Thursday, March 03, 2022

Ini wanita hebat ‘made in Kelantan’ untuk M'sia.

 

Merendah diri meredah banjir menyantuni mangsa

"SELIPAR pun takdok, nok gi mano ni? Ya Allah, takdok selipar. Ambik selipar ambo, ambik selipar ambo,” demikian santuni Siti Zailah Mohd Yusoff atau Kak Lah menundukkan kepala, menyerahkan selipar beliau kepada seorang mangsa banjir. 

Cukup sedih dah melihat ujian atas mangsa banjir Kelantan ini. Saya menjadi lebih sebak melihat  momen seorang yang dah berjawatan Timbalan Menteri tidak teragak-agak menanggalkan selipar untuk seorang mangsa banjir yang berkaki ayam . 

Kak Lah memang tetap sama seperti yang ramai orang kenal. Jawatan tak mengubah ketulusan dan kegigihan membantu orang dalam kesusahan. Sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, beliau juga diamanah sebagai Pengerusi Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia atau dikenali sebagai Khidmat Malaysia. 

Kegigihan Kak Lah membantu ketika bencana sebegini memang nampak jelas sewaktu kejadian bencana banjir besar di Lembah Kelang Disember lepas. Mengharungi air banjir dengan jubah bertudung labuh adalah perkara biasa. 

Kini apabila bencana banjir berlaku di kawasan beliau sendiri Parlimen Rantau Panjang, beliau adalah antara yang paling awal turun ke lapangan meninjau dan memberi bantuan kepada rakyat dalam kawasan beliau. 

Sehingga pembungkusan barang bantuan segera makanan pun beliau terlibat membantu membungkus sendiri bersama-sama petugas di bawahan. Ini wanita hebat ‘made in Kelantan’ untuk Malaysia.

Tragedi banjir di Kelantan kali ini, pengurusan bencana peringkat negeri memperlihatkan kewibawaan kepimpinan seorang sosok wanita yang tidak kurang hebatnya berbanding Kak Lah iaitu Kak Taz. 

Kak Taz atau YB Mumtaz Md Nawi sejak awal lagi menggerakkan agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan dan entiti bukan kerajaan di bawah tanggungjawab beliau juga iaitu Khidmat Malaysia Kelantan. 

Mesyuarat kesiapsiagaan Khidmat Malaysia Kelantan dibuat berkali-kali bagi memastikan pengurusan bencana adalah terbaik. Komitmen beliau memperlihatkan bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat bukan hal yang boleh ambil mudah. 

Gabungan Kak Lah dan Kak Taz membuktikan bahawa Kelantan amat mengiktiraf kehebatan dan kepimpinan wanita. Kepimpinan dua wanita ini dalam hal kebajikan amatlah cemerlang. 

Di sebalik kehebatan dua wanita ini, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob sebagai peneraju utama kepimpinan, telah menunjukkan keprihatinan terhadap kepentingan keselamatan dan kebajikan rakyat. 

Sehari sebelum hujan, dalam hantaran FB Dato’ Ahmad Yakob telah memperingatkan mengenai amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia. 

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا”

“Ya Allah, curahkanlah air hujan yang bermanfaat.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Amaran hujan lebat berterusan (bahaya) dikeluarkan oleh MetMalaysia.

Lebih 1 jam selepas hujan pada Sabtu petang (26 Februari 2022) terus Kenyataan Media Pengarahan siap siaga jentera kerajaan telah dibuat serta beliau juga menyeru rakyat berwaspada dan patuhi keselamatan. 

Menteri Besar Kelantan tidak tunggu kejadian banjir melarat pada esoknya 27 Februari baru nak membuat pengarahan dan peringatan. 

Pengarahan dan peringatan akhirnya disambut oleh seluruh kepimpinan bawahannya, agensi kerajaan dan juga agensi bukan kerajaan di bawah parti dan bukan parti. 

Rakyat Kelantan sebenarnya adalah telah lama mempunyai mentaliti siap siaga dengan bencana. Sukar sekali kita nak dengar adegan video menengking dan mempersalah di kalangan rakyat Kelantan ketika bencana sebegini. 

Mentaliti tahan dan bingkas bangkit selepas bencana sememangnya telah ada dalam mentaliti masyarakat Kelantan secara umum. Cuma konsep Climate Resilience perlu diperkemaskan lagi kefahaman melalui inisiatif dasar secara strategik.

Banjir yang menjejaskan penduduk lembangan Sungai Golok sebelah Kelantan akibat daripada benteng tebatan banjir di sebelah Thailand difahami benar oleh masyarakat tempatan di sana. 

Bahkan Kak Lah telah menyuarakan hal ini dalam Sidang Parlimen sebelum ini untuk diberi perhatian. Bila COVID-19 melanda negara, keutamaan peruntukan untuk tebatan banjir di kawasan pesisir Sungai Golok menjadi sedikit terkebelakang. 

Rakyat Kelantan di sana bukan minta nak bermewah dengan LRT atau Pulau Buatan. Mereka minta supaya lantunan air deras benteng air banjir sebelah Thailand di Sungai Golok tidak masuk ke perkampungan di sebelah Kelantan. Namun, permintaan itu masih terpaksa ditangguhkan atas kekangan peruntukan daripada Persekutuan.

Atas kesulitan ini, Kerajaan Negeri Kelantan sebenarnya tak hanya menunggu bantuan pembangunan bersifat fizikal daripada Persekutuan. Kerajaan Negeri Kelantan sebenarnya telah mempersiapkan Dokumen Dasar penting untuk memastikan pembangunan mampan dapat dilaksanakan dahulu melalui usaha inisiatif pembangunan insan dalam Pelan Induk Pembangunan Mampan (PIPM).

Pelan Induk Pembangunan Mampan ini sebenarnya telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Kelantan sejak 2020 lagi. Pada 16 Februari 2022 lepas, Majlis Townhall PIPM bersama pihak berkuasa tempatan telah dilangsungkan bagi memastikan kefahaman pembangunan mampan telah sampai ke pentadbiran bawahan. 

Program ini dirasmikan oleh YB Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan. 

Dalam PIPM ini melalui Teras Strategik keempat iaitu Urus Tadbir (Kepimpinan & Prestasi) terdapat satu bidang fokus (focus area) yang merupakan pantulan penting atas apa yang sedang dibina sekarang iaitu Pengurusan Bencana. 

Di sebalik ujian atas bencana yang berlaku saban tahun atas faktor-faktor cuaca dan iklim yang berada di luar kawalan kepimpinan Kelantan, kepimpinan Kelantan dan rakyatnya lekas bangkit melalui keutuhan melalui daya tahan dan daya bingkas membentuk masyarakat mampan yang mula mengadaptasi konsep Climate Resilience.

Masyarakat Kelantan dan kepimpinannya mempunyai potensi terkehadapan menjadi masyarakat yang berketahanan dan bingkas semula atas ancaman perubahan iklim. 

Mungkin ada pihak yang mengkritik soal lain. Namun, tidak bermakna kepimpinan dan masyarakat Kelantan tidak melakukan sesuatu yang positif dalam menghadapi era gawat Iklim yang menjadi masalah dan kerumitan global pada ketika ini. 

ZIKRULLAH ISMAIL
Pemerhati Perspektif Positif
Kupang, Baling Kedah
2 Mac 2022 – HARAKAHDAILY 2/3/2022

 .....

No comments:

Post a Comment