Monday, March 28, 2022

Muafakat Nasional bakal rebah? PAS Tidak akan rebah -Presiden PAS

 


1.  Muafakat Nasional bakal rebah? PAS Tidak akan rebah -Presiden PAS.

Dilaporkan konon, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyalahkan pihak tertentu dalam Umno yang menyebabkan kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) tergendala sehingga sekarang.

Katanya ada pihak tertentu dalam Umno yang mahu mengubah “agenda perpaduan” yang dipersetujui kedua-dua parti demi kepentingan sendiri dengan maksud yang tersirat. Bagaimanapun ahli parlimen Marang itu tidak menyatakan siapa pihak yang didakwanya itu serta apakah agenda tersirat tersebut.

“Namun perkara itu terdedah sehingga merosakkan dasar dan hala tuju sebenar yang tersurat,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS hari ini.

Tambah Abdul Hadi dalam keadaan begitu, PAS tetap “berpegang” kepada apa yang ditandatangani serta ketetapan yang tersurat.  Katanya kerjasama yang terbentuk itu juga mempunyai sempadan iaitu hanya melibatkan hal-hal kebaikan seperti perpaduan umat berasaskan kepada Islam, melaksanakan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Jika seseorang itu berdosa, kata Abdul Hadi, dibuka pintu taubat dan pengampunan sekiranya individu terbabit insaf serta mahu bertaubat.

“Namun, PAS tetap tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat.

“Malah, PAS juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus.

“Meraikan kemungkaran semata-mata kerana menjaga hati dan kepentingan yang salah dengan meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa,” kata Abdul Hadi lagi.

PAS tidak akan rebah

Kenyataan duta khas bertaraf menteri itu hadir ketika hubungan PAS-Umno terus tidak menentu dengan sesetengah pihak berpendapat mereka wajar mengutamakan MN berbanding Perikatan Nasional (PN) yang disertai Bersatu.

Dalam kenyataan Abdul Hadi hari ini, dia turut mendakwa PN wujud terlebih dahulu berbanding MN.

Semalam Malaysiakini melaporkan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata Piagam Muafakat Nasional (MN) telah berjaya menyatukan pengikut parti itu dan Umno di peringkat akar umbi yang telah bermusuh sejak sekian lama kerana perbezaan ideologi politik.

Justeru katanya, PAS akan berusaha mempertahankan MN meskipun ada pihak tertentu cuba untuk meruntuhkannya. Dia juga mendakwa ahli di peringkat akar umbi senang dengan MN dan masyarakat di luar bandar nampak bersatu.

Kata Abdul Hadi PAS menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep taawun yang berlandaskan “petunjuk al-Quran” dan bersedia menerima kesannya termasuk kehilangan kuasa atau kerusi pilihan raya.

“PAS tidak rebah dengan sebab kekalahan dalam beberapa kali pilihan raya, kerana perjalanannya belum selesai dan belum sampai ke garisan penamat,” katanya. (dikutip dari pelbagai sumber).


2. Islam: Prinsip perpaduan umat wajib diteruskan 

RISALAH Islam kepada seluruh manusia ialah petunjuk Allah SWT yang membawa rahmat ke seluruh alam. Tujuannya adalah bagi menyelamatkan manusia seramai mungkin, sama ada dengan menganut Islam tanpa paksaan ataupun menerima Islam memimpin tanpa menganut agamanya.

Adapun negara kita adalah mengikut semangat Perlembagaan Persekutuan yang wujud berdasarkan tafsiran yang merdeka, bukanlah tafsiran daripada warisan penjajah. Perlembagaan diamalkan melalui pendekatan yang paling damai, bermakna Islam boleh bersama demokrasi yang beradab, bukan menipu dan rasuah atau politik sogokan haram yang menjahanamkan parti sendiri dan mengkhianati amanah negara.

