang bukan Islam seperti Cina, India dan Thai bahawa mereka mempunyai hak “Satu Keluarga, Satu Rumah”. 

“Pastikan mereka mempunyai rumah untuk didiami. Ia berjalan sehingga kini di Kelantan malah di Terengganu. Di tengah-tengah bandar Kota Bharu, terdapat satu pasar yang bernama ‘Pasar Pinang’ seolah-olah seperti pasar kampung. Di situ, orang Cina menjual babi secara terbuka semenjak dahulu.

“Sehingga kini, kita tidak menghalang mereka cuma kita berpesan kepada orang Melayu supaya jangan beli dan makan,” ujarnya pada ceramah turut dihadiri Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik itu.

Ceritanya juga, asimilasi kaum dan budaya antara kaum berlaku dengan sangat cantik dan tersusun hingga setiap orang Kelantan sohor dipanggil ‘Awe’ dan ‘Mek’ di mana kehidupan masyarakat antara kaum tidak pernah ada masalah. – HARAKAHDAILY 9/3/2022

Siri Analisis PRN Johor

  


1 comment:

  1. Kalau kat jepun dah ada yg harakiri bila skandal besar terbongkar. Tapi kat sini, dah terbongkar pun masih muka tebal nak proceed pimpin.

    ReplyDelete