Tuesday, April 26, 2022

Haram paksa kahwin & gaji minimum RM2,500..

 

1. Haram paksa kahwin

IBN Abbas berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لا تُنْكَحُ الْأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ، وَلَا تُنْكَحُ الْبِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ

“Janganlah dikahwinkan janda sehingga diminta persetujuannya dan janganlah dikahwinkan anak dara sehingga diminta izinnya.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Mengahwinkan hak wali 

Sebelum bincang berkenaan hak wanita untuk berkahwin, kita bincang sekejap hak lelaki untuk mengahwinkan perempuan. Wanita berhak kahwin, tetapi wanita perlu dikahwinkan oleh lelaki. 

Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا نِكَاحَ إِلَّا بِوَلِيٍّ

“Tidak sah nikah melainkan dengan wali.”

[Hadis Riwayat Abu Daud]

Orang yang berhak mengahwinkan wanita diistilahkan sebagai wali. Wali ada tiga jenis. Wali Mujbir, Wali Ikhtiyar dan Wali Hakim.

Wali Mujbir adalah mereka yang sah mengahwinkan wanita tanpa keizinan mereka. Wali Mujbir utama adalah bapa. Jika tiada bapa, maka datuk sebelah bapa. Jika tiada, maka moyang lelaki sebelah bapa dan begitulah seterusnya ke atas.

Jika Wali Mujbir tiada, maka hak wali pergi Wali IkhtiyarWali Ikhtiar tidak boleh kahwinkan wanita tanpa izin mereka. 

Hak Wali Ikhtiar adalah mengikut turutan berikut:

Adik beradik lelaki kandung,
Adik beradik lelaki sebapa,
Anak saudara lelaki kandung,
Anak saudara lelaki sebapa,
Bapa saudara sebelah bapa kandung,
Bapa saudara sebelah bapa sebapa.

Banyak lagi Wali Ikhtiar ini. Boleh rujuk kitab fiqh untuk senarai penuh.

Kedua kategori ini dinamakan Wali Nasab iaitu wali yang memiliki ikatan darah. 

Jika kedua jenis wali ini tiada, maka hak kahwin pergi kepada Wali Sultan.

Wali Sultan adalah kerajaan. Hak mereka juga seperti Wali Ikhtiyar. Malah ulamak mengkategorikan mereka termasuk Wali Ikhtiyar pada tertib paling akhir.

Wanita perlukan wali

Apapun, wanita tiada ruang untuk mengahwini diri mereka sendiri. Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ، وَلَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا

“Seorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirinya sendiri.”

[Hadis Riwayat Ibn Majah]

Dalam Fiqh Manhaji ada disebut, hikmah disyariatkan wali dalam perkahwinan adalah kerana wanita memiliki sifat malu yang tinggi berbeza dengan lelaki. Islam yang sangat memahami naluri seorang wanita tidak akan membiarkan mereka terkontang-kanting menguruskan hal penting dalam hidup mereka ini.

Hikmah disyariatkan lelaki pula kerana status Qawwam yang mereka miliki. InsyaAllah kita bincang Qawwam ini pada Belaian lain. Tapi yang mengikuti tulisan ini daripada Belaian 1 sudah boleh memahami kenapa perlu lelaki.

Dari segi bahasa, wali bermaksud kasih-sayang, perlindungan dan pertolongan. Tanggungjawab seorang wali adalah memberi sepenuh kasih sayang kepada wanita. Mereka perlu buat keputusan terbaik untuk wanita.

Gadis ada hak izin 

Walaupun wali ada hak mengahwinkan wanita, tetapi mereka tidak boleh menggunakan hak itu sesuka hati. Perlu bersikap adil, insaf dan menjaga kepentingan wanita itu.

Sebab itu Rasulullah S.A.W pesan dalam hadis di atas sebelum mengahwinkan wanita, tanya mereka dahulu. Minta izin mereka dahulu.

Kalau Wali Mujbir tak minta izin, ikut mazhab Syafie ia tetap sah. Tetapi kalau tak minta izin kerana nak tunjuk kuasa, atau kerana perkara lain yang tidak bermaslahahkan kepentingan wanita itu, maka ia adalah perlakuan zalim dan berdosa. Itu yang difahami daripada hadis di atas.

Perkahwinan bukan platform meluaskan jaringan bisnes. Jangan kerana nak jadi shareholder syarikat mana-mana, kita kahwinkan anak dengan pemilik syarikat itu tanpa mengambil kira kehendak si anak. Ia adalah perlakuan zalim. Seolah memperdagangkan si anak.

Janda lebih berhak

Berpandukan hadis di atas juga, majoriti ulamak menyatakan tidak sah mana-mana wali mengahwinkan janda tanpa persetujuan mereka. Tidak kiralah janda berhias ke, janda kematian suami atau janda cerai.

Ini kerana mereka dikira sudah berpengalaman kahwin. Jadi mereka dianggap mampu buat keputusan sendiri untuk diri mereka.

Tapi perlu diingat, mereka tetap perlu meminta wali untuk menikahkan mereka. Wali pula perlu ikut sahaja jika tiada perkara yang menyalahi syarak. Jika tidak, ia juga dianggap zalim dan berdosa.

Oleh kerana wanita sifatnya pemalu, mungkin dia tak tergamak nak kata setuju. Lalu Nabi mengatakan kalau dia diam tanpa bantahan, maka dikira setujulah.

Bab ini ada beza sedikit antara janda dan dara. Kalau si janda malu nak kata setuju pun, sekurang-kurangnya kena bagi isyarat tanda setuju. Angguk ke, senyum-senyum sipu ke, kenyit-kenyit mata ke, thumbs up ke, mini love ke ikutlah apa jua yang boleh difahami tanda setuju.

Hikmah disyaratkan wali juga kepada janda supaya lelaki punya ruang memberi nasihat sebelum wanita berkahwin. Kan lebih baik kalau ada sisi pandang dari jantina berbeza.

Tengok, Islam sangat menjaga wanita. Tak akan biarkan wanita sendirian!

Rimas dengan wali? 

Jangan nampak Islam saja-saja nak tunjuk superiority lelaki. Tujuan konsep wali diterapkan supaya mencapai maqasid berkahwin; supaya perkahwinan itu mencapai kebahagiaan dunia akhirat.

Cuba letakkan kaki dalam kasut seorang ayah, betapa risaunya mereka tengok kebuayaan lelaki-lelaki di luar sana. Tambah risau mereka dengan kenaifan anak-anak gadis yang mudah diperdaya lelaki jahat. Modal ayat manis sikit, habis tergadai body.

Tengoklah mangsa love scam. Kebanyakannya wanita. Termasuklah janda. Hanya bermodalkan ayat-ayat manis copy paste, gambar kacak entah artis mana serta posting-posting yang menampakkan kemewahan dan kebaikan, ratusan ribu malah juta berjaya mereka tipu. Kalau dah tahap angau, kena tipu hidup-hidup pun, berhabis ribu riban pun, masih nak percaya lagi! 

Lelaki pun ada kena tipu. Tapi ikut rekod, wanita lebih ramai. Tambahan, kerugian yang ditanggung wanita lebih besar lagi. Bukan setakat wang, malah body sekali.

Nak kata cara Barat lebih baik dan mudah, tengoklah institusi kekeluargaan mereka. Ok ke? Walaupun yang kahwin tak berapa ramai, tapi kadar perceraian tetap tinggi. Yang gantung tak bertali lagilah.

Tempat kita pun banyak juga kes macam itu. Cuma kena sedar bukan salah ajaran Islam, tapi salah orang Islam yang tak ikut ajaran Islam seawal proses membina perkahwinan lagi. Dari bab couple sampailah bab kenduri. Macam manalah perkahwinan nak berkat. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 25/4/2022

2. Pusat Konvensyen KL beri gaji minimum RM2,500 

KUALA LUMPUR: Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mengumumkan gaji minimum RM2,500 untuk pekerja sepenuh masa, 40 peratus lebih tinggi daripada mandat kerajaan, yang akan berkuat kuasa pada 1 Mei 2022.

Pengurus Besarnya, Alan Pryor, yang membuat pengumuman itu pada satu sesi 'townhall' baru-baru ini berkata berdasarkan komitmen untuk melindungi kebajikan dan kesejahteraan pekerja, semakan semula gaji minimum pusat konvensyen itu mengambil kira kenaikan kos kehidupan di Kuala Lumpur.

"Pekerja adalah aset terbaik kami dan apabila memulakan semula perniagaan dengan kapasiti penuh selepas dua tahun, keputusan ini bukan hanya tiba pada masanya malah satu keputusan yang tepat," katanya dalam satu kenyataan.

Pryor turut berkongsi bahawa sektor hospitaliti sedang berdepan kekurangan pekerja yang besar ketika Malaysia menyambut acara dan pelancong antarabangsa kembali ke negara ini.

"Pasca COVID-19, kita berdepan dengan pengurangan rantaian bekalan, penurunan jumlah pekerja dan persaingan sengit di peringkat domestik serta serantau.

"Dasar gaji dan pampasan yang dipertingkatkan perlu dilaksanakan merangkumi seluruh industri bagi menarik bakat baharu dan merangsang moral pekerja sedia ada," katanya.

Pusat konvensyen itu juga sedang aktif mengambil pekerja sambilan menyertai Program Duta yang menyediakan kursus pengendalian makanan asas, elaun latihan, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), jadual kerja fleksibel, pakaian seragam, makanan bertugas dan elaun pengangkutan syif malam.

Calon yang berminat boleh menghubungi Norzehan Hamdan di talian 017- 9907995 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Pelajar institusi pengajian tinggi digalakkan memohon. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails