Monday, April 04, 2022

Kahwin Online.. 'kemudaratan' & warga asing

 

1. Perlis laksana permohonan kahwin secara ‘online’

KANGAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) melaksanakan kaedah 4P (permohonan, penyiasatan, pendakwaan dan pendaftaran) bagi memudahkan pendaftaran perkahwinan di negeri ini.

Manakala bagi pendaftaran pasangan bukan Islam ia dikendalikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Exco Hal Ehwal Agama Islam; Kebajikan dan Bantuan Bencana dan Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Ruzaini Rais berkata, Perlis turut membangun Sistem Permohonan Perkahwinan Secara Atas Talian bagi memudahkan permohonan pendaftaran perkahwinan tanpa perlu hadir ke kaunter.

Katanya langkah itu bagi mempermudahkan urusan pendaftaran perkahwinan yang tidak berdaftar.

“JAIPs dan JPN tidak mempunyai data yang tepat dan sahih berkaitan pendaftaran yang tidak berdaftar.

“Kita mengharapkan setiap pasangan yang berkahwin terutamanya di Thailand untuk mendaftarkan perkahwinan mereka di negeri ini bagi memudahkan urusan kelak.

“Contoh isu yang akan timbul apabila pasangan terbabit menghantar anak mereka ke sekolah dan berkaitan pembahagian harta pusaka,” katanya menjawab soalan soalan Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Menurutnya kebanyakan pasangan yang berkahwin di negara jiran terlibat dengan urusan poligami.

“Perlis satu-satunya negeri yang tidak mewajibkan suami yang ingin berpoligami mendapat keizinan isteri pertama dengan syarat segala maklumat dipersetujui mahkamah syariah negeri.

“Mereka juga perlu mendapat pengiktirafan Majlis Agama Islam Songkhla untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut dalam negara,” katanya.

Bagaimanapun beliau menasihati rakyat Malaysia tidak menggunakan khidmat sindiket kerana ia tidak diiktiraf pihak berkuasa agama Islam Thailand.

Beliau juga berkata, JAIPs melaksanakan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) ke lokasi-lokasi tertentu untuk memberi khidmat nasihat berkaitan masalah perkahwinan. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

2. 'Jangan hanya fikir nak kahwin, fikir juga kemudaratan' 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad. - Foto NSTP/Fathil Asri

KOTA BHARU: Kerajaan bimbang dengan permintaan tinggi dalam kalangan pasangan Malaysia untuk melangsungkan pernikahan di selatan Thailand menggunakan ejen sindiket nikah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata kebimbangan itu disebabkan wujud keraguan sama ada pernikahan itu sah atau sebaliknya.

Katanya, pasangan yang mahu berkahwin di negara berkenaan sepatutnya memikirkan kemudaratan akan datang termasuk nasib anak di kemudian hari, bukannya memikirkan untuk berkahwin semata-mata.

"Pernikahan di Thailand tidak sepatutnya berlaku sekiranya pasangan berkenaan berfikir secara mendalam dan memikirkan kesan akan datang termasuk nasib anak.

"Mereka perlu mengikuti prosedur undang-undang negeri masing-masing, bukannya mengambil langkah mudah dengan berkahwin di Thailand. Tanya pihak yang lebih arif sama ada nikah berkenaan sah atau tidak kerana banyak implikasinya jika tidak sah," katanya ketika dihubungi.

Idris berkata, isu nikah di Thailand ini adalah isu lama yang sehingga kini tidak selesai.

"Berkaitan isu ini, ia di bawah bidang kuasa negeri masing-masing dan negeri perlu menangani perkara itu.

"Cuma saya mahu mengingatkan kepada pelaku (pasangan) yang berkahwin di Thailand supaya memikirkan lebih mendalam dan berhubung dengan pihak yang lebih arif dalam soal agama.

"Kita bimbang perkahwinan mereka tidak sah dan apa nasib kepada anak mereka nanti. Namun setiap pasangan yang mendaftarkan perkahwinan, mahkamah akan mengenal pasti perkara ini sama ada nikah itu sah atau tidak," katanya.

BH sebelum ini melaporkan, permintaan pasangan dari Malaysia untuk melangsungkan pernikahan di selatan Thailand meningkat mendadak, menjelang pembukaan semula sempadan negara yang ditutup hampir dua tahun disebabkan pandemik COVID-19.

Peningkatan menggunakan ejen sindiket nikah itu dikatakan sehingga mencecah tiga kali ganda berbanding sepanjang tempoh dua tahun lalu.

Malah, tarikh 1 April lalu, iaitu tarikh pembukaan semula sempadan negara juga dikatakan sudah penuh oleh beberapa ejen sindiket nikah kerana ada pelanggan dari negara ini sudah menempah tarikh berkenaan sejak dari awal.

Ejen sindiket mendakwa, jika sebelum ini purata sebulan yang menggunakan perkhidmatan sekitar 10 hingga 15 orang sahaja, namun sejak pengumuman pembukaan sempadan, sambutan diterima begitu mendadak sehingga tiga kali ganda. (BH)

3. Strategi warga asing kahwin wanita tempatan 

KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menganjurkan kursus bagi memberi pendedahan kepada usahawan tempatan peluang perniagaan menggunakan internet.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembanguan Usahawan Dato’ Hanifa Ahmad berkata, kerajaan negeri menyalur peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menganjurkan kursus tersebut pada 2020.

Katanya, penyertaan kursus teresbut begitu menggalakkan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19.

“Ketika pelaksanaan PKP usahawan rata-rata berniaga menggunakan platform internet. Mereka tidak perlu membuka kedai.

“Usahawan terbabit termasuk mereka yang berniaga pakaian dan komestik,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Menurutnya juga ada usahawan dalam kalangan anak-anak muda yang mengusahakan perniagaan komestik sehingga bergelar jutawan sekarang.

Sementara itu menjawab soalan Dato’ Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) katanya, kerajaan belum menerima sebarang aduan berkaitan monopoli perniagaan dalam kalangan warga asing termasuk dari Bangladesh dan Pakistan.

Bagaimanpun katanya beliau sedia berbincang dengan Exco Kerajaan Tempatan dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan mengenai isu tersebut.

“Kalau ada aduan kita akan ambil tindakan sewajarnya. Kita bukan anti orang luar, sebaliknya memberi ruang kepada anak-anak tempatan berniaga,” ujarnya.

Abdul Aziz sebelum ini mendedahkan ada warga asing terutamanya Bangladesh dan Pakistan memonopoli perniagaan kedai runcit di Kelantan.

Menjelas isu sama Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, strategi warga asing berkahwin dengan wanita tempatan untuk membolehkan mereka menetap di negara ini.

Oleh itu katanya orang ramai perlu lebih berhati-hati kerana ada warga asing mengambil peluang berkahwin dengan penduduk tempatan untuk bertapak dalam bidang perniagaan. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Yang penting kahwin sah menurut syariah, tidak bersekedudukan tanpa nikah atau bergelumaang najis seks haram.

Begitu juga berpolitik, orang Islam wajib berpolitik mengikut cara Islam atau parti Islam bagi seluruh dunia. Bukan kahwin saja ikut cara Islam, tapi berpolitik tidak ikut Islam. Bodoh, tertipu oleh musuh Islam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails