Reaksi pengendali Liverpool Jurgen Klopp ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Stadium Etihad. - Foto REUTERS
SUKAN
MANCHESTER: Pengendali Liverpool Jurgen Klopp menggambarkan keputusan seri 2-2 menentang Manchester City ibarat pertarungan tinju antara dua pesaing gelaran, dengan kedua-dua peninju tidak mampu untuk lalai walau sesaat.
Kevin De Bruyne meletakkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris City di depan pada minit kelima aksi di Stadium Etihad, tetapi Diogo Jota menyamakan kedudukan lapan minit kemudian.
Gabriel Jesus kembali meletakkan City di depan sebelum rehat tetapi Sadio Mane meraikan ulang tahun ke-30 kelahirannya dengan gol penyamaan kedua buat skuad kendalian Klopp.
Pemain Manchester City, Kevin De Bruyne meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan, Raheem Sterling selepas menjaringkan gol pertama pasukannya ketika menentang Liverpool. - Foto REUTERSRaheem Sterling meledak gol ketiga City tetapi VAR membatalkannya kerana ofsaid dan pemain gantian Riyad Mahrez menyaksikan sepakan percumanya tersasar.
Keputusan itu menamatkan deretan 10 kemenangan liga Liverpool dan City kekal satu mata di depan dengan tujuh perlawanan berbaki musim ini.
"Perlawanan yang hebat. Liar. Permulaan lebih baik buat City, tetapi anda boleh gambarkan ia seperti pertarungan tinju. Dua tangan ke bawah seketika, anda akan ditumbuk.
"Anda boleh menarik nafas lega sebentar dan kemudian tumbukan seterusnya datang dari pihak lawan. Saya suka banyak perkara, apabila kami bermain hantaran mudah kami amat berbahaya dan begitulah cara kami menjaringkan gol.
"Ia perlawanan yang hebat dan keputusan yang sewajarnya. Kami perlu menerima keputusan itu, dan berpuas hati dengannya," kata Klopp. - AFP
No comments:
Post a Comment