Saturday, April 02, 2022

Kedatangan Ramadan, pimpinan DAP takkan mampu taklimat begini...

 

Kedatangan bulan Ramadan, medan tarbiah diri

ALHAMDULILLAH, bersyukur kepada Allah SWT, kerana mempertemukan lagi kita dengan bulan Ramadan Al-Mubarak. Kita melihat ada dalam kalangan keluarga, sahabat-handai dan saudara-mara kita ada yang tidak berkesempatan bertemu Ramadan pada tahun ini. Ini semua adalah ketentuan Allah SWT yang bersifat dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Maka, hendaklah kita menjadikan bulan Ramadan ini sebagai medan tarbiah umat Islam dengan harapan mengecapi pengampunan dan darjat taqwa daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183:

 يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Para salafus soleh berdoa enam bulan agar bertemu Ramadan

Kita melihat para salafus soleh berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan memohon agar dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadan Al-Mubarak. Enam bulan mereka menunggu-nunggu kehadiran bulan yang mulia ini. Mereka bimbang, takut sekiranya tidak sempat untuk bertemu dengan Ramadan.

Alhamdulillah, sekali lagi kita diberikan peluang oleh Allah SWT pada tahun ini untuk berada dalam bulan Ramadan Kareem, untuk merebut sebanyak mana ganjaran yang terbentang luas. Apa yang terpenting adalah usaha kita untuk mendapatkan takwa iaitu rasa takut akan Keesaan Allah SWT.

Musibah tanda peringatan buat manusia

Apabila kita imbas, musibah Covid-19 yang melanda telah kita lalui masuk tahun ketiga sehingga menjadi bencana seluruh dunia. Kebelakangan ini pula dalam negara kita, banyak berlaku kejadian alam seperti banjir, ribut, tanah runtuh dan sebagainya menjadi peringatan kepada kita.

Jangan kita lupa betapa banyak nyawa telah dijemput oleh-Nya. Begitu juga kerosakan-kerosakan harta benda akibat musibah yang menimpa kita sebagai peringatan agar kembali bertaut sepenuhnya kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Jadikan Ramadan sebagai madrasah untuk mengislahkan diri kita untuk jadi insan yang tunduk kepada Allah.

Rebutlah pahala dengan enam amalan ini

Enam amalan yang ingin dikongsikan untuk kita merebut luasnya ganjaran pahala yang dikurniakan oleh Allah SWT dalam Ramadan ini;

1. Sentiasa berdoa supaya Allah SWT memberikan kita kesihatan yang baik agar kita mampu laksanakan ibadah dengan sempurna.

2. Mengimarahkan masjid dan surau dengan solat berjemaah dan beriktikaf.

3. Memperbanyakkan amalan-amalan sunat khususnya solat tarawih.

4. Memperbanyakkan membaca Al-Quran kerana Ramadan bulan diturunkan Al-Quran.

5. Bersifat pemurah dengan memperbanyakkan bersedekah.

6. Menjamu orang lain berbuka puasa.

Besar harapan kita agar Ramadan tahun ini lebih baik daripada sebelum ini. Aamin.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 2/4/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimKedatangan Ramadan, pimpinan DAP dan sejenisnya takkan mampu taklimat begini kepada ahlinya.....

1 comment:

Anonymous said...

Kalau parti liberal akan ungkit bab rasuah jer. Tazkirah jauh sekali.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails