Tuesday, March 29, 2022

'Restoran lima bintang' tumpuan burung hijrah

 

Burung camar tiram antara ditemui di tempat persinggahan burung berhijrah dan burung air tempatan di sekitar kawasan Teluk Air Tawar dan Kuala Muda, Penaga. - NSTP/Danial Saad

Ungkap Rahsia Yang Maha Agung

KAWASAN Teluk Air Tawar-Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang, yang kaya dengan hasil laut dan sumber organisma marin menjadi faktor utama persinggahan burung pantai hijrah ke lokasi itu sejak kebelakangan ini.

Lokasi dianggarkan seluas 600 hektar itu dianggap restoran bertaraf lima bintang bagi burung pantai hijrah mendapatkan makanan dan menjalani kehidupan di sini mengikut peralihan fasa demi fasa sebelum terbang pulang ke negara asal mereka.

Menurut Penyelaras Projek Burung Pantai Semenanjung Malaysia, Dr Nur Munira Azman, burung pantai hijrah memerlukan tempat istirehat yang selesa dengan ekosistem terbaik serta mudah memperoleh makanan selepas terbang ribuan kilometer.

Beliau yang melakukan penyelidikan berhubung burung berkenaan sejak enam tahun lalu, mendapati kawasan Teluk Air Tawar-Kuala Muda menjadi tempat tumpuan persinggahan burung pantai hijrah sekali gus perlu dilindungi.

"Kawasan ini (Teluk Air Tawar-Kuala Muda) terletak di tengah salah satu laluan penerbangan burung pantai hijrah datang dari hemisfera utara ke selatan yang keseluruhan dalam dunia ini terdapat sembilan laluan.

"Ini membuktikan lokasi ini amat penting dan perlu dijaga serta dilindungi kerana menjadi kawasan persinggahan ribuan burung pantai hijrah yang ia bukan biasa-biasa kerana datang dari pelbagai negara antaranya Russia, Taiwan, Siberia dan Artik.

Teluk Air Tawar-Kuala Muda kaya hasil laut dan sumber organisma marin hingga jadi lokasi persinggahan burung pantai hijrah. - NSTP/Danial Saad

"Kawasan ini boleh dikatakan restoran Gred A (bertaraf lima bintang) untuk burung-burung hijrah mendapatkan makanan kerana lokasi ini kaya dengan pelbagai hasil laut dan memiliki dataran lumpur sangat luas sehingga menyebabkan mengapa ribuan burung hijrah membuat persinggahan dekat sini," katanya.

Baru-baru ini, beliau bersama sekumpulan agensi melawat Tapak Kawasan Burung Penting (IBA) di Pesisir Pantai Teluk Air Tawar sehingga Kuala Muda.

Berpotensi sebagai destinasi ekopelancongan

Sewajarnya kawasan bakau dan dataran berlumpur yang menjadi lokasi persinggahan burung hijrah ini perlu dipelihara.

Pada masa sama, komuniti setempat juga perlu bangga lokasi ini amat istimewa untuk dibangunkan untuk ekopelancongan, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka khususnya nelayan.

Terdahulu, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pulau Pinang turut mengadakan lawatan di tapak itu meminta kerajaan negeri mewartakan kawasan hutan bakau dan dataran lumpur sebagai kawasan dilindungi berikutan ia lokasi persinggahan burung pantai hijrah.

Difahamkan, ketika musim hijrah dari Julai 2021 hingga bulan ini, kira-kira 15,000 burung pantai hijrah ke kawasan itu untuk berehat 'memulihkan tenaga' dan sebahagian lagi menjadikannya sebagai kawasan transit sebelum terbang lebih jauh ke selatan. 

Nur Munira (dua dari kanan) ketika meninjau kawasan tempat persinggahan burung berhijrah dan burung air tempatan di Teluk Air Tawar dan Kuala Muda, Penaga. - NSTP/Danial Saad

Nur Munira yang juga Ahli MNS berkata, hanya kawasan hutan bakau di Teluk Air Tawar-Kuala Muda kini masih kekal dan kurang pembangunan dekat situ berbanding di lokasi lain seperti Kuala Gula, Perak.

"Burung pantai hijrah dilihat sebagai indikator biologi yang menunjukkan ekosistem paya bakau dan dataran lumpur Teluk Air Tawar-Kuala Muda adalah ekosistem produktif, kaya dengan marin organisma, kita perlu pertahankan dan memastikan supaya ekosistem dijaga.

"Ada juga ingin mewartakan kawasan ini sebagai 'Tapak Ramsar' iaitu Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa, tetapi perlu diingat sebelum mewartakannya juga perlu ada pengurusan yang teratur supaya kawasan ini dapat dilindungi dari sebarang ancaman," katanya.

Elak jadikan zon industri akuakultur

Beliau berpandangan, kawasan itu juga perlu dilindungi bukan kerana menjadi tempat persinggahan burung pantai hijrah semata-mata, tetapi juga mengambil iktibar memandangkan terlalu banyak bencana alam berlaku.

"Apa kita dapat lihat sekarang banjir berlaku di mana-mana kawasan, sebabnya kita tiada hutan untuk 'memegang' air termasuk dengan masalah pembuangan sampah merata-rata tempat.

"Ketika tsunami 2004, kawasan hutan bakau ini tidak sebesar mana tetapi sekarang kerana menyedari ia boleh menjadi penampan (pemecah ombak besar), maka kawasan ini berubah kepada ekosistem yang memberi manfaat kepada penduduk setempat. 

Burung bangau besar (Great Egret) antara ditemui di kawasan persinggahan burung berhijrah dan burung air tempatan di sekitar kawasan Teluk Air Tawar dan Kuala Muda, Penaga. - NSTP/Danial Saad

"Justeru, kawasan ini amat istimewa dan amat memerlukan kerjasama kerajaan negeri supaya tidak menukar kawasan ini sebagai zon industri akuakultur yang boleh menjadi ancaman kepada organisma marin, sekali gus mengurangkan kedatangan burung pantai hijrah dan menyebabkan pendapatan nelayan terjejas kerana kehilangan sumber marin," katanya.

10 spesies burung hijrah terancam

Jelasnya, sepanjang beliau menjalankan pemerhatian dan penyelidikan, terdapat 57 spesies termasuk 10 spesies terancam dikenal pasti hadir ke kawasan berkenaan.

"Secara amnya, penghijrahan burung-burung ini di kawasan di Semenanjung termasuk Teluk Air Tawar-Kuala Muda berlaku antara bulan Julai hingga April secara peringkat demi peringkat.

"Durasi mereka akan mula terbang pada Julai hingga Disember dan bersedia untuk pulang ke negara asal pada Mac hingga April," katanya.

Beliau berharap Jabatan Perhilitan dapat membuat rondaan di sekitar kawasan itu setiap kali musim migrasi burung berkenaan. 

Lokasi di sini perlu dilindungi kerana menjadi tempat persinggahan burung pantai hijrah. - NSTP/Danial Saad

"Ini kerana ada aktiviti penangkapan burung hijrah melalui penemuan tiang dan jaring. Perkara ini perlu dicegah demi melindungi burung ini termasuk spesies yang terancam," katanya.

Bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh dilaporkan, berkata Jabatan Perhutanan, di bawah portfolionya, sudah memulakan lawatan tapak ke atas hutan bakau itu.

Kini di peringkat akhir iaitu serahan kepada EXCO kerajaan negeri untuk kelulusan mewartakan kawasan itu sebagai hutan simpan kekal.

Kawasan itu sesuai diwartakan sebagai hutan simpanan kekal kerana tidak terdapat banyak pencemaran di sepanjang pantai. (BH)


Lihat sebelum ini..
Bab 3

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails