Saturday, April 02, 2022

Kisah Seorang penyanyi Jalanan. Tegar M'sia-Indo..

 

Baru-baru ini, Tegar meraih tempat kelima dalam program realiti, Big Stage 2022 dan beroleh wang tunai RM10,000. Foto IG Tegar Septian

HALAMAN HIBURAN

Tegar tak malu kembali jadi penyanyi jalanan

KUALA LUMPUR: Tegar Septian, 21, tidak malu kembali menjadi penyanyi jalanan asalkan beroleh rezeki halal.

Tegar yang popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang, aktiviti 'busking' dianggap salah satu sumber rezeki sejak dahulu lagi.

"Seperti yang saya pernah nyatakan, saya melangkah ikut arus. Contohnya, kita hadapi pandemik COVID-19 lantas sukar cari kerja terutama di Indonesia.

"Jadi, mahu atau tidak, kita kena cari wang untuk makan. Saya tiada rasa malu untuk mengamen (menyanyi di jalanan) kerana pekerjaan halal.

Tegar tidak gusar kembali membuat persembahan di jalanan asalkan rezeki diterima halal. Foto IG Tegar Septian

"Lantas, saya mengamen sahaja daripada tiada wang untuk makan," katanya kepada BH Online.

Tegar tidak gusar mengenai persepsi ramai terhadap penyanyi jalanan.

"Soal ini bergantung kepada pandangan setiap orang. Bagi saya, ini suatu pekerjaan serius kerana mengamen dapat membantu saya mencari nafkah," katanya.

Akui bapa kepada seorang anak ini, bayaran diterima daripada menyanyi di jalanan tidak lumayan, namun, mencukupi untuk menanggung kehidupan keluarga.

"Bergantung kepada keadaan. Jika saya mengamen dari jam 7 pagi sehingga 6 petang di Indonesia, dapatlah sekitar kira-kira RM100," katanya.

Baru-baru ini, Tegar meraih tempat kelima dalam program realiti, Big Stage 2022 dan beroleh wang tunai RM10,000.

Justeru, Tegar yang sudah pulang ke Indonesia, kelmarin, mahu menggunakan wang kemenangan itu untuk mengusahakan perniagaan makanan.

"Saya mahu menggunakan wang untuk membina rumah baharu dan membuka perniagaan makanan.

"Selebihnya, saya simpan untuk membeli kamera dan gitar untuk saya berkarya," katanya yang merancang menghasilkan single baharu selepas ini.

Tegar bersyukur peminat di Malaysia masih menerimanya dengan baik.

"Terima kasih kerana menerima saya dengan ikhlas seadanya. Saya bersyukur masih ada yang kenal saya walaupun pendengar saya dahulu semuanya sudah bertambah usia," katanya.

Tegar mula mencipta nama ketika berusia 11 tahun sebagai penyanyi jalanan dan tular di YouTube.

Tegar sudah merakamkan beberapa single seperti I Love You, Cinta Bohongan, Sahabat Kecil, Salahkah Aku Memujamu dan Cintamu Bukan Untukku. (BH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Artis-artis jalanan pun akan dihormati orang ramai, jika 'berhibur mengikut syariat'. Insya Allah dan al-hamdulillah!

No comments:

Post a Comment