HALAMAN HIBURAN
1. Ramadan bawa rezeki.
KUALA LUMPUR: Kedatangan Ramadan memberi seribu rahmat bukan sahaja dari sudut keberkatan, malah dikurniakan rezeki.
Bagi kebanyakan penyanyi nasyid, inilah waktu untuk 'buat duit' apabila sibuk memenuhi undangan nyanyian di hotel mahupun majlis berbuka puasa.
Sering kali irama nasyid kontemporari menjadi pilihan halwa telinga tatkala menikmati juadah berbuka. Selain itu, dalam berhibur dapat juga mengambil keberkatan mengimarahkan bulan mulia bersama peminat.
Namun, penyanyi nasyid dikatakan hanya akan menonjolkan diri pada Ramadan. Bagaimana baki 11 bulan lagi, adakah mereka dipinggirkan atau tidak mendapat perhatian seperti bulan puasa?
Anggota kumpulan Nowseeheart, Idzhar Jumali, berkata isu berkenaan berbalik kepada seseorang dalam mencari pengisian ketika Ramadan.
"Pengisian ada dalam lagu dakwah dan berentak kerohanian. Kita tahu lagu bergenre ini sarat dengan mesej dan peringatan, jadi kesesuaian lebih pada bulan Ramadan.
"Saya percaya artis dan penyanyi nasyid ada sahaja memenuhi undangan persembahan pada bulan biasa. Cuma, bulan Ramadan dianggap ada banyak kelebihan berbanding bulan lain.
"Kita sudah tentu mahu mencari kebaikan dan mengumpul pahala pada bulan Ramadan," katanya kepada HIP.
Penyanyi utama kumpulan Saujana, Mohammad Suffian Amrin, berkata penyanyi nasyid menjadi pilihan dalam memeriahkan program membabitkan hari tertentu.
"Ikutkan bulan lain ada sahaja program keagamaan termasuklah Majlis Tilawah al-Quran dan sebagainya.
"Mungkin kelihatan sepi kerana tiada promosi atau pendedahan dalam media. Namun, tetap ada majlis tertutup dihadiri.
"Diakui, penyanyi nasyid lebih menyerlah pada bulan Ramadan. Bagi saya, ia umpama refleksi hidup apabila kami diberi peluang menyantuni umat Islam yang mengejar dan berlumba-lumba melipat gandakan pahala pada bulan ini," katanya.
Anggota kumpulan InTeam, Muhammad Hazamin Harun, berharap penganjur sentiasa memberi ruang kepada penyanyi nasyid tidak hanya pada Ramadan atau setiap Jumaat semata-mata.
"Boleh dikatakan setiap bulan ada jemputan sekiranya mengimarahkan bulan kebesaran.
"Kami bersyukur selepas dua tahun melalui fasa pandemik COVID-19, pengisian dakwah dan berbentuk kerohanian menerusi hotel dan premis berbuka puasa dapat kembali diteruskan tahun ini. Kita pun sudah masuk fasa endemik.
"Saya harap penganjur acara tidak membataskan genre nasyid, mahupun kerohanian sebagai pilihan pada bulan puasa atau hari Jumaat. Hari lain pun perlu ada pengisian yang sama," kata Hazamin.
Kumpulan InTeam berharap penganjur sentiasa memberi ruang kepada penyanyi nasyid tidak hanya pada Ramadan atau setiap Jumaat semata-mata. - Foto Owee Ah ChunBagi anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam, beliau percaya seiring dengan konsep penyampaian artis nasyid seperti lagu yang diperjuangkan memberi kelebihan menjadi pilihan pada Ramadan.
"Dalam lirik lagu nasyid berunsur keagamaan, kerohanian, Ramadan, Lailatulqadar, selawat dan sebagainya. Jadi, ia dikitar semula atau sesekali dihasilkan lagu baharu.
"Artis komersial akan mengisi slot persembahan contohnya seperti Minggu Setiausaha. Jika ikutkan Hijjaz pun mempunyai tawaran persembahan, tetapi tak dihebahkan.
"Cuma artis popular turut diundang menjayakan persembahan di kaca televisyen (TV) untuk berzikir, solat raya dan sebagainya," kata Isman.
