KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menegaskan tuntutan saman yang dikemuka oleh Datuk Seri Najib Razak terhadapnya, dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, satu tindakan yang menyalahgunakan proses mahkamah dan wajar dibatalkan.
Saman terbabit berkenaan dakwaan bekas perdana menteri itu bahawa Tommy, melanggar kuasa dalam jawatan awam apabila mendakwanya di mahkamah, dengan tuduhan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam afidavit jawapan difailkan kerajaan yang diikrarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, menyatakan tuntutan saman sivil Najib itu satu serangan sampingan, terhadap perbicaraannya di mahkamah jenayah.
"Saya sesungguhnya percaya tindakan plaintif (Najib) ini menyalahgunakan proses mahkamah, bertujuan sebagai serangan sampingan terhadap pertuduhan jenayah terhadapnya, yang dibuat dalam bidang kuasa berbeza (mahkamah sivil)," kata Mohd Akram.
Timbalan pendakwa raya itu berkata, dakwaan Najib terdapat perkembangan baharu dalam skandal penyelewengan dana 1MDB, perlu dibangkitkan dalam perbicaraan jenayah (dan bukannya melalui saman sivil).
Najib yang memfailkan saman pada 22 Oktober tahun lalu terhadap Tommy dan kerajaan, berkata 35 tuduhan dikenakan terhadapnya, kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, sesuatu yang sudah lama dirancang oleh Tommy.
Najib berkata, ini selaras dengan rancangan kerajaan ketika itu dan Tommy sebagai sebagai Peguam Negara, menjalankan tugasnya seolah-olah sebagai ejen Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, seawal tahun 2012, Tommy membentuk pendapat terdapat unsur jenayah kononnya berlaku berkaitan 1MDB membabitkan dirinya.
Katanya, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada tahun 2013, Tommy sudah membuat persiapan untuk menjadi Peguam Negara, sekiranya PH membentuk kerajaan.
Menurut Najib lagi, Tommy melakukan penyalahgunaan proses dengan niat jahat dan cuai ketika memegang jawatan sebagai Peguam Negara dengan bersikap prejudis terhadapnya, sebelum beliau didakwa di mahkamah.
Najib berkata, Tommy turut campur tangan dalam siasatan dan tidak mengkaji kesnya dengan objektif serta menyalahgunakan kuasa, bagi memenuhi rancangan untuk memenjarakan dirinya.
Tommy hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah untuk perbicaraan kes Najib pada 2019. - Foto hiasan NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALISementara itu Tommy dalam afidavit jawapannya, berkata, beliau menetapkan pertuduhan berkaitan 1MDB terhadap Najib, selepas yakin ada kes yang kukuh.
Beliau berkata, begitu juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiasat dan menyediakan kertas siasatan mengikut undang-undang dan amalan sedia ada.
"Itulah sahaja pertimbangannya. Dakwaan saya membentuk pendapat mengenai Najib sudah bersalah sebelum saya memegang jawatan sebagai Peguam Negara lagi, tidak benar.
"Dalam apa jua keadaan, ia juga tidak relevan dengan kuasa budi bicara saya (untuk menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding mengenai suatu kesalahan) di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
"Begitu juga dalam apa jua keadaan, pendapat peribadi saya tidak relevan dengan penggunaan budi bicara saya untuk menetapkan pertuduhan terhadap beliau, salah satunya di mana beliau sudah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan," katanya.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Gambar di atas ini, dan kaitan Najib dalam 1MDB serta mahkamh, membuktikn terlibatnya Najib dalam PRN Johor.
Belajar politik islam dulu, baru puas.
ReplyDelete