Penyelesaian Islam wajib dilakukan, walaupun cabarannya sangat besar dan banyak. Hal ini demikian kerana, ramai dalam kalangan yang bernafsu mendahului akal mereka. Sehinggakan, golongan yang berilmu juga menjadi bodoh sekali gus menyebabkan mereka boleh dibeli dan dibuli, apabila seseorang itu tidak peduli akan petunjuk Allah SWT yang memberikan tawaran terbaik kepada semua.

Rasulullah SAW mengingatkan kepada para sahabat dan umatnya dengan menyebutkan firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa sesungguhnya (yang Kami perintahkan ini) inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kalian menurutinya; dan janganlah kalian menuruti jalan-jalan (selain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kalian daripada jalan Allah. Oleh yang demikian, Allah memerintahkan kalian agar kalian bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)

Kemudian, Rasulullah SAW melakarkan di atas tanah satu garisan yang betul dan lurus serta meletakkan cabang-cabang yang banyak dari kedua-dua arahnya. Hal ini menegaskan bahawa umat Islam wajib beristiqamah mengikuti garisan yang lurus dan tidak terpesong ke arah cabang-cabangnya.

Hal ini disebabkan di setiap cabang jalan itu terdapat kalangan syaitan yang menggoda supaya terpesong daripada jalan yang lurus dengan umpan-umpan pancingan syaitan yang sangat menarik nafsu manusia seperti harta, pangkat dan lain-lain.

Rasulullah SAW menjadikan perpaduan umat sebagai satu agenda yang paling penting untuk dilaksanakan apabila melakukan hijrah yang terkenal, iaitu perpaduan satu umat yang besar. Khususnya bagi menegakkan negara yang bermasyarakat majmuk dalam keadaan wujud perpecahan akibat jahiliah paling dahsyat dan ganas.

Pada pendahuluannya, perpaduan itu bermula dengan menyatukan umat Islam dalam kalangan Muhajirin, Ansar dan lain-lain. Kemudiannya, disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem daripada pelbagai agama yang ikut serta bagi mewujudkan masyarakat madani.

Masyarakat madani ialah sebuah masyarakat yang beragama sebagaimana asasnya daripada perkataan (al-din) dan bergerak maju mengikut perkataan ‘tamaddun’. Masyarakat madani adalah berkonsepkan iman, akhlak yang mulia dan syariat yang adil kepada semua dalam sebuah negara model yang diberikan nama Madinah.

Perpaduan umat itu bergantung kuat kepada tali Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾

“Dan berpegang teguhlah kalian semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kalian bercerai-berai; dan kenanglah ni‘mat Allah kepada kalian ketika kalian bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kalian (sehingga kalian bersatu-padu dengan ni‘mat Islam), maka menjadilah kalian dengan ni‘mat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kalian dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kalian semasa jahiliah), lalu Allah menyelamatkan kalian dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kalian ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kalian mendapat petunjuk-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 103)

Seterusnya dilaksanakan konsep adil kepada semua yang berpandukan kepada firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Konsep adil yang dinyatakan dalam ayat di atas merangkumi segala aspek kehidupan manusia yang menolak segala perbuatan yang fasiq dan tidak mempunyai maruah diri. Adil juga diwajibkan terhadap musuh berpandukan firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian tidak berlaku keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Kejayaan Islam menyatukan umat mencipta sejarah yang tidak pernah dicapai oleh semua ideologi hingga kini. Hal sedemikian berlaku apabila Islam berjaya mewujudkan masyarakat madani yang majmuk dan mencipta tamadun dunia yang pengaruhnya berkembang sehingga mencapai kemajuan dalam lapangan sains dan teknologi hari ini.

Adapun impian pembinaan negara yang dilaungkan oleh ahli-ahli falsafah yang bertuhankan akal secara terpisah daripada agama hanyalah menjadi suatu khayalan semata-mata. Malah, segala teori yang mereka sebutkan tidak dapat dicapai hingga kini.

Keadilan itu hanya berlaku apabila segala amanah urusan umat berada di tangan mereka yang layak berasaskan integriti yang tinggi dan bersih daripada ciri-ciri fasiq dan tidak bermaruah. Nilai integriti sedemikian dapat dicapai dengan adanya keimanan kepada Allah yang Maha Esa, ilmu dan juga akhlak yang mulia.

Ciri-ciri tersebut tidak akan berlaku dengan adanya amalan politik rasuah dan politik menipu, iaitu politik yang berpisah daripada agama tanpa perhitungan pahala dan dosa. Politik sedemikian tidak dapat dielakkan jika sekadar dikenakan tindakan undang-undang yang tidak mempunyai roh dan pasti gagal mencipta integriti yang sebenar.

Kelemahan dan kemunduran umat Islam pada zaman mutakhir adalah disebabkan mereka meninggalkan ajarannya. Selain itu, disebabkan oleh kelekaan akibat faktor kemenangan dan kebendaan ketika berkuasa memerintah.

Sehinggakan, perkara tersebut menghantui kehidupan umat dan menjahanamkan diri mereka sendiri, sebelum ia dijahanamkan oleh orang lain. Lalu, akhirnya mereka berpecah dan dijajah oleh musuhnya.

Walaupun musuh itu mencuri khazanah tamadun Islam, tetapi mereka masih gagal kerana tanpa agama Islam yang menjadi roh maka tamadunnya laksana patung yang tidak bernyawa dan berakal. Kini, kelihatan tamadun Barat sedang mengalami kerosakan yang membakar diri mereka. Allah SWT memberikan peringatan melalui firman-Nya:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾

“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

Kini, kita mengajak umat khususnya yang menganut Islam dahulu, supaya kembali ke jalan yang benar, iaitu dengan menjadikan Islam sebagai penyelesaian. Wajib kepada penganut Islam untuk mengajak kalangan bukan Islam tanpa memaksa mereka menganut Islam.

Sekiranya mereka boleh berjuang untuk menegakkan ideologi dari Timur dan Barat sama ada berhaluan kanan mahupun berhaluan kiri sehingga melampau atau ekstrem, mengapa mereka tidak boleh mencuba pendekatan Islam yang damai?

Setelah kita yang dikatakan sudah merdeka, tetapi masih mencuba Islam yang tidak sempurna mengikut acuan penjajah berteraskan Islam sekular yang rapuh selama setengah abad dan ketinggalan bersama kerajaannya. Bahkan, menyebabkan kita tidak mampu mencapai Wawasan 2020 yang telah dinobatkan dan jatuhnya kerajaan itu juga sepatutnya menjadi suatu pengajaran, akibat daripada Islam dalam perlembagaan dibiarkan ketika kerajaannya wujud dengan majoriti yang besar.

Mengapa Islam yang dinyatakan adalah mengikut tafsiran penjajah, padahal kita sudah lama merdeka? Inilah yang menjahanamkan kita semua sehingga Islam tidak ditegakkan dengan sempurna.

Kemudian rakyat menolak mereka, lalu memilih pendekatan Islam liberal bersama Pakatan Harapan (PH) yang menipu. Sehinggakan, kita hanyut dan berkecai jahanam sekali lagi, hatta Islam boleh dihina dengan berani dan nyata.

Akhirnya, gagasan yang dibawa oleh PH tidak mampu bertahan lagi. Perkara ini sepatutnya menjadi suatu iktibar, laksana terlepas daripada mulut harimau lalu masuk ke dalam mulut buaya yang lebih luas dalam air yang tenang.

UMNO bersama Barisan Nasional (BN) jatuh daripada kerajaan pusat, sebahagian Ahli Parlimen mereka keluar parti. Malah, ada sebahagiannya sejak awal lagi menyelamatkan diri dengan menubuhkan BERSATU dan ada yang kemudiannya menyertai parti baharu tersebut. 

Usaha yang dilakukan pada mulanya untuk bersama-sama menyelamatkan semua dengan membentuk gagasan yang akhirnya dinamakan Perikatan Nasional (PN). Perkara tersebut adalah bertitik tolak daripada Kongres Maruah Melayu yang dirancang sejak awal, diikuti dengan menggabungkan masyarakat majmuk daripada pelbagai agama dan parti.

Kemudian, dibentuk gagasan Muafakat Nasional (MN) yang  menggabungkan parti-parti Melayu Islam terbesar yang terdiri daripada UMNO, PAS dan BERSATU kerana meraikan UMNO yang masih ada. Sehinggakan, gabungan ini berjaya menukar kerajaan yang memerintah.

Akan tetapi, malangnya ada kalangan mereka yang membawa agenda persendirian dengan matlamat mahu mengubah agenda perpaduan umat kepada tujuan yang tersirat. Namun, perkara itu terdedah sehingga merosakkan dasar dan hala tuju sebenar yang tersurat.

Walau bagaimanapun, PAS tetap berpegang kepada apa yang tersurat dan telah ditandatangani. Perkara ini diulang beberapa kali dalam tulisan yang lalu, bahawa PAS telah mengambil pendekatan politik ta‘awun yang diputuskan oleh al-Quran hasil Muzakarah Majlis Syura Ulama.

Pendekatan ta’awun siyasi ini dilaksanakan oleh PAS menjadi konsep hubungan dengan semua pihak sebagai sempadan bagi menyelamatkan keadaan. PAS sekali-kali tidak boleh diheret keluar daripada landasannya. Konsep ta‘awun ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿…وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٢﴾

“…Dan hendaklah kalian bertolong-tolongan untuk (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kalian bertolong-tolongan dalam berbuat dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Ma’idah: 2)

Kerjasama yang dinyatakan dalam ayat ini ada sempadannya iaitu hanya dalam perkara kebaikan dan taqwa, seperti perpaduan umat berlandaskan tali Allah (Islam) yang menegakkan adil kepada semua, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah kembali ke pangkal jalan.

Jika seseorang itu berdosa, maka dibuka pintu taubat dan pengampunan sekiranya dirinya insaf dan bertaubat. Di mana pintu kebajikan dan taqwa itu sangat luas dan banyak jalannya.

Namun, PAS tetap tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat. Malah, PAS juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus. Meraikan kemungkaran semata-mata kerana menjaga hati dan kepentingan yang salah dengan meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa.

Justeru, PAS menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta‘awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran.  Sekalipun ada perbezaan dan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam sendiri, namun ada penyelesaiannya. Allah SWT telah menegaskan penyelesaiannya dengan berfirman:

﴿…فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 59)

PAS tetap beristiqamah atas prinsip tersebut, walaupun kehilangan kerusi. Bahkan, pernah dikeluarkan daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Perjalanannya masih jauh, kerana wawasannya tidak tamat dalam kehidupan di dunia sahaja. PAS tidak hilang dengan matinya pemimpin, dan ahlinya tidak lemah dengan sebab terdapat kalangan yang menyeleweng atau berhenti di tengah perjalanan kerana niat yang salah masuk PAS sekadar menumpang bukan berjuang.

PAS tidak rebah dengan sebab kekalahan dalam beberapa kali pilihan raya, kerana perjalanannya belum selesai dan belum sampai ke garisan penamat.

Firman Allah SWT menjadi suatu semangat yang tidak padam:

﴿وَلَا تَهِنُواْ فِي ٱبۡتِغَآءِ ٱلۡقَوۡمِۖ إِن تَكُونُواْ تَأۡلَمُونَ فَإِنَّهُمۡ يَأۡلَمُونَ كَمَا تَأۡلَمُونَۖ وَتَرۡجُونَ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا يَرۡجُونَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا١٠٤﴾

“Dan janganlah kalian lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kalian menderita kesakitan (luka atau mati), maka sesungguhnya mereka pun menderita kesakitan sepertimana penderitaan yang kalian alami; sedang kalian mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada Hari Akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’: 104)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Sya‘ban 1443 / 27 Mac 2022 – HARAKAHDAILY 27/3/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah!

1 comment:

Anonymous said...

Bab bab fitnah ni dah berakar umbi dlm pee hancing. Tak hairan dah. Rakyat pun tahu parti yg jujur dan parti yg x jujur. Tu sebab rakyat tolak segera pee hancing sejak prn yg kebelakangan ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails