MUAR: Calon Perikatan Nasional yang memenangi kerusi DUN Maharani, Abdul Aziz Talib akan memberikan kerjasama yang sebaik-baiknya sebagaimana yang dijanjikan di dalam manifesto.
Beliau yang menang dengan majoriti 1,037 undi juga mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di DUN Maharani dan jentera yang membantu di atas kejayaan tersebut.
“Alhamdulillah terutamanya mengucapkan syukur kepada Allah SWT setelah kita selesai menjalani proses pengundian pada hari ini, Allah memberikan kemenangan kepada kita.
“Semoga dengan segala kemenangan yang Allah berikan kepada ini akan mendapat rahmat daripada Allah SWT, insya-Allah kita akan meneruskan perjuangan kita.
“Alhamdulillah, setelah diberi pengumuman pada hari ini tentang pengisytiharan pencalonan di Dewan SMK Dato’ Sri Ammar DiRaja, dan pengumuman telah pun dilakukan dan alhamdulillah saya telah pun mendapat undi sebanyak 7,559 dengan majoriti 1,037 undi.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi di DUN Maharani yang telahpun mengundi saya sebagai wakil rakyat di DUN Maharani ini.
“Insya Allah saya akan memberikan kerjasama sebaiknya sebagai mana yang telah dijanjikan di dalam manifesto Perikatan Nasional, dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua jentera yang membantu bagi memenangi pilihan raya ini,” ujarnya ketika ditemui selepas diumumkan memenangi kerusi DUN Maharani, sebentar tadi.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Muar turut mengucapkan terima kasih kepada para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis Diraja Malaysia dan semua yang terlibat mengendalikan proses pilihan raya kali ini.
“Terima kasih daripada mula sehingga akhir, mudah-mudahan segalanya dapat berjalan dengan baik.
“Saya juga sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, sama ada pengundi, jentera pilihan raya dan petugas-petugas, semua dapat berjalan dengan baik. Alhamdulillah dari mula hingga akhir pengisytiharan,” ujarnya lagi.
“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga berikan kekuatan daripada Allah SWT di atas kemenangan yang Allah berikan kepada kita. Semua ini adalah merupakan usaha, ikhtiar dan doa kita bersama-sama,” katanya lagi.
Pada PRN Johor kali ini, beliau memperoleh 7,559 undi sementara calon BN, Noor Farah Shamsudin mendapat 5,861 undi, Muhamad Hanis Asmui Md Salleh (PBM – 190), Nor Hayati Bachok (PH – 6,522), Riad Ahmad (Pejuang – 292) dan Lim Kim Joo (Bebas – 592).
Nor Hayati adalah penyandang kerusi DUN Maharani yang dimenangi pada PRU lalu dengan majoriti 5,674 undi.
PAS pernah memenangi kerusi DUN Maharani pada PRU12 menerusi Dr Mohammad Taslim yang memperoleh 8,154 undi menewaskan calon BN, Datuk Mohd Ismail dengan majoriti 158 undi.
Dr Mohammad berjaya mempertahankan kerusi DUN tersebut pada PRU13 dengan mengaut 12,731 undi mengalahkan calon BN, Dato’ Zulkhairi Ahmad yang mendapat 9,595 undi. – HARAKAHDAILY 12/3/2022
Alhamdulillah !
ReplyDelete