Sunday, April 10, 2022

79 PATI ditahan & naikkan harga siling ayam ke RM9.90-1 kg.

 

1. Tambang RM1,800 hangus, 79 PATI ditahan di Sabak Bernam

Seramai 79 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, di Kuala Sungai Besar, Sabak Bernam, dalam Op Gelora, semalam.

Komander PPM Wilayah 1 Pulau Pinang Shamsol Kassim, berkata kesemua migran adalah warganegara Indonesia yang gagal menunjukkan sebarang dokumen sah dan dipercayai baharu masuk ke perairan negara ini.

“Hasil maklumat awal, mereka dikenakan bayaran untuk masuk ke Malaysia adalah 6 juta rupiah (RM1,800) yang dibayar kepada ejen di Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Shamsol berkata, dalam operasi di kedudukan 4.8 batu nautika dari Kuala Sungai Besar itu, seorang tekong dan empat pembantu tekong turut ditahan.

“Dalam operasi lebih kurang 10.30 malam itu dengan menggunakan botronda PPM, PSC 15 telah berjaya memintas sebuah bot Pom Pom Indonesia yang menjalankan aktiviti penyeludupan migran dari Indonesia ke Malaysia,” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Siasat awal mendapati tekong dan ejen terbabit aktif menguruskan migran keluar masuk Malaysia sejak sebulan lalu,” katanya. FMT

2. Bos Mydin desak naikkan harga siling ayam RM9.90 sekilogram  
PETALING JAYA: Ketua rangkaian pasar raya Mydin menggesa kerajaan menaikan harga siling ayam standard kepada RM9.90 per kg bagi mengatasi kekurangan teruk bahan makanan itu di pasaran.

Sambil menyatakan peningkatan kos bahan makanan ayam dan kekurangan buruh yang masih berlanjutan, Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin, berkata harga siling RM8.90 per kg, yang dikuat kuasa bermula 5 Feb hingga 5 Jun, membuktikan ia tidak dapat dilaksanakan.

Dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang semakin dekat, Ameer berkata, kerajaan perlu bertindak pantas.

“Ini sudah di luar kawalan kerajaan. Saya mencadangkan kerajaan membenarkan kuasa pasaran mengambil alih, atau meningkatkan harga siling kepada RM9.90 per kilogram,” katanya.

“Sekurang-kurangnya, pengguna boleh mendapatkan ayam untuk dihidangkan di meja makan. Adalah lebih baik harga siling ditetapkan RM9.90 per kg kerana lebih murah berbanding daging dan ikan. Ia masih lagi terendah untuk dijadikan sumber protein.”

Peniaga ayam dilaporkan menjual ayam melebihi daripada harga kawalan ditetapkan. Kebanyakannya berkata, mereka tidak mempunyai pilihan selepas pemborong mengenakan harga RM8.70 per kg.

Ameer berkata, pembekal sering mengenakan lebih daripada harga borong, RM7.60 per kg.

Seorang peniaga ayam di Kuala Lumpur yang enggan dinamakan, berkata walaupun mempunyai bekalan ayam, “harga terlalu tinggi sehingga saya tidak dapat menjualnya”.

FMT sedang mendapatkan ulasan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. – FMT

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails