Thursday, March 10, 2022

Rasuah, perhatian untuk Najib, Zahid & Guan Eng..

 

Ahli Parlimen Thailand, Watana Muangsook, dihukum penjara 99 tahun kerana rasuah. - Foto REUTERS

1. Ahli Parlimen Thailand dipenjara 99 tahun kerana rasuah.

BANGKOK: Seorang Ahli Parlimen Thailand, Watana Muangsook, dijatuhkan hukuman penjara selama 99 tahun atas kesalahan rasuah berkaitan projek perumahan kira-kira 20 tahun lalu.

Mahkamah Agung Thailand, pada September 2020 mendapati Watana, 64, bersalah atas 11 tuduhan rasuah, yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 99 tahun dan rayuan terakhirnya ditolak baru-baru ini.

Bagaimanapun, Menurut laporan Bangkok Post, undang-undang Thailand hanya membenarkan hukuman penjara maksimum sehingga 50 tahun.

Watana, yang pernah menyertai parti politik Pheu Thai dan pernah menjadi Menteri Kabinet, turut didakwa atas kesalahan penyalahgunaan kuasa.

Pada 2003, dia terbabit dalam projek perumahan kos rendah Ua Athorn yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Thailand ketika itu, Thaksin Shinawatra.

Kabinet meluluskan peruntukan berjumlah satu bilion baht (RM126 juta) bagi projek bernilai 2.5 bilion baht (RM316 juta) itu.

Projek terbabit merangkumi pembinaan pangsapuri kos rendah dan perumahan di seluruh Thailand, dengan setiap unit dijual pada harga antara 400,000 hingga 700,000 baht (RM50,600-RM88,600).

Pada 2006, selepas tentera mengambil alih pentadbiran negara dan menumbangkan kepemimpinan Thaksin, Jawatankuasa Penilaian Aset Thailand menyiasat dakwaan terhadap salah laku kerajaan.

Jawatankuasa mendapati sebanyak 82.6 juta baht (RM10.4 juta) dibayar kontraktor kepada Watana melalui akaun bank perniagaan milik Apichart Chansakulporn dan kes diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan.

Pada 2016, suruhanjaya memutuskan untuk menghantar kes Watana dan 13 kes lain ke Pejabat Peguam Negara, yang mengesyorkan dia dituduh bagi kelahan di bawah Kanun Jenayah. - AGENSI

2. Permohonan Zahid dapatkan rakaman percakapan saksi SPRM didengar 8 April.

Ahmad Zahid hadir bagi sebutan kes membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 8 April untuk pendengaran permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi mendapatkan rakaman percakapan 18 saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi perbicaraan kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Perkara itu dimaklumkan peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid ketika ditemui media, selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Hamidi berkata, permohonan mendapatkan rakaman percakapan saksi yang ditawarkan pihak pendakwaan itu difailkan pada 18 Februari lalu.

"Mahkamah juga mengarahkan pihak pemohon (Ahmad Zahid) memfailkan hujahan sebelum atau pada 30 Mac ini," katanya.

Pada 24 Januari lalu, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mahkamah menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan, bermula 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei, 27hingga 30 Jun, 4 hingga 7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19 hingga 22, 26 hingga 29 September , 17 hingga 20 dan 31 Oktober serta 1 hingga 3 dan 7 hingga 10 November.

Pihak pembelaan akan memanggil kira-kira 20 saksi untuk memberi keterangan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dari 2015 hingga 2018, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya ketika pemeriksaan balas.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid juga berdepan 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Demikian kes rasuah Ahli Parlimen Thailand yang dihukum penjara 99 tahun kerana rasuah.. Di Malaysia ramai juga ahli parlimen yang dikaitkan dengan tuduhan rasuah. Ada yang sedang menunggu keputuasan hakim terhadap mereka. Mungkin ini suatu pengajaran kepada rakyat.

Antaranya ialah pemimpin kuat UMNO Ahmad Zahid, bekas PM Malaysia (UMNO) Najib Razak, dan pemimpin tertinggi DAP, Lim Guan Eng. 

Tidak ada dari parti PAS atau parti Islam yang mempunyai rekod cemerlang '0' rasuah, walaupun  memerintah puluhan tahun negeri Kelantan. Pulau Pinang, DAP perintah negeri baru beberapa tahun, KMnya sudah dikaitkan dengan rasuah terowong dan lain-lain.

Tentukan PRN Johor atau PRU 15 akan datang bersih rasuah. Sekian.

Siri Analisis PRN Johor

  


1 comment:

  1. Jika nak rasuah distopkan, maka pilih parti yg bersih skandal rasuah. Jika mahu rasuah kekal dlm masyarakat, maka teruskan pilih parti yg dipimpin oleh perasuah.

    ReplyDelete