Kubu warisan tamadun Islam berusia lebih 500 tahun ditemui di Jeddah
JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi mengumumkan penemuan salah satu tapak arkeologi utama di bandar Jeddah di sini, dengan menggali kubu bawah tanah yang wujud sejak lebih 500 tahun lalu.
Menurut laporan Saluran 1 televisyen Saudi, tapak arkeologi yang dikenali sebagai Kubu Warisan Al-Shouna, yang mula dibina sejak tahun 1516 itu ditemui semasa perobohan bangunan secara rawak, yang terletak berhampiran Jalan Qabil dan bersebelahan dengan Jalan Al-Dhahab di kawasan Balad, salah satu pasar tradisional bersejarah di Jeddah.
Laporan televisyen itu menyatakan bahawa kerja-kerja penggalian dan perobohan yang berterusan mungkin membawa kepada penemuan lebih banyak khazanah sejarah dan arkeologi yang dikaitkan dengan bandar yang tamadunnya berkembang sejak 3,000 tahun lalu dan kemudiannya muncul sebagai salah satu pelabuhan utama di pantai Laut Merah.
“Tapak arkeologi itu dikaitkan dengan tembok kota lama dan parit, yang dianggap sebagai kawasan tepian air pada tahun 1516.
“Semasa kerja-kerja perobohan yang sedang dijalankan, beberapa tapak warisan ditemui di antara runtuhan ini, selain daripada kawasan pantai purba bandar itu,” ujar laporan berkenaan.
Dalam pada itu, Penyelia Besar Program Jeddah Bersejarah, Ashrad Kamel berkata, Al-Shouna merupakan kubu purba yang ditemui semasa proses penggalian.
“Kubu Al-Shouna telah lenyap dalam perjalanan sejarah dan tiada siapa yang tahu lokasinya, menunjukkan bahawa ia adalah kubu terbesar di pantai Laut Merah,” ujarnya. – Saudi Gazette
No comments:
Post a Comment