Saturday, March 12, 2022

Pengundi Cina Sebentar tadi..

 

Pengundi saluran satu di SK Bukit Rahmat Kg Parit Belemam.

1. Pengundi Cina ramai keluar mengundi awal

BATU PAHAT: Rakyat Johor hari ini akan menjalankan tanggungjawab memilih kerajaan negeri baharu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

PRN Johor menyaksikan pengundi muda berumur 18 hingga 23 tahun merasai pengalaman mengundi buat pertama kalinya.

Dilaporkan sebanyak 13 peti undi ditempatkan di DUN Parit Yaani, antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bilal, Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat Kampung Parit Belemam, Sekolah Agama Parit Jawa dan Sekolah Kebangsaan Bindu.

Tinjauan awal media mendapati tempat mengundi di SK Parit Bilal menyaksikan pengundi Cina lebih ramai berbanding Melayu dan India, sekitar jam 9 pagi ini.

Manakala, SK Bukit Rahmat Kampung Parit Belemam menyaksikan ramai pengundi daripada saluran satu mulai berpusu-pusu menjalankan tanggungjawab mereka, sekitar jam 9.30 pagi ini.

Penduduk yang membuang undi di Sekolah Agama Parit Jawa serta SK Bindu kelihatan agak lengang berbanding pusat mengundi yang lain, sekitar jam 10.15 pagi ini.

Majoriti pengundi Melayu dilihat di sekitar kawasan pusat mengundi di SK Bindu, di sini, pagi ini.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi bersedia membuka pintu bermula 8 pagi, bagi membolehkan 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar yang layak mengundi, menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebanyak 36,729 kertas undi pos telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) manakala kira-kira 87 peratus atau 18,625 pengundi yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan menjalankan tanggungjawab mengundi awal, pada 8 Mac lepas.

Bagi proses pengundian hari ini, pusat mengundi yang mempunyai satu atau dua saluran akan ditutup lebih awal seperti yang diwartakan iaitu Balai Raya Pulau Besar di Mersing ditutup pada 11 pagi, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil, Mersing pada 1 tengah hari.

Sebanyak 15 pusat mengundi pula akan ditutup pada 2 petang, manakala 41 pusat mengundi ditutup pada 4 petang.

Pusat-pusat mengundi lain akan ditutup pada 6 petang.

Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia merangkumi parti Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Pakatan Harapan bersama parti komponennya PKR yang bertanding atas logo sendiri serta rakan strategik gabungan itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda); Parti Warisan (Warisan); Parti Bangsa Malaysia (PBM); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dua kerusi DUN menyaksikan pertandingan tujuh penjuru; empat kerusi DUN melibatkan enam penjuru; lapan kerusi DUN melibatkan lima penjuru dan 35 kerusi (empat penjuru).

Antara pemimpin yang dijangka menjadi tumpuan ialah bekas Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni Mohammad yang akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja, Pekan Nanas di Pontian; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar di Muar; Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein di Sekolah Agama Taman Sri Lambak, Kluang dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di SK Taman Sutera di sini.

PRN Johor hari ini adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat, melibatkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.

Kebenaran untuk anak muda mengundi kali ini adalah susulan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.

Semasa proses pengundian PRN Johor berlangsung, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS) perlu memohon pegawai kesihatan daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat mengundi dan kebenaran adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD itu.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca pada sebelah pagi cerah di seluruh Johor dengan suhu sepanjang hari pengundian antara 23 hingga 33 darjah Celsius.

Ribut petir pula diramal berlaku pada sebelah petang di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Kulai. HARAKAHDAILY 12/3/2022

2. Pengundi kaum Cina disaran tolak politik kebencian

SEGAMAT: Pengundi kaum Cina di Johor dinasihat tidak termakan sentimen politik kebencian yang dibangkitkan pihak tertentu bagi meraihkan undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah, Isaac Wong Kah Kiat berkata, terdapat parti tertentu cuba membangkitkan kemarahan kaum Cina terhadap kaum lain.

Kataya, ia bertujuan merosakkan perpaduan kaum yang hidup aman damai di negara ini sejak merdeka.

“Kami yakin kaum Cina di Johor bijak menapis unsur-unsur negatif tersebut. Malah politik kebencian tersebut juga sudah lama ditolak termasuk di Sabah,” katanya di sini.

Beliau ditemui ketika kempen membantu calon PN Dun Jementah Maimunah Safwah Musa dari PAS di Kampung Baru Jementah. Pada PRN tersebut Cikgu Muna berdepan calon MCA dan DAP.

Isaac juga berkata, sehingga sekarang sudah ramai pemimpin DAP di Sabah yang keluar parti terbabit kerana menolak politik kebencian.

Antaranya bekas penasihat DAP Sabah, Dato’ Jimmy Wong, mantan Adun Luyang, Hiew Khing Chew dan bekas Adun Elopura Calvin Chong Ket Chuin.

“Di Sabah sudah ramai yang keluar parti kerana menyedari kepincangan kepimpinan parti terbabit,” katanya.

Beliau juga yakin rakyat Johor bijak memilih pemimpin yang mampu memperjuangkan nasib mereka di ke Dewan Undangan Negeri.

Selain itu menurutnya calon yang diketengahkan PN berintegriti tinggi dan bertanggungjawab bagi membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama. – HARAKAHDAILY 11/3/2022

3. Penduduk Tionghua akui bazir masa hadir kempen Najib

SEGAMAT: Di pekan Bakri ramai kaum Tionghua mendedahkan mereka membuang masa hadir pada program kempen BN yang turut dihadiri ahli parlimen Pekan Dato’ Seri Najib Razak semalam.

Sebuah portal berita melapor kaum Cina terbabit pada awalnya menjangka mereka mendapat duit hadir pada program di Medan Selera 568 di Taman Sakeh Baru, namun andaian itu tersasar.

Berikutan itu bekas perdana menteri terbabit meluahkan rasa bangga kerana ramai penduduk Cina hadir pada program disertainya pagi semalam.

Sebaliknya, pada program anjuran Perikatan Nasional (PN) di Dun Jementah seramai 200 penunggang motosikal menerima sumbangan petrol percuma di sebuah stesen minyak semalam.

Ramai masyarakat Cina hadir pada Program Isi Minyak Motor Percuma terbabit.

Bukan sekadar hadir, sebaliknya mereka secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon PN, Maimumah Safwah Musa.

Mengulas perkembangan tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah Hendri Hamsah
berkata, sambutan menggalakkan masyarakat tempatan pada program tersebut memberi isyarat rakyat mahu perubahan.

Katanya, rata-rata mereka yang hadir ketika ditemui mahu kerajaan Johor ditadbir kerajaan yang prihatin rakyat dan tidak terpalit rasuah.

“Program berkenaan dianjurkan bertujuan membantu meringankan beban penduduk di kawasan Jementah yang terjejas akibat penularan Covid-19,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya juga sebanyak 200 penunggang motosikal hadir mengisi minyak petrol penuh tangki secara percuma. – HARAKAHDAILY 10/3/2022

Siri Analisis PRN Johor

  


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails