Wednesday, April 13, 2022

Pakistan terkini: 11 perkara dari Dr Zambry Abd Kadir

 

Penyokong parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) mengadakan tunjuk perasaan di Peshawar menyokong bekas Perdana Menteri, Imran Khan, yang tewas dalam usul undi tidak percaya di Parlimen. - Foto REUTERS

Komen Rakyat dalam Blog ini..

2 comments:

Unnamed said...

NASIB IMRAN KHAN


Imran Khan Perdana Menteri Pakistan akhirnya tewas dalam undi tidak percaya terhadap beliau di parlimen. Pihak pembangkang mendapat 174 undi daripada 342 kerusi.


Keadaan itu menjadikan Pakistan sekali lagi terjerumus dalam ketidakstabilan politik.
Ada beberapa perhatian yang boleh dijadikan panduan dan pengajaran dari peristiwa ini.

Pertama, nama besar seperti Imran belum dapat menarik dokongan kukuh terhadap dirinya. Seorang yang dianggap hero negara dalam bidang kriket, muncul menjadi pemimpin berkarisma melalui partinya Pakistan Movement for Justice dengan menumbangkan dua dinasti politik Bhutto (Pakistan People’s Party) dan Nawaz ( Pakistan Muslim League-Nawaz).
Imran diharap dapat membina imej baru politik Pakistan yang dianggap terlalu korup dan salah guna kuasa yang serius. Imran membawa tema besar “new Pakistan” bagi membina impian baru. Namun sekadar karisma dirinya sahaja tidak dapat mempertahankan kelangsungan kuasa.

Kedua, sokongan dari pelbagai pembangkang yang tidak pernah duduk bersama berjaya membentuk sebuah rainbow coalition dari kalangan parti sekular, liberal, sosialis, dan radikal agama untuk menumbangkan Imran. Tanpa melihat implikasi masa depan politik negara, kesemuanya bersatu untuk menumbangkan musuh bersama. Dan Imran seperti memberikan ruang dan masa untuk mereka membentuk pakatan bagi menumbangkannya.


Ketiga, peranan kuasa besar campur tangan dalam politik negara Pakistan. Meskipun Amerika menafikan penglibatan mereka, tetapi Imran menunjukkan bukti tentang gerakan “ regime change” yang dipelopori oleh diplomat Amerika seperti Donald Lu yang dikatakan cuba campurtangan untuk menolak Imran Khan.


Keempat, peranan isteri Imran iaitu Bushra Bibi yang dianggap sebagai pembimbing kerohanian Imran yang dituduh mempengaruhi pergerakan dan perjalanan politik Imran. Ia menjadi bahan gosip besar yang dikatakan mempunyai kuasa mistik dan dianggap sebagai ahli sufi bertaraf pir dan murshid. Beberapa tilikan Bushra tentang Imran dan politik negara dikatakan menjadi kenyataan sebelum ini. Dan dalam tahun 2018, Imran mengahwini Bushra yang ketika itu sudahpun mempunyai 5 anak.


Kelima, masalah ekonomi yang meruncing dengan kadar inflasi yang tinggi menyebabkan rakyat menderita. Diikuti dengan nilai matatwang rupee terus merudum dan hutang negara yang bertimbun.

Unnamed said...

Keenam, janji Imran untuk memerangi rasuah dan penyalah gunaan kuasa tidak kesampaian. Imran yang dianggap sebagai sinar baru buat Pakistan gagal melakukan perubahan yang dijanjikan. Ia bagaikan hanya janji-janji kosong sekadar memenangi hati pengundi.


Ketujuh, pengkhianatan dari sekutu seperti parti MQM-P yang bertindak keluar dari gabungan kerajaan pimpinan Imran. Persefahaman yang ditandatangani dengan sekurang-kurangnya 5 sekutu parti gabungan sudah tidak terlaksana lagi.


Kelapan
, kuasa “establishment” iaitu tentera yang masih menjadi penentu survival seseorang Perdana Menteri Pakistan. Ramai pihak melihat Imran naik menjadi PM dengan sokongan tentera dan kali ini juga kejatuhannya turut disebabkan oleh tentera yang berada di belakang tabir.


Kesembilan, proses perundangan negara yang sering dijadikan alat untuk mendapatkan tiket menjatuhkan lawan dan mendapatkan legitimasi kekuasaan. Ini menyebabkan berlakunya krisis perlembagaan antara parlimen dan badan kehakiman.


Kesepuluh, cabaran kepada integriti ahli parlimen yang dipilih mewakili partinya, dan apakah langkah melompat parti adalah disebabkan oleh habuan atau atas prinsip yang dipegang. Imran dan partinya ternyata dikhianati dari dalam partinya sendiri.


Kesebelas, dasar-dasar luar negara yang tidak diimbang dengan baik. Hubungan baik dan sokongan Imran terhadap Russia yang ditunjukkan ketika krisis Russia-Ukraine telah memberi kesan besar kepada Pakistan dan ekonominya kerana Pakistan mempunyai hubungan dagang yang lebih berkali ganda dengan Eropah dan Amerika berbanding dengan Russia. 

Justeru seorang Perdana Menteri perlu mendapatkan nasihat dasar luar yang baik.
Mungkin ada pelbagai sebab musabab yang membawa kejatuhan Imran. Namun kejatuhan Imran, orang yang dilihat sebagai sinar baru dalam kepimpinan politik, memberi kesan terhadap geo-politik Asia Selatan. Dan pertembungan politik yang tidak berteraskan kepada kepentingan negara akan membawa ketidakstabilan.


Parti utama yang membentuk kerajaan tetapi terpaksa bergantung kepada parti-parti lain untuk meneruskan hayatnya akan sentiasa berada dalam keadaan tidak tenteram dan terumbang-ambing.


Dan apabila politik negara menjadi sebahagian kepentingan strategik geo-politik kuasa besar, maka akan sentiasa terdedah kepada percaturan faktor luaran.


Dr Zambry Abd Kadir
11 April 2022

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails