Friday, March 11, 2022

Eksploitasi tubuh wanita dalam pengiklanan

 

IKLAN-iklan yang mengeksploit wanita atau bodypart wanita sebagai daya penarik ini bukan perkara baru. Yang lebih pelik dari itu, ada kala produk yang diiklankan tiada perkaitan langsung dengan wanita, tetapi tetap modelnya wanita, pun ada.

Contohnya dalam pameran kereta dan sukan lumba motor. Tubuh wanita sering digunakan untuk pameran dengan penggunaan pakaian separuh bogel dan seksi. Dan semestinya mendapat perhatian ramai sungguhpun tidak berminat dengan program yang dianjurkan.

Saya teringat pula beberapa bulan yang lepas, sebuah syarikat penerbangan Ukraine, SkyUp mengumumkan bahawa mereka telah mengubah piawai seragam bagi pramugari.

Daripada ‘skirt pendek’ yang menjadi seragam norma konvensional buat flight attendant wanita dalam industri itu, kepada pant-suit yang lebih sopan untuk keselesaan.

Ketika penerbangan komersial yang bermula pada tahun 1930-an, pramugari memainkan peranan penting di Amerika Syarikat, pada ketika itu mereka bermula dengan merekrut sama jururawat untuk terlibat bersama krew penerbangan untuk memberi tunjuk ajar ketika berhadapan dengan situasi kecemasan.

Akan tetapi, pramugari segera berkembang menjadi alat pemasaran. Syarikat penerbangan mula menetapkan syarat-syarat spesifik untuk posisi ini setelah menyedari bahawa wanita menjadi tarikan pelanggan.

Malah, ada beberapa syarikat penerbangan bahkan menggunakan slogan seperti: ‘Jika seorang wanita boleh terbang, begitu juga anda.’

Oleh kerana sebahagian besar pelanggan syarikat penerbangan itu merupakan lelaki, maka syarat ini diciptakan untuk menarik perhatian lelaki. Atas sebab inilah, polisi kod berpakaian pramugari semakin ‘pendek’.

Pada tahun 1970-an, syarikat penerbangan semakin ganas melancarkan pelbagai iklan yang menghalalkan pramugari wanita. 

Pada tahun 2012, VietJet dari Vietnam menimbulkan kegemparan di media sosial, berikutan pemasarannya dengan aksi pramugari yang memakai bikini.

Syarikat penerbangan ini kemudiannya didenda, tetapi masih tidak menghalang syarikat itu, mereka tetap mengulanginya beberapa bulan setelah itu.

Cabaran

Dalam era globalisasi ini, industri pengiklanan mencari pelbagai cara untuk menggunakan wanita dalam iklan, untuk menarik minat pembeli. Dan apabila kita bercakap mengenai cara wanita yang digambarkan dalam iklan, maka kita akan lihat paparan yang agak berbeza.

Ada iklan yang memperlihatkan wanita sebagai simbol cinta, penjaga rumahtangga, keibuan, lemah lembut, elegan dan penuh dengan elemen kewanitaan. 

Sedangkan di sisi lain, terdapat iklan yang menggambarkan wanita sebagai objek seks yang seksi, mengghairahkan, mempesonakan bagi menarik pembeli.

Dan beginilah ia, ada gambaran yang mengangkat martabat wanita dan ada juga yang merendahkan maruah mereka dalam bidang pengiklanan. Nah, di sinilah yang harus berhati-hati. Hal sebeginilah yang menjatuhkan maruah wanita.

AINNUR UKHTA UWAIS 
21 September 2021 – HARAKAHDAILY 21/9/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails