Thursday, March 10, 2022

Pakaian atlet muslimah: Perjuangan perlu diselesaikan

 

PENGENALAN sukan patuh syariah merupakan sebuah industri yang besar kerana melibatkan perjuangan atlet wanita Islam di peringkat antarabangsa. Ketika zaman jahiliah wanita sering dijadikan objek pemuas nafsu, namun, setelah kehadiran Islam, wanita dimuliakan dan mempunyai martabat yang tinggi dengan diberikan pelbagai hak untuk melindungi maruah mereka. Tidak salah wanita bersukan kerana ia juga sebahagian fitrah tetapi kaedah dan tatacara mengikut syariah Islam.

Pakaian sukan yang terlalu ketat dan terdedah menyebabkan sebahagian atlet berasa tidak selesa kerana boleh menyebabkan mereka hilang fokus ketika beraksi. Pakaian yang menjolok mata bukan sahaja tidak disenangi masyarakat, malah menghalang bakat baharu menyertai bidang sukan.

Perjuangan sukan patuh syariah ini bukan perkara baharu, ia telah lama diperjuangkan. Contohnya pada tahun 2019 kerajaan negeri Terengganu mengumumkan bahawa atlet negeri tersebut akan beraksi di arena sukan lengkap berpakaian mengikut syariat. Keputusan yang diambil kerajaan negeri Terengganu menerima pelbagai tohmahan, sindiran dan kecaman dari pelbagai pihak.

Kita dapat lihat negara-negara Islam yang lain dan atlet Muslim telah lama terkehadapan dalam menampilkan dan memperjuangkan pemakaian dan suasana patuh syariah bagi wanita khususnya.

Contohnya:

i) Ibtihaj Muhammad
Atlet pedang yang berasal dari New Jersey, Amerika Syarikat telah menjadi ahli sukan Amerika pertama yang memakai hijab di Sukan Olimpik di Rio.

ii) Kimia Alizadeeh Zenoorin
Atlet taekwando menjadi wanita pertama dari Iran berhijab yang memenangi pingat dalam acara Olimpik di Rio.

iii) Zahra Lari
Peluncur ais berasal dari Emiriah Arab yang menyertai piala Eropah beraksi dengan full suit dan berhijab.

iv) Amna Al Hadad
Atlet angkat berat di Emiriah Arab Besatu. Pada 2012, beliau menjadi atlet wanita berhijab pertama menyertai acara crossfit Asia.

Foto daripada Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia.

Pada tahun ini, kita dapat menyaksikan Terengganu mengorak langkah kehadapan dengan menghantar Azreen Nabila Alias, ratu pecut Terengganu ke temasya sukan terbesar dunia mewakili Malaysia sekali gus mengangkat mengangkat imej dan konsep patuh syariah dalam sukan yang diperkenalkan kerajaan negeri ke peringkat dunia.

Beberapa hari lepas juga tular di media sosial mengenai ahli pasukan gimnastik Jerman memakai full body suit sebagai usaha untuk mengubah persepsi orang ramai dan menentang perempuan dijadikan simbol seksual dalam arena sukan. (https://www.reuters.com/…/gymnastics-german-team-wears…/)

Begitu juga pasukan bola tampar pantai dari Norway sedia membayar denda kerana tidak mahu memakai bikini dan memilih memakai seluar pendek (https://www.nytimes.com/…/norway-beach-handball-team.html). Nampaknya atlet wanita bukan Muslim juga mula memperjuangkan dan menolak pakaian yang mereka rasakan memanipulasi wanita sebagai objek seksual walaupun sudah pastinya falsafah mereka tidak sama denga konsep patuh syariat pakaian sukan Islam.

Ini membuktikan bahawa perjuangan sukan patuh syariah bukan perkara kuno sebaliknya selari dengan tuntutan agama dan peredaran zaman yang semakin mencabar. Saya berharap negeri-negeri lain juga berani mengikut jejak langkah Terengganu agar konsisten memperjuangkan sukan patuh syariah di peringkat domestik atau antarabanga selaras dengan hak-hak wanita dan perlembagaan. Marilah kita sama-sama menyokong agar setiap atlet Muslim di Malaysia juga turut berani membawa perubahan sama ada dari sudut pakaian mahupun suasana. – HARAKAHDAILY 30/7/2021

No comments:

Post a Comment