Tuesday, March 08, 2022

Seks, X peduli PRN J/Bahru. Gempur!

 

Imigresen gempur sindiket pelacuran di Johor Bahru

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sindiket pelacuran membabitkan warga asing di Johor Bahru, pada 5 Mac 2022 dan berjaya menahan seramai 16 orang warga asing.

Operasi yang bermula pada jam 7:45 malam ini melibatkan seramai 14 orang Pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya. Dalam operasi ini dua buah premis pelacuran yang terletak di sekitar Taman Pelangi, Johor Bahru telah digempur serentak. Serbuan ini dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan yang telah dijalankan hampir sebulan yang lalu.

Dalam kedua-dua serbuan berkenaan, pasukan operasi telah menahan seramai 14 orang orang wanita warga Thailand, seorang wanita warga Laos dan seorang lelaki warga Myanmar. Kesemua mereka berumur dalam lingkungan antara 18 hingga 25 tahun. 

Siasatan awal mendapati kesemua wanita warga asing berkenan terlibat dalam kegiatan pelacuran. Turut ditahan adalah seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga premis yang diserbu dalam operasi ini. Selain itu, seramai 12 lelaki yang disyaki pelanggan terdiri dari 4 warga asing dan 8 orang warganegara Malaysia turut diperiksa.

Modus Operandi yang digunakan adalah mempromosikan perkhidmatan pelacur warga asing melalui khidmat pesanan WhatsApp dan Telegram. Bakal pelanggan akan mengakses link media sosial di atas melalui Google Searchdengan kata kunci carian JB Girls Escort. Melalui pautan ini pelanggan akan memilih wanita-wanita yang dipaparkan sebelum membuat tempahan. 

Manakala pemilik premis yang terlibat dalam kegiatan pelacuran ini didapati berselindung di sebalik khidmat urutan dengan menyediakan khidmat tambahan pelacur asing kepada pelanggan dari jam 11:00 pagi sehingga 11:00 malam setiap hari. Pelanggan akan membuat tempahan di kaunter dengan memilih pakej urutan badan dan diikuti dengan khidmat seks. 

Setiap pelanggan akan dikenakan bayaran antara RM250 hingga RM350 bagi setiap kali langganan perkhidmatan seks.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika Johor Bahru untuk tindakan lanjut. Manakala kesemua pelanggan yang diperiksa dalam operasi ini dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

DATO’ SRI KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Ketua Pengarah
Jabatan Imigresen Malaysia – HARAKAHDAILY 8/3/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Seks haram, gempur sarang maksiat.  Ke arah kebahagiaan dunia akhirat, insya Allah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails