Thursday, March 10, 2022

Zailah Prihatin Rakyat, sebagai menteri Wanita & AP R/Panjang.

 

1. 
1. 202 program tingkatkan kualiti kepimpinan wanita sepanjang 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) , melaksanakan sebanyak 202 program kepimpinan untuk mengasah bakat, kemahiran dan kepimpinan golongan wanita sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata pelbagai program yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) memanfaatkan seramai 100,923 peserta.

Menurutnya, program berbentuk latihan, advokasi dan pendedahan memberi kesedaran dan meningkatkan kemampuan wanita mempengaruhi keputusan berkaitan interaksi sosial.

Katanya, antara program utama kepimpinan wanita ialah Forum Kepimpinan Kendiri: Bangkit Sendiri yang bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan aspek kepimpinan dan keperluan wanita bangkit menghadapi sebarang cabaran dalam kehidupan.

“Program utama lain ialah Simposium Wanita Dalam Pengajian Tinggi yang dilaksanakan oleh JPW bersama Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara, Universiti Sains Malaysia (USM)

“Simposium itu membolehkan wanita membincangkan dan berkongsi pandangan, idea atau inovasi mengenai isu dan trend semasa berkaitan era disruptif, kelestarian dan kepimpinan dalam pendidikan tinggi,” katanya menjawab soalan lisan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) di Dewan Rakyat, hari ini.

Shaharizukirnain meminta KPWKM menyatakan perancangan untuk mengasah bakat kepimpinan wanita untuk memastikan lebih ramai golongan wanita bersedia untuk memimpin.

Siti Zailah berkata, JPW juga mengadakan Konvensyen Pemimpin Muda 2021 untuk mengumpulkan maklumat bagi penambahbaikan agenda pemerkasaan wanita daripada pemimpin muda pelbagai latar belakang negara ini.

Katanya, maklum balas pemimpin muda dijadikan rujukan untuk penggubalan dasar pada masa hadapan dengan fokus perbincangan berdasarkan enam kluster, iaitu pekerjaan dan penjanaan pendapatan, pendidikan dan kesaksamaan gender, kepimpinan dan politik, kesihatan, keselamatan dan perundangan.

“Program Pemerkasaan Gender dan Kepimpinan Wanita Muda & Wanita Berkerjaya pula diadakan sepanjang tahun melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri.

“Tujuan program ini diadakan untuk memberi inspirasi kepada wanita muda dan berkerjaya mengenai teknik kepimpinan, meningkatkan kebolehpasaran wanita muda untuk menduduki kerusi lembaga pengarah dalam sektor korporat dan kebolehupayaan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai bidang,” katanya.

Dalam Belanjawan 2022, katanya kerajaan memperuntukkan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi menjalankan latihan kepimpinan muda. – HARAKAHDAILY 9/3/2022

2. Zailah tanggung kos sewa pemilik rumah hanyut banjir

PASIR MAS: Ahli Parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff akan menanggung kos penyewaan yang perlu dibayar lima pemilik rumah susulan kediaman mereka di Kampung Tersang, Rantau Panjang di sini, dihanyutkan banjir pada 26 Februari lepas.

Beliau berkata mangsa terlibat akan menyewa di tempat lain, sementara menunggu rumah dibina semula oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan agensi lain.

“Lima rumah penduduk di Kampung Tersang dihanyutkan air banjir yang deras ketika kejadian pada 26 Februari lepas.

“Penghuni lima rumah tersebut boleh menyewa buat sementara waktu, bayaran sewa akan ditanggung di bawah peruntukan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang sehingga rumah mereka siap dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang juga Tengku Temenggong Kelantan menyampaikan sumbangan banjir bernilai RM46,800 kepada 36 ketua isi rumah (KIR) Kampung Tersang, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata rumah baharu itu dijangka mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk disiapkan.

Menurutnya, bagi kerja-kerja pembaikan rumah yang rosak pula, pihaknya akan melakukan kerja baik pulih dengan kerjasama penghulu mukim.

“Bagi mempercepatkan proses baik pulih rumah, tukang kampung akan digunakan selain rumah berkenaan dibina secara gotong-royong,” katanya.

Sementara itu, Siti Zailah berkata pihaknya telah membantu lebih 10,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah Rantau Panjang dalam tempoh bencana banjir yang berlaku bermula 26 Februari.

“Bantuan disalurkan dengan pemberian kit makanan melalui Pusat Bantuan Asnaf Rantau Panjang. Bantuan akan berterusan dari semasa ke semasa. Selain itu kita juga mengedarkan borang permohonan untuk mangsa banjir memohon bantuan lain yang disediakan,” katanya. – BERNAMA

3. Prihatin kejiranan, pantau keganasan rumah tangga

KUALA PERLIS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merekodkan 669 aduan keganasan rumah tangga dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata aduan tersebut diterima menerusi Talian Kasih 15999 dan 019 2615999.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat agar mengambil peduli dengan persekitaran di sekitar kediaman masing-masing bagi mengesan jenayah keganasan rumah tangga.

“Sekiranya kita dengar jiran-jiran kita berdepan dengan masalah rumah tangga, ada aduan dan mendengar jiran (berdepan isu keganasan rumah tangga), buatlah aduan kepada Talian Kasih,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bakul Makanan di Sanglang dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Siti Zailah berkata untuk memudahkan urusan pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 dalam kalangan rakyat, kaunter pendaftaran akan dibuka pada setiap program anjuran kementerian itu.

“Di bawah kumpulan sasaran kami warga emas sudah ada senarai nama, namun warga emas di luar sana kita juga galakkan mereka untuk mendaftar bagi dapatkan vaksin ini,” katanya. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu HasyimZailah yang prihatin rakyat. Beliau adalah sebagai Timbalan Menteri  Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Ahli Parlimen Rantau Panjang. Selamat berkhidmat, Al-hamdulillah!

Siri Analisis PRN Johor

  


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails