Friday, April 15, 2022

Lega Tuan Ibrahim tahun ini.. PAS terus kejar pahala.

 

1. Menteri bersyukur lihat suasana Ramadan tahun ini

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan rasa gembira dan amat bersyukur melihat suasana Ramadan tahun ini.

Katanya, ramai orang membawa keluarga ke surau dan masjid bagi mendirikan solat berjemaah terutama pada waktu Isyak dan tarawih.

Menurutnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Malaysia Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia telah melancarkan Tabung Wakaf Masjid Hijau.

“Ia adalah inisiatif pembiayaan inovatif untuk membangunkan masjid berasaskan teknologi hijau,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosial beliau, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya disalurkan dana wakaf terus ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mengucapkan terima kasih kepada semua pewakaf yang budiman.

Tabung Wakaf Masjid Hijau merupakan produk wakaf yang diwujudkan melalui kerjasama antara YWM dan MGTC, sebuah agensi di bawah KASA.

Kerjasama itu telah diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah YWM pada 14 Oktober 2021.

Wakaf Masjid Hijau itu merupakan sumber pendanaan bagi projek-projek pembangunan masjid-masjid di Malaysia yang berasaskan teknologi hijau serta menyebar luas kepentingan gaya hidup hijau terutamanya dalam kalangan ahli kariah masjid dan masyarakat setempat.

Masyarakat boleh turut sama dalam pelaksanaan Wakaf Masjid Hijau, dengan berwakaf secara tunai melalui Sistem Wakaf Tunai Malaysia.

Di pilihan ‘Jenis Wakaf’, masyarakat hanya perlu memilih ‘Wakaf Khas / Projek (WK) dan memilih Wakaf Masjid Hijau.

Masyarakat juga boleh menyumbang secara tunai ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia di RHB Islamic Bank melalui nombor akaun 2124-576004-6138. – HARAKAHDAILY 13/4/2022

2. Sampai hujung dunia PAS kejar pahala 

TIDAK berapa lama sebelum puasa, aku dan rakan-rakan di Qatar, menerima kunjungan tetamu istimewa dari Malaysia. Rombongan daripada Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat yang datang singgah dalam perjalanan mereka ke beberapa negara, bertemu duta sambil beramah mesra dengan rakyat Malaysia yang ada di negara itu. Mulanya kami mahu menyambut mereka di pantai di al-Khor, tetapi laporan cuaca mengatakan akan berlaku angin kuat, maka kami berpindah tempat.

Kehadiran pimpinan sebegini, walaupun sekejap, tetapi amat bermakna bagi kami di sini. Kami biasanya bakal dihidangkan dengan isu-isu yang sedang hangat diperkatakan, terus daripada mulut pimpinan sendiri. Rombongan itu diketuai oleh Pengerusi Lajnah Luar Negara sendiri, YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan ditemani oleh Dato’ Yahaya Ali dan beberapa AJK Lajnah yang lain.

Dan seperti yang dijangka, kami mendapat maklumat yang masih segar, terus dari pimpinan. Isu berkenaan kisah di sebalik peletakan jawatan oleh mantan Setiausaha Majlis Syura Ulamak. Betapa pentingnya penekanan kepada ketaatan kepada pimpinan. Dan sebagaimana yang sering dilaungkan, datang dan perginya pimpinan dari berbagai peringkat itu adalah perkara biasa dalam jemaah.

Beberapa isi penting yang sempat aku nukilkan secara umum ialah berkenaan pemimpin jemaah, ada hak istimewanya. Ada beberapa perkara teknikal yang pada asasnya ialah perlu ada sebagai peraturan berpersatuan, tetapi dalam pelaksanaannya, akan ada bagi semua persatuan, keputusan yang dilihat sebagai lebih utama, penting dan segera, perlu dibuat.

Kerahsiaan parti juga adalah bukan sesuatu yang mesti dijadikan tular kerana akhirnya, ia tidak ke mana, malah memalukan diri sendiri. Dan apabila sudah tidak laku, maka cerita itu dijaja kepada pihak musuh. Kejahatan yang kononnya daripada pemimpin, terserlah hanya fitnah. Musuh juga membenci perangai sebegini, kerana nanti jika bersama mereka, pastilah juga hal mereka akan dibocor, kalau berselisih.

Penekanan yang utama bagi ahli yang perlu ditanamkan dalam pemikiran semua ialah PAS bukan sahaja parti politik, tetapi jauh dari itu, PAS juga ada mempunyai sistem tarbiyah dan dakwah. Bayangkan, sehingga ke hujung dunia lajnah ini berkelana sama ada berwajahkan parti, mahupun NGO di peringkat antarabangsa, ada AJK nya yang berjaya membina masjid di negara yang sangat sukar untuk berbuat demikian, hadir memberikan bantuan dan sebagainya.

Serampang banyak mata ini sungguh mengagumkan kerana belanja yang dikeluarkan oleh ahli-ahli PAS, rupanya sudah jauh merantau, nun di negara-negara bahkan yang bukan-Islam yang lain. Atas amanah ini, mereka membawa misi dakwah PAS ke serata dunia. Bukankah sesuatu yang amat berharga jika nanti ada kita lihat pahala kita, datang dari negara Poland contohnya yang telah dibina masjid oleh usaha AJK lajnah PAS ini? 

Kita tidak tahu yang wang sedekah kita itu, telahpun diagihkan kepada seluruh dunia Islam dan bukan Islam, walau atas nama NGO, tetapi pemainnya ialah mereka yang sama dengan yang memegang amanah dalam lajnah ini. Hanya yang tidak dapat memahami struktur jemaah yang sangat tersusun ini, ada dalam PAS, mereka lalu merasakan betapa PAS lemah, sedangkan yang lemah, mereka sendiri kerana tidak tahu dan suka menuduh.

Pagi itu, kenikmatan nasi dagang yang dihidangkan oleh rakan dari Terengganu, sup kaki kambing dari Qatar, teh halia dari India, benar-benar memberi makna akan maksud sebenar Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat. Ia ada bermacam rasa, menu, resepi yang datang dari berbagai sumber. Inilah nikmat berjemaah, kepercayaan diserahkan kepada kepakaran pemimpin, amanah harta diberikan kepada tangan yang terpecaya.

Maka jalan menuju bahagia di dunia dan akhirat, akhirnya akan nampak terbuka. Semuanya atas nama Islam.

MOHD NASIR ABDULLAH
12 Mac 2022 – HARAKAHDAILY 12/4/2022

2 comments:

  1. Menteeri ble syukur gaji banyak.

    Rakyat??? Syukur bleh jaga diri sendiri dgn duit kwsp........ sendiri.

    ReplyDelete
  2. Yg takde pencen, kwsp utk hari tua. Tapi takkan semua nak bagi gaji tinggi. Takkan gaji pengurus nak sama dengan operator. Nanti ramai taknak belajar pandai pandai, sebab operator pun gaji sama banyak dengan pengurus. Nak gaji lebih, kerja lebih, belajar lebih, mental pun kena lebih. Ini adil. Yang banyak duit jangan tindas yg sikit duit. Jangan nak kaya ambil rasuah. Atau jadi ceo gaji juta juta. Ini zalim.

    Atau ambil rasuah, saksi mati. Jika dipilih jadi pemimpin, jangan guna kuasa untuk kumpul harta. Ini zalim. Buat projek sebab nak ambik komisyen, bukan sebab nak bantu rakyat. Ini khianat. Pemimpin yg ikhlas, bila tiada ditangisi. Pemimpin yang korup, rakyat meluat dan suruh pergi. Tak tangis pun, malah rakyat bersyukur. Macam atok. Rakyat bersyukur bila atok bersara. Bila siang kit bersara, rakyat rasa selamat.

    ReplyDelete