Thursday, March 24, 2022

Syukur Erma Fatima sudah bertudung. Ke arah hiburan patuh syariah.

 


HALAMAN HIBURAN 

1. Hiburan tak patuh syariah, mewirakan watak bodoh memualkan -DR RIDUAN MOHAMAD NOR

RAMADAN semakin berlari menggapai kita yang masih termanggu dan culas memohon keampunan. Kematian dan berita teman-teman yang menderita kesakitan semakin banyak bergentayangan di medsos. Allah membuka ruang seluas mungkin untuk mengampunkan kita, para pendosa yang tak sedar dek untung. Rejab dan Syaaban dengan masa yang sangat berharga, dihabiskan dengan menonton siaran televisi dan menggodek telefon pintar. Media sosial meriah di musim pandemik, umpat keji bergentayangan dan kita terus terlalai walau jasad terpasung di dalam rumah.

Seminggu dua ini dengan pelbagai isu yang melibatkan dunia hiburan dan anak seni, pelbagai reaksi termasuk respons para menteri, ilmuan Islam, seniman bahkan sang jahil tukil turut mengulas pelbagai isu. Lihat sahaja isu soft porn yang mula cuba diselit dalam drama-drama sampah Melayu. Sebelum ini isu “elgibiti” dalam drama dan filem Melayu walaupun puas dibaham oleh pengkritik dan ilmuan. Datang pula klip video mandi bagai yang memualkan oleh selebriti produk. Dunia tipu-tipu semakin parah, jika ditegur oleh para ulama maka berbondong-bondong peminat dan netizen yang akan membela artis, selebriti ini. Personal sin is not a criminal kata sang pembela, memang tenat dunia ini.

Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah. Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah. Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebajikan bahkan tangan dan mulut senang untuk mengeji dan menista.

Lebih malang juga kali ini, kita menghina orang miskin dan yang memerlukan bantuan. Kita menjadi sangat rapuh dalam menimbang baik dan buruk, bahkan menjadi kurang manusiawi. Berakar daripada kerancuan berfikir dalam beragama maka tak sedikit umat Islam menjadi liberal dan menjunjung nilai pragmatisme. Penggalang pemikiran pragmatis tidak akan meletakkan acuan dosa dan pahala dalam tindakan mereka, pertimbangan moral dan akhlak tiada dalam neraca pemikiran.

Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada metode dakwah yang digunakan oleh para ulama dalam mengembangkan dakwah Islam. Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulama telah menggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai metode dakwah. Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulama di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai metode dakwah mereka. Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.

Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulama telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat. Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada sensate culture, budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.

Masyarakat Muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban. Entahlah, mungkin rasa bosan terkurung menjadikan kita kecanduan berhibur atau kita menyalahi catatan taqdir. Kita semua, peserta-peserta universiti tarbiah Ramadan sepatutnya insaf dengan membuncahnya aktiviti penagihan najis dadah dalam kalangan anak muda, gejala buta agama, kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda. Moga Ramadan musim pandemik yang bakal menjelang ini merubah cara kita melihat sarwajagat, jadilah insan peduli ummah, ringan membantu orang lain, menyintai petunjuk rabbani, berteleku memohon keampunan Tuhan dan bercermin diri. Moga sempat kita menghirup udara segar Ramadan, bulan pengampunan, bulan al Quran, bulan jihad yang menggelegak dengan semangat perjuangan! – HARAKAHDAILY 22/3/2022 -Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

2. Drama Malaysia perlu anjakan paradigma

ERMA Fatima pernah berlakon dalam sebuah filem berjudul Rozana Cinta 87 bersama Bibiana Layola. Watak yang dimainkan mereka ialah sebagai pasangan Lesbian

Filem ini telah mendapat kritikan kerana ketidak sesuaian jalan cerita yang mungkin akan mempengaruhi penonton terutama golongan remaja. 

Tidak hanya filem itu, banyak lagi cubaan memasukkan unsur-unsur yang di luar kehendak agama atau budaya kepada jalan cerita di Malaysia, sentiasa mendapat tentangan.

