Saturday, April 02, 2022

Ramadan: Masjid Hagia Sophia Istambul & BeDaie, Juadah, M'sia..

 

Umat Islam menunaikan solat tarawih di Masjid Besar Hagia Sophia di Istanbul, Turki. - Foto AGENSI

1. Masjid Hagia Sophia adakan solat tarawih pertama selepas 88 tahun

ISTANBUL: Masjid Hagia Sophia di Turki mengadakan solat tarawih yang pertama dalam tempoh 88 tahun semalam.

Beberapa acara untuk Ramadan juga akan diadakan di masjid itu yang diubahsuai menjadi muzium pada 1934 dan kembali statusnya sebagai masjid pada 2020 apabila ia dibuka untuk ibadah pada 24 Julai tahun lalu.

Sebagai sebahagian daripada sekatan COVID-19 di Turki, bagaimanapun masjid berkenaan tidak dapat digunakan sejak penularan wabak berkenaan bermula kerana risiko jangkitan.

Tetapi, dengan kebanyakan penduduk sudah divaksinasi dan jumlah kes baharu serta kematian berkurangan, selain kes pulih meningkat setiap hari, pihak berkuasa Turki memutuskan untuk membuka semula masjid untuk Ramadan, bulan paling suci bagi umat Islam.

Hagia Sophia dibina pada tahun 532M dan dijadikan masjid pada tahun 1453 selepas penaklukan Istanbul.

Bangunan itu dijadikan sebagai gereja selama 916 tahun dan 86 tahun sebagai muzium. Tetapi, untuk kebanyakan kewujudannya dari 1453 hingga 1934 atau hampir 500 tahun ia berfungsi sebagai masjid.

Pada tahun 1985, Hagia Sophia dimasukkan ke dalam senarai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Hagia Sophia juga antara destinasi pelancongan utama Turki dan tetap dibuka untuk pelawat domestik dan asing. - AGENSI

2. Ramadan: BeDaie sasar 100,000 khatam al Quran  

KOTA BHARU: Madrasah pengajian Islam digital pertama di Malaysia, BeDaie menyasarkan 100,000 rakyat Kelantan khatam al Quran sepanjang Ramadan ini.

Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Ab Kadir Jailani berkata, hasrat itu diterjemahkan melalui kempen ‘Ngaji Kitab al Quran Bersijil Nombor Satu di Malaysia’.

Oleh itu kata beliau, pihaknya akan menempatkan 605 banting mengandungi imbasan QR untuk menyertai program atas talian itu di 605 masjid seluruh Kelantan.

“Kempen ini diadakan bertujuan untuk menyebarkan ilmu agama dan pengajian kitab secara bertalaqqi di seluruh masjid secara percuma sepanjang bulan Ramadan.

“Pelaksanaan program ini yang merangkumi program tadarus Al- Quran 30 Juzuk dengan bacaan 1 juzuk setiap hari, kelas hukum hakam dan fiqah secara harian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian program berkenaan yang disempurnakan Timbalan Mufti Kelantan, Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad di Masjid Muhammadi semalam.

Turut hadir Imam Tua Masjid Muhammadi, Khairul Azizi Mokhtar.

Amar Mirza juga berkata, Bedaie memperuntukkan dana sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan kempen tersebut untuk membantu masyarakat mendalami ilmu agama.

“Peruntukan tersebut melibatkan penyediaan 605 bunting, bayaran pemasangan bunting di 605 masjid seluruh Kelantan dan menampung kos para asatizah.

“Kaedah pelaksanaan menggunakan bunting bertujuan untuk memudahkan orang ramai dengan mengimbas QR kod untuk akses secara percuma,” katanya.

Menurut beliau pelaksanaan kempen tersebut turut mendapat sokongan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

BeDaie melibatkan penyertaan ratusan ustaz dan ustazah serta ilmuwan agama dari pelbagai negara untuk menyebarkan ilmu agama secara atas talian.

“Usaha ini diharapkan dapat memberi impak yang positif terhadap pembangunan dan memartabatkan ilmu agama dalam kalangan masyarakat,” ujarnya. HARAKAHDAILY 2/4/2022

3. Masjid Muhammadi agih 1,000 juadah berbuka puasa 

KOTA BHARU: Masjid Muhammadi Kota Bharu akan mengagihkan sehingga 1,000 bungkus juadah berbuka puasa, moreh dan sahur setiap hari.

Imam Tua Masjid Muhammadi Khairul Azizi Mokhtar berkata, aktiviti tersebut tidak diadakan di masjid kerana mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya Masjid Muhammadi menyediakan makanan berbuka puasa secara bungkus untuk dibawa pulang ke rumah.

“Ini kerana majlis berbuka puasa di masjid tidak dibenarkan lagi. Semua orang boleh ambil makanan yang disediakan.

Khairul Azizi Mokhtar

“Kita peruntukan pada peringkat awal sebanyak 500 bungkus dan kita tengok kalau berlaku penambahan jemaah kita tambah sampai 1,000 bungkus sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selepas majlis pelancaran kempen Kempen ‘Ngaji Kitab dan Al-Quran Bersijil No. 1 Malaysia’ di sini, kelmarin.

Program tersebut dirasmikan Timbalan Mufti Kelantan, Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Khairul Azizi juga berkata, biar pun banyak kelonggaran diberikan ketika negara memasuki fasa endemik, namun jemaah masih terikat dengan peraturan Covid-19.

Menurutnya juga aktiviti iktikaf, kuliah agama, tadarus al Quran diadakan seperti biasa dengan pematuhan SOP termasuk memakai pelitup muka.

“Ahli jemaah yang datang untuk iktikaf kita pastikan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan Majlis Agama Islam Kelantan,” katanya.

Sementara itu Masjid Sultan Mansor Kampung Sireh dan Masjid Sultan Muhamad II turut menyediakan juadah berbuka percuma setiap hari secara bungkus.

Masjid Sultan Mansor memperuntukkan RM2,000 sehari bagi menjayakan program tersebut. HARAKAHDAILY 2/4/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pilihlah Islam mentadbir, al-hamdulillah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails