Friday, March 04, 2022

Dukungan seluruh umat Islam bebaskan Palestin

 

KUALA LUMPUR: Perjuangan membebaskan Al-Quds kini bukan sahaja dapat dilihat dari kebangkitan rakyat Palestin, tetapi juga dukungan dari umat Islam seluruh dunia di mana bumi Anbiya’ itu bakal menjadi kubur besar bagi Yahudi.

Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perubahan dan semangat itu juga dapat dilihat pada ramai pemimpin, rakyat dan kerajaan umat Islam di mana ianya lahir dari kemanisan iman yang ada dalam diri mereka.

Beliau mengimbau sejarah antaranya melibatkan Presiden Algeria ketika mahu membantu Mesir dengan mendapatkan senjata dari Soviet Union dan Raja Arab Saudi yang tegas mengugut untuk memotong bekalan minyak kepada negara Barat.

“Alhamdulillah, kita akan saksikan bila berlaku sahaja kejutan, berlaku sahaja kezaliman, seluruh rakyat dunia Islam akan menunjuk perasaan dari Morocco hingga Indonesia, Malaysia akan beramai-ramai keluar ke jalan raya.

“Walaupun mereka tak ada kemampuan, semangat itu ada. Kalau semangat itu alhamdulillah yang pentingnya kita bina semangat itu dengan cara yang praktikal,” ujarnya pada Forum Perdana Ehwal Islam mengupas tajuk ‘Al-Quds, Satu Perjuangan’ di RTM TV1 sebentar tadi.

Jelasnya, kemanisan iman itu menjadi unsur kesedaran bahawa kewajipan membebaskan Palestin adalah tanggungjawab umat Islam di mana menjadi fardu ain kepada umat Islam bangkit mempertahan dan membebaskannya.

Manakala bagi umat Islam yang berada jauh ujarnya, menjadi fardu kifayah di mana boleh dipenuhi menerusi sumbangan harta, pengorbanan kebajikan dan termasuklah doa yang tidak putus-putus atau bermusim.

Program sempena Sambutan Minggu Al-Quds ini bersiaran secara langsung dengan dimoderatorkan oleh Ustaz Mohd Hariri Muhamad Daud dan perantara, Ustaz Rizal Ramli di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.

“Apa yang penting ialah dukungan kita umat Islam seluruh dunia kepada perjuangan Palestin yang menjadi satu kewajipan yang besar. Dan Allah menjanjikan kemenangan di mana mengikut sejarahnya, bahawa Yahudi balik ke Palestin untuk dikuburkan di sana.

“Kerana mereka dilaknat oleh Allah membunuh Nabi-nabi dan Rasul-rasul A.S, membunuh ulamak-ulamak yang setia kepada Nabi dan Rasul. Di mana ajal mereka tamat di Palestin. Dan kita tengah melihat orang Yahudi di mana sahaja mereka berada, akan balik.

“Di sana ada satu mazhab Ortodok nama Naturi Karta, mazhab Ortodok Yahudi yang percaya haram tubuh negara Israel sekarang, tak boleh. Kalau tubuh negara Israel sekarang, cari maut, cari nahas,” terang beliau.

Katanya, kaum Yahudi ternanti-nanti pimpinan Dajal ke atas mereka dan beliau difahamkan perang antara Rusia dan Ukraine juga menyebabkan etnik Yahudi dijemput oleh Israel untuk pulang ke sana.

“Ada pimpinan Islam berkata, apa yang berlaku sekarang laksana wanita yang akan melahirkan anak. Sebelum lahirkan anak, dia keluar darah dulu. Dia sakit dulu.

“Jadi kesakitan ini akan menginsafkan orang Islam, akan bergantung kepada Allah Taala, akan melahirkan buah kemenangan,” ujarnya optimis. – HARAKAHDAILY 3/3/2022

No comments:

Post a Comment