Antaranya lagi tentangan terhadap Ramona Rahman yang melakonkan adegan ghairah dalam satu persembahan pentas arahan Dato’ Faridah Merican awal 90-an dahulu. Alhamdulillah rakyat Malaysia begitu prihatin dalam isu-isu sebegini.

Sehingga kini filem-filem di Malaysia masih dikira masih selamat daripada diracuni dengan perkara-perkara yang lebih teruk, walaupun yang ada sudah dikira agak teruk. Tetapi ia masih jauh lebih baik berbanding negara-negara jiran.

Syukur kepada Allah, Erma Fatima sekarang sudah bertudung. Memang ramai artis-artis Malaysia sekarang sudah kelihatan insaf dan ingin menjalani kehidupan seperti yang sepatutnya.

Akan tetapi, keperluan memahami kehendak Islam, perlu diterapkan kepada mereka, bukan hanya perubahan pakaian. Perubahan kepada praktis kehidupan juga, mesti semakin baik. Apatah lagi mereka adalah ‘public figure‘, yang boleh mempengaruhi orang lain.

Paling ditakuti, walaupun artis-artis ini salah dalam pemahaman agama, mereka tetap mendapat sokongan daripada peminat mereka yang jahil. Tambah lagi di zaman ‘netizen always right‘. Tidak kira ulamak atau siapa. Yang lawan mereka, siaplah kena kecam.

PAS menerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, di bawah Pengerusinya, Dr Ustaz Riduan Mohd Nor, sentiasa menggerakkan program-program bagi memberi kefahaman agama kepada artis-artis ini, memandangkan mereka juga adalah golongan yang penting dan patut dijadikan rakan dakwah.

Satu kejayaan besar kepada PAS melalui lajnah ini yang telah berjaya menganjak paradigma artis-artis yang dahulunya amat fobia dengan kewujudan PAS. Bagi mereka dahulu PAS adalah penghalang kerjaya seni mereka. Kini tidak lagi.

Bagi artis yang sudah faham hasil dari tarbiyah PAS, alhamdulillah, mereka malah, boleh menghafal ayat-ayat al-Quran, dek kerana kesungguhan mereka selepas berubah. Mereka juga menjaga penampilan mereka secara tidak langsung mengajak semua peminat mereka turut berubah. Inilah yang kita mahukan.

Kita mengharapkan Erma Fatima akan lebih peka dengan kerisauan rakyat untuk hal sebegini dalam menghasilkan karya seni. Kita saling membantu membina masyarakat yang lebih bermaruah. Anda melalui seni dan yang lain melalui cabang masing-masing.

Sanggupkah ia menjadi tayangan di bulan Ramadan ini? Ketika orang mengutip pahala berganda atas keberkatan Ramadan, jangan pula kita mencari dosa berganda.

Kenapa saya tekankan kepada Erma berbanding Zul Arifin? Kerana orang lelaki akan anggap adegan sebegini sebagai ‘peluang’. Kalau tidak, masakan dia sanggup berkongsi babak itu di media sosial.

Manakala Erma pula ialah seorang wanita dan beliau sebagai pihak yang membuka peluang kepada orang lain untuk menikmati adegan itu, atas kaum sejenisnya. Ia ibarat seperti akar. Jadi kita berharap untuk peluang itu ditutup, maka kita matikan akar itu.

Atau adakah masyarakat kita akan dibudayakan dengan tular-tular yang bodoh, jahat, menghina, lucah dan sebagainya untuk mereka menjadi ruangan iklan percuma dan mendapat untung?

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 21/3/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim; Ke arah hiburan menurut syariah.

1 comment:

  1. Saya sebenarnya merasa meloya nak muntah menonton sebilangan besar drama Melayu yang tidak berpijak di atas bumi yang nyata, watak biadab , angkuh dan sombong, watak berlagak lebih mat saleh dari mat salleh sendiri, plot tidak logik dan merapu, dialog yang meloyakan dan menghina minda kita yang menontonnya, babak dan adengan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan akhlak dll.

    Yang paling meloyakan watak wanita dedah aurat dan kurang adab menjadi kegilaan watak lelaki.

    Semua ini mencerminkan minda penerbit, penulis skrip, pengarah dan pelakon yang masih berada dalam kotak bukan diluar kotak.

    ReplyDelete