Monday, March 28, 2022

Pertahanan Turki-M'sia, perlindungan mangsa perang & aparteid Israel

 

1. Pertahanan: Turki sedia teroka kerjasama baharu dengan Malaysia

KUALA LUMPUR: Turki bersedia meneroka bidang kerjasama baharu dengan Malaysia dalam industri pertahanan melalui penyertaannya dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022.

Presiden bagi Industri Pertahanan Turki (SSB) Prof Ismail Demir berkata ia termasuk platform udara generasi baharu, sistem kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), platform tentera laut dan keselamatan siber.

Demir menegaskan kedua-dua negara telah menjalin kerjasama dalam sistem darat, melalui usaha sama antara syarikat Turki FNSS dan DefTech Malaysia, yang menghasilkan Kenderaan Tempur Berperisai 8X8.

“Syarikat pertahanan Turki telah menjadi pemain global menerusi sistem dan produk tempur mereka. Mereka terbuka bekerjasama dengan negara-negara lain untuk menjalin hubungan jangka masa panjang, berdasarkan strategi menang-menang, termasuk pertukaran teknologi, pengeluaran dan pemasaran bersama.

“Kami menawarkan model kerjasama terbuka, mesra dan muhibah yang kebanyakan negara tidak tawarkan. Kami bersedia berkongsi pengalaman dengan rakan sejawatan di Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Turki sekali lagi menjadikan kehadirannya dirasai dengan mendominasi ruang terbesar di pameran DSA dan NATSEC Asia 2022, yang berlangsung dari Isnin hingga 30 Mac di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Tinjauan Bernama mendapati pavilion Turki memenuhi hampir separuh daripada ruang pameran yang disediakan, selain pavilion Malaysia dan 18 yang lain termasuk dari Amerika Syarikat, India, Jerman, Poland, Switzerland, Perancis, Sepanyol, Thailand dan Austria.

Sebanyak 32 syarikat Turki mengambil bahagian dalam DSA bersama SSB tahun ini, katanya

Antara syarikat yang terlibat adalah ASELSAN, HAVELSAN, MKE, STM, TUSAS, ROKETSAN, OTOKAR dan Nurol Makine.

Mereka akan mempamerkan teknologi seperti sistem elektronik, simulator, sistem senjata dan peluru, sistem marin, platform penerbangan, sistem tanpa pemandu, sistem peluru berpandu dan platform kenderaan berperisai.

Demir menambah, syarikat-syarikat Turki komited menjadi sebahagian daripada acara ini untuk mewujudkan perkongsian strategik dengan rakan sejawatan mereka.

“Pameran DSA ialah antara acara industri pertahanan yang paling menarik di dunia. Ia adalah pertunjukan Pertahanan dan Keselamatan Kebangsaan yang terbesar dan paling cekap dianjurkan di Asia.

“Turkish National Pavilion sentiasa terlibat di pameran DSA, dan ia menjadi petunjuk konkrit betapa kami memberi komitmen terhadap pameran dan negara tuan rumah Malaysia,” tambahnya.

Turki telah mengambil bahagian dalam 13 edisi DSA sejak 1996. – BERNAMA

2. Pusat Islam jadi tempat perlindungan mangsa perang 

KOTA BHARU: Pusat Islam di Warsaw Poland yang dikelola NGO Malaysia, Muslim Care dijadikan tempat perlindungan mangsa peperangan Russia dan Ukraine.

Mantan Profesor Pengajian Asia Barat Moden Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Kamaruzaman Yusoff berkata, kisis tersebut memaksa lebih 10 juta penduduk Ukraine meninggalkan kediaman masing-masing.

Katanya, biarpun penduduk beragama Islam Ukraine golongan minoriti, namun bantuan daripada penduduk Malaysia amat diperlukan khususnya ketika lokasi itu tidak mampu menampung peningkatan pelarian.

“Muslim Care mempunyai Pusat Islam di Warsaw Poland, tempat ini dijadikan rumah persinggahan sementara khususnya pelarian Ukraine yang lari daripada negara mereka sedang bergolak.

“Kalau nak bagi bantuan kepada pelarian Ukraiane mereka berada di Poland sekarang,” katanya pada Bicara Siasah dianjurkan PAS Kelantan di sini baru-baru ini. Program itu disiarkan melalui laman Legasi Tok Guru.

Sejak tentera Rusia menceroboh Ukraine 24 Februari lalu, ramai penduduk meninggalkan negara itu untuk mencari perlindungan di negara jiran terutama Poland dan Romania.

Sehingga sekarang tidak lebih 100,000 orang bersesak-sesak di bandar Medyka, kira-kira 300 kilometer dari Warsaw, yang menjadi pintu masuk utama dari Ukraine ke Poland.

Dr Kamaruzaman juga berkata, bagi mengelakan krisis itu terus berlarutan dicadangkan usaha penyelesaian dilakukan bagi menyelamatkan umat Islam di negara terbabit.

Menurutnya pemimpin negara Islam yang berpengaruh termasuk Tun Dr Mahathir Mohamed dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dapat memainkan peranan.

“Dr Mahathir seorang negarawan berpengaruh di luar negara sesuai menjadi orang tengah. Begitu juga OIC dan Liga Arab sepatutnya boleh memainkan peranan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2022

3. Pakar PBB selar amalan aparteid Israel 

GAZA: Seorang pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyelar masyarakat antarabangsa kerana membenarkan pendudukan Israel selama beberapa dekad di wilayah Palestin sehingga berkembang menjadi sistem aparteid.

Pelapor khas PBB mengenai situasi hak di wilayah Palestin yang diduduki, Michael Lynbk kini menyertai semakin banyak suara yang menggambarkan dasar pemisahan Israel sebagai aparteid.

Semasa membentangkan laporan terakhirnya kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva baru-baru ini, pakar bebas itu berkata bahawa ‘pendudukan Israel, kini dalam tahun ke-55 tanpa penghujungnya, telah menjadi semakin berakar umbi dan menindas (rakyat Palestin)’.

“Ia (dasar Israel) adalah aparteid,” katanya sambil merujuk kepada kes rampasan tanah rakyat Palestin tanpa henti, penempatan Yahudi sahaja yang semakin berkembang, sistem dwi perundangan, jurang yang besar dalam keadaan hidup antara peneroka Israel dan Palestin yang tinggal bersama, serta pemisahan yang luas dalam hak politik.

Israel telah menguasai Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis sejak tahun 1967. Kira-kira 700,000 peneroka Yahudi kini tinggal di kedua-dua kawasan, di penempatan yang dianggap sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa. – TRT World

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Insya Allah, al-hamulillah, walaupun musuh Allah tidak suka.

No comments:

Post a Comment