Sunday, April 03, 2022

RM3,000 dapat nikah di Thailand, 'berkahwin & beranaklah..'


Pasangan dari Malaysia gunakan perkhidmatan sindiket nikah di selatan Thailand susulan pembukaan sempadan Malaysia-Thailand bermula kelmarin.
Siti (kanan) antara yang menggunakan khidmat sindiket ejen nikah Thailand selepas pernikahan tidak direstui.

Hanya bayar RM3,000 dapat nikah di Thailand

KOTA BHARU: "Saya membayar RM3,000 kepada ejen nikah Thailand semata-mata mahu menjadi isteri kedua selepas tidak mendapat restu daripada keluarga.

Demikian luahan seorang wanita yang mahu dikenali Siti berusia 40 tahun yang berkahwin di selatan Thailand, menggunakan perkhidmatan sindiket nikah.

Siti berkata, dia dan suami ketika itu terpaksa mengambil langkah berkenaan memandangkan isteri pertama suami tidak mengetahui pernikahan itu, selain keluarganya tidak mengizinkan dia menjadi isteri kedua.

Katanya, dia berkahwin ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Januari tahun lalu dan situasi mereka yang tidak mendapat restu di kedua-dua pihak menyebabkan mereka buntu memikirkan masa depan, sedangkan sudah jatuh cinta.

"Saya dan suami nekad berkahwin di Thailand selepas melihat tawaran melalui Facebook oleh ejen yang mampu menyelesaikan masalah kami.

"Sebaik melihat tawaran berkenaan, saya menghubungi ejen terbabit dan dia memberi pilihan sama ada kami mahu masuk ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah atau Rantau Panjang, Kelantan.

"Memandangkan saya ketika itu bekerja di Terengganu, saya memilih masuk melalui Rantau Panjang dan suami pula datang dari Kuala Lumpur," katanya.

Siti berkata, mereka dibawa ke satu tempat di Golok, Thailand di mana wali serta saksi sudah disediakan oleh ejen berkenaan.

"Proses nikah berjalan dengan lancar dan dalam masa hampