JAKARTA: Indonesia akan menarik balik larangan perjalanan domestik pada musim cuti sempena sambutan Aidilfitri awal Mei depan.
Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengumumkan perkara itu hari ini, selepas tradisi pulang atau mudik ke kampung di republik itu disekat selama dua tahun berikutan pandemik COVID-19.
"Situasi COVID-19 yang semakin pulih memberi keyakinan dan Ramadan juga bakal menjelang.
"Mereka yang mahu 'mudik' kini dibenarkan," kata Jokowi dalam satu sidang media di sini.
Keputusan membenarkan pergerakan tahunan selepas berakhirnya Ramadan itu adalah langkah terbaharu dilaksanakan dalam melonggarkan sekatan COVID-19 dan memulihkan ekonominya.
Indonesia yang mempunyai 270 juta penduduk, menyekat perjalanan besar-besaran tradisi 'mudik' pada awal 2020 dalam usaha untuk membendung penularan COVID-19 bersama seluruh dunia.
Bagaimanapun, jutaan penduduk mengingkari larangan itu dan meninggalkan pusat bandar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, sebagaimana tradisi diamalkan majoriti penduduk negara lain yang beragama Islam.
Selepas kes COVID-19 mula mendatar selepas memuncak pada pertengahan Februari susulan penularan varian Omicron, pihak berkuasa turut menarik balik sekatan perjalanan dalam dan luar negara.
Awal minggu ini, Indonesia menggugurkan peraturan kuarantin untuk ketibaan pengembara asing yang sudah divaksinasi, berikutan langkah sama dilaksanakan negara lain di rantau berkenaan. - REUTERS
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Selamat balik kampung, kawan-kawanku dari Indonesia.
No comments:
Post a Comment