Wednesday, March 23, 2022

Tabung Haji ikon Dunia Islam, PAS sokong JAKIM

 

1. Tabung Haji jadi ikon kebanggaan Dunia Islam

KUALA LUMPUR: Tabung Haji menjadi ikon kebanggaan dunia Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Menurutnya, perkembangan itu yang memperteguhkan semangat beliau dan untuk menjaga amanah Tabung Haji sebaik mungkin.

Beliau berkata, perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Imigresen Arab Saudi yang telah memuji Malaysia kerana mendapat kemudahan pemeriksaan Imigresen Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Persidangan Pameran Haji dan Umrah di Jeddah Superdome.

Idris hadir pada persidangan itu atas undangan rasmi bagi mewakili kerajaan Malaysia.

Menurutnya, sesi pertama persidangan membincangkan berkaitan tajuk Transformation Towards Innovation and Technology.

Barisan panel terdiri daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, Ibrahim A. Al-Omar (Ketua Pengarah Syarikat Penerbangan Arab Saudi), Kolonel Jeneral Suliman A. Al-Yahia (Ketua Pengarah Imigresen), Abdulrahman F. Addas (Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Diraja Bagi Kota Suci Makkah) dan Dr. Abdulrahman S. Al-Jadhai (Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Elm).

“Dalam sesi tersebut, Ketua Pengarah Imigresen Arab Saudi telah memuji negara Malaysia kerana mendapat kemudahan pemeriksaan Imigresen Arab Saudi di KLIA berikutan Malaysia sebagai antara negara pertama melaksanakan program prapelepasan untuk jemaah haji di negara asal,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau, malam tadi.

Ini, katanya merupakan satu pengiktirafan yang besar kepada negara Malaysia dalam persidangan tersebut.

“Inilah apa yang kita sentiasa pertegaskan. Tabung Haji menjadi ikon kebanggaan Dunia Islam.

“Ini memperteguhkan semangat saya dan kita semua untuk menjaga amanah Tabung Haji sebaik mungkin,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/3/2022

2. ‘Perempuan Itu’: PAS sokong penuh tentangan keras JAKIM

KUALA LUMPUR: PAS menyokong penuh penentangan keras Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap penyiaran video sedutan drama ‘Perempuan Itu’ berbaur lucah yang tular di media sosial baru-baru ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program yang memaparkan adegan berbaur lucah adalah bercanggah dengan Islam, maruah umat Islam dan budaya masyarakat Melayu.

“Tidak wajar disiarkan dalam walau apa jua alasan yang diberikan. PAS meminta agar pihak berautoriti mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. 

Sehubungan itu, kata beliau PAS menasihatkan golongan karyawan agar melahirkan karya bermutu dan bersesuaian dengan prinsip agama Islam dan kesusilaan masyarakat Malaysia.

Semalam, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff menegaskan drama ‘Perempuan Itu’ dan seumpamanya tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa apatah lagi di bulan Ramadan.

“Berdasarkan penelitian, jabatan ini menentang keras penyiaran program seumpama ini yang jelas mempamerkan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral yang melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak,” ujarnya.

Katanya lagi, JAKIM telah menyatakan pendirian dan pandangan mengenai isu ini kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya tindakan tegas dapat diambil segera.

Sehubungan itu, tambahnya JAKIM menggesa semua pihak sama ada stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan para pelakon agar lebih cakna dan mengelakkan isu-isu seumpama itu. – HARAKAHDAILY 22/3/2022

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails