Rafizi Ramli berkata PH menerima Bersatu atas desakan rakan sekutu iaitu Amanah dan DAP serta semangat untuk membentuk satu perubahan dalam negara pada 2016.
PETALING JAYA: Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata Pakatan Harapan pada 2016 telah diingatkan supaya bergabung dengan Bersatu jika tidak mahu mereka berpecah.
“Kita sebenarnya diberikan kata dua pada 2016, kalau tidak terima Bersatu dalam PH, maka besar kemungkinan PH akan berpecah,” katanya sempena Jelajah Yakini Rakyat hari ini.
Beliau berkata, PH pada dasarnya enggan menerima Bersatu, sebaliknya hanya mahukan parti itu mengadakan perjanjian dalam pilihan raya bagi mengelak mereka bertembung.
Bagaimanapun, Rafizi berkata atas desakan rakan sekutu iaitu Amanah dan DAP serta semangat untuk membentuk satu perubahan dalam negara, maka PH bersetuju bergabung dengan Bersatu ketika itu.
“Tetapi iyalah kita dah bersangka baik atas harapan bahawa negara ini perlu perubahan, maka kita telan. Kita dah cuba, hadiah yang kita dapat daripada sangka baik itu adalah pengkhianatan,” katanya.
Menurutnya, isu prinsip dalam PH seharusnya tidak perlu diubah, sebaliknya gabungan itu perlu merencanakan taktik lebih berkesan selain yakin dengan kekuatan parti masing-masing.
“Tapi, inilah PH kadangkala ada cucuk jarum tak kena tempat, ada timbul isu lain sebab itu bagi saya PH perlu bersatu dah menerima kekuatan masing-masing, kita bawa kekuatan itu sehingga sampai ke Putrajaya.
“Taktik itu kita kena tukar, jangan kita kacau soal prinsip, kalau itu semua pandangan baik dalam DAP, Amanah, PKR baru senang kita buat kerja,” katanya. (FMT)
No comments:
Post a Comment