Juara Anugerah Nasyid 2015, Daqmie atau Azmee Abdul Manap, berkata kriteria yang ada kepada penyanyi nasyid memberi nilai tambah menyemarakkan bulan puasa.
"Tiada kurangnya penyanyi nasyid, semuanya sudah ada rezeki yang ditetapkan.
"Namun, kelebihan mungkin dilihat tepat pada penyanyi nasyid apabila tiba Ramadan. Penyanyi komersil bukan tidak sesuai, tetapi dilihat umum.
"Perjuangan penyanyi nasyid seperti kami ini bukan dilihat kepada usaha, tetapi hasil. Rezeki jika dapat hasilnya segera. Nabi Muhammad pun mengambil masa untuk berdakwah," katanya.
Sepanjang Ramadan, beberapa penyanyi dan kumpulan nasyid turut menyerikan bufet Ramadan 1001 malam di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ia termasuklah Afad Raihan, Rabbani, Simfoni dan Fitri Haris.
Turut serta, kuliah 'kultum' oleh Ustaz Dr Ashraf Suarin. Acara berbuka puasa juga disusuli dengan solat maghrib berjemaah dan bertarawih diketuai artis nasyid berkenaan. (BH)
2. Fazura lancar aplikasi gaya hidup Muslim alaf baharu sempena Ramadan
KUALA LUMPUR: Bersempena Ramadan kali ini, pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura Sharifuddin telah melancarkan aplikasi berkonsepkan gaya hidup Muslim alaf baharu dikenali sebagai Mukmin Pro.
Aplikasi dengan tema warna merah jambu dan putih itu menawarkan pelbagai program menarik dan interaktif seperti kelas belajar Tahsin Al-Quran oleh Sheikh Mohamed Elmongy, dan Kelas Asas Tarannum oleh Juara Tilawah Al-Quran antarabangsa, Nor Farhatul Fairuzah.
Terdapat juga program Wakaf Al-Quran, pakej Qurban dan Aqiqah di Tanah Suci Makkah, serta Infaq makanan kepada golongan memerlukan.
Mukmin Pro tidak ketinggalan menjamin pelbagai ciri khas secara percuma serta jaminan perlindungan data pengguna.
Selain itu, antara fungsi asas dan ciri khas aplikasi Mukmin Pro ini adalah Al-Quran Digital, doa harian, audio bacaan zikir, waktu solat, azan, penunjuk arah kiblat, serta navigasi ke lokasi masjid berdekatan.
Fazura dan Fattah serta Kumpulan Qasidah Kanzul Ulum yang didatangkan khas dari Pulau Pinang pada majlis pelancaran Mukmin Pro bersama Fazura di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur pada 1 April 2022. (FOTO MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY)Nur Fazura atau lebih mesra dikenali sebagai Faz berkata, penciptaan aplikasi itu merupakan salah satu impiannya dan beliau sangat bersyukur impian tersebut dapat direalisasikannya.
“Mukmin Pro merupakan aplikasi telefon mudah alih untuk gaya hidup Islam yang menawarkan pelbagai ciri dan perkhidmatan, menghubungkan umat Islam di seluruh dunia dan mereka yang berminat untuk mendekati Islam.
“Alhamdullillah, Faz rasa sungguh bersyukur kerana satu lagi impian Faz dimakbulkan dengan pelancaran aplikasi #miliksemua ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Mukmin Pro bersama Fazura di Hotel Mandarin Oriental di sini, hari ini.
Suami Fazura, pelakon Fattah Amin dan penaung bersama Mukmin Pro, Syed Huzaifah Syed Omar turut menghadiri acara yang diserikan lagi antaranya dengan kehadiran Kumpulan Qasidah Kanzul Ulum yang didatangkan khas dari Pulau Pinang untuk mengalunkan qasidah di pentas.
Sementara menurut Fazura lagi, aplikasi itu juga mengandungi pelbagai video islamik yang dikemaskini setiap hari dari navigasi video YouTube dan TikTok, selain sesuai ditonton oleh semua peringkat umur.
“Pengguna boleh mula memuat turun aplikasi Mukmin Pro secara percuma di App Store dan Play Store,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2022
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ramadan bawa rezeki dan hiburan menurut syariah, al-hamdulillah!
No comments:
Post a Comment