Monday, April 18, 2022

Berterusan mohon maaf fitnah Dr Kamarul. & drama Sabri Yunus..

 

1. Ketua AMK Perlis pula terpaksa mohon maaf fitnah Dr Kamarul

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perlis, Amar Abd Jalil telah mengaku menerbitkan dua kenyataan fitnah terhadap Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Sehubungan itu, Amar yang juga Ketua AMK Cabang Padang Besar telah menyatakan permohonan maaf atas tuduhan dibuatnya terhadap pensyarah di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) UUM itu.

Anak muda tersebut mengakui dua kenyataannya itu adalah tuduhan tidak benar dan menarik balik semua serta berjanji tidak akan menerbitkan kembali atau yang seumpamanya di masa hadapan terhadap Dr Kamarul.

“Saya, Amar Abd Jalil, merasa amat kesal atas keterlanjuran saya menerbitkan dua kenyataan palsu tersebut dan saya dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan memohon maaf kepada Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff.

“Kerana telah menyebabkan beliau mengalami kecederaan yang serius sama ada dalam kapasiti peribadi atau profesional beliau,” umumnya dalam kenyataan yang disiarkan semalam.

Amar juga turut mengumumkan menarik balik laporan polis dibuatnya terhadap Dr Kamarul di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar pada 28 April tahun lalu setelah nyata tuduhan dibuatnya tidak benar dan satu fitnah.

Amar telah menerbitkan di laman Facebook AMK Cabang Padang Besar dan peribadinya pengumuman untuk membuat laporan polis terhadap Dr Kamarul dan jemputan kepada media berkenaan aduan dilakukannya.

Beliau menuduh Dr Kamarul telah membuat satu tulisan di Facebook yang menghina Tuanku Raja Muda Perlis dan sidang media laporan polis terhadap Kamarul Yusoff yang telah menghina Tuanku Raja Muda Perlis.

Amar juga mendakwa tulisan berkenaan telah dibuang oleh Dr Kamarul dan mendesak pihak polis menyiasat di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988 [Akta 589]. 

“Saya dengan ini juga menegaskan bahawa Dr Kamarul sebenarnya tidak pernah membuat apa-apa hantaran Facebook yang menghina Tuanku Raja Muda Perlis; tidak pernah melakukan apa-apa jenayah yang menyebabkan ketegangan dan kebencian atau menyebabkan keharmonian dan perpaduan terjejas bersandarkan agama.

“Dr Kamarul sebenarnya tidak pernah melakukan jenayah fitnah. Dr Kamarul sebenarnya tidak pernah menulis komen atau komunikasi yang palsu dan menyinggung perasaan orang ramai di internet,” akui Amar.

Dr Kamarul sebelum ini mendapat perhatian umum atas saman fitnah beberapa pihak lain yang menuduh beliau membuat hantaran Facebook mempertikaikan foto Raja Muda Perlis dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berbasikal.

Antara mereka sedang disaman beliau kerana isu sama ialah Naib Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff dan Ketua PAN Ledang, Azhar Ismail serta mantan Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Nur Liyana Ahmad Marzuki.

Turut disaman atas fitnah sama juga ialah mantan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Sebelum ini Dr Kamarul juga menggegarkan arena politik kerana menyaman lapan Ahli Parlimen DAP, iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh, dan Steven Sim.

Selain dua Ahli Parlimen PAN, iaitu Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin, atas beberapa isu yang berbangkit.

Malah beliau sebelum ini menerima banyak permohonan maaf daripada pemimpin politik yang disamannya kerana memfitnah, termasuk lima pemimpin PAN, iaitu peguam Wan Anwar Wan Ibrahim, peguam Mohd Fitri Asmuni, Jamzuri Ardani, Ahmad Zhafri Md Noor dan Kamal Koh Abdullah. – HARAKAHDAILY 16/4/2022

2. Sabri Yunus angkat nilai sebenar ore Kelate 

HALAMAN HIBURAN

PENGAKHIRAN yang sedih malam tadi apabila drama 16 episod arahan seniman berasal dari Kelantan, Sabri Yunus melabuhkan tirai tayangannya. Ramai mengakui telah menitiskan ‘air mata jantan’ mereka sebanyak dua kali dengan dua babak penting lewat malam tadi. 

Pertamanya apabila watak Pok Ya duduk berdoa mengangkat tangan menyerahkan kepada Allah S.W.T untuk menyelesaikan segala kekusutan dan keserabutan yang melanda dirinya sepanjang misi memburu Siti isterinya. Walaupun telah dilakukan pelbagai perbincangan, perancangan, usaha-usaha mencari bersama Nasir Badak, Halim, Din Somchai, Muda, Wadi dan beberapa watak lain, tetapi kemuncak yang nyata adalah, bertawakal kepada Allah S.W.T.

Secara tidak langsung, Sabri mengajak warga penonton untuk benar-benar memahami bahawa konsep kehambaan manusia kepada Tuhannya harus berjalan seiring dengan segala usaha dan kerja-kerja harian. Pengharapan dan pergantungan hanya kepada Allah S.W.T setelah segala buah fikiran, usaha, pelan tindakan dan perbuatan dilakukan.

Antara yang penting malam tadi juga adalah erti pencarian sebenar dalam kehidupan dan ikatan kekeluargaan apabila Muda Primula akhirnya ‘pecah rahsia besar’ kepada Pok Ya. Bahawa kesungguhan dan keperitan usaha mencari Siti yang diyakini mengandungkan ‘anak jantan’ sebenarnya telah lama tertunai. Halim yang selama ini menjadi budak Pok Ya sebenarnya adalah anak kandung beliau tanpa disedari.

Segala pengorbanan yang Halim lakukan dalam mengikuti Pok Ya ke mana sahaja, sejak zaman remajanya, adalah semata-mata mahu melindungi ayahnya Pok Ya. Dan selama masa itu jugalah Pok Ya tidak tahu bahawa Halim adalah anaknya. Adakah ia telah terlambat? Kerana sewaktu Pok Ya menyedari hal ini, pada waktu yang sama JJ telah menikam Halim di Kuala Lumpur. Selamatkah Halim? 

Perkara lain yang boleh dibanggakan dalam drama ini adalah semangat setia kawan antara anak Kelantan di Kuala Lumpur serta di Kelantan. Mereka bantu membantu mencari Siti biarpun masing-masing sibuk bekerja dan memiliki masalah tersendiri. Nasir dengan masalah menantunya, Halim terkepit dengan majikannya, Mamat Kertuk dengan kerja menjaga projek pasirnya dan hal-hal lain, namun masih menolong Pok Ya. 

Semangat anak Kelantan turut berada dalam watak Jering walaupun pada mulanya dilihat bertembung dengan Halim, namun akhirnya membantu Halim bahkan meriba tubuh Halim yang berlumuran darah ditikam JJ. 

Akhirnya, semangat setia kawan antara orang Pantai Timur melalui watak Muda Primula yang dimainkan oleh Eman Manan cukup mengesankan. Dialah yang menjadi pelerai kepada semua kekusutan yang melanda dalam drama ini. Dia menjadi tempat Halim mengadu nasib, meminta kerjasama dan perlindungan kerana telah lama berurusan dengan orang seperti Robert. 

Muda Primula membantu Halim yang tersepit dalam usaha menyerahkan Siti kembali kepada Pok Ya dan pada masa yang sama mahu terus bekerja di bawah Mem dan Robert. Muda juga membantu Halim menghalang Pok Ya bertindak melulu serta melangkaui batasan penyelesaian masalah apabila menculik Mem, dibawa lari ke Kota Bharu sebagai tukaran kepada Siti. 

Pendek kata, munculnya watak Muda Primula yang sanggup berdepan dengan Robert, bergadai nyawa, bertempur beberapa kali dengan orang muda samseng (mujur sahaja masih hebat pencak silatnya), bahkan terpaksa merahsiakan semua tindakan peliknya pada Pok Ya. 

Hingga menimbulkan kesangsian Pok Ya kepadanya, mengusung Siti dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dan kemudian ke Kota Bharu tanpa mendapat untung satu sen pun. Ini adalah gambaran kepada bagusnya hubungan kekeluargaan antara orang Pantai Timur.  

Itu antara mesej-mesej bagus yang kita boleh cerna dengan cepat melalui drama ini. Semoga bakat seni dalam diri Sabri Yunus terus mengalir segar dalam jiwa dan diri ‘anaknya’ Halim. 

Drama ini berjaya mengangkat watak Halim sebagai aktor penting dengan cukup baik. Biarpun pada 12-13 episod awal, Halim dipandang serong dan dilihat terlalu naif pada mata jutaan penonton drama ini. Tetapi akhirnya, penyelesaian masalah mencari Siti ini juga selesai disebabkan bijaknya perancangan Halim. 

Tahniah Sabri Yunus yang cekap menyusun jalan cerita!

Apapun, tahniah Pok Ya Cong Codei Memburu Siti. Kami anak Kelantan berbangga dengan hasil seni begini. Ia paparan sebenar kisah masyarakat, bukannya cerita anak-anak Dato’ Tan Sri yang pulang daripada US atau London menguruskan firma dan ‘holdings‘ sana sini. Ia kisah rakyat, cerita orang kita!

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – 
HARAKAHDAILY 15/4/2022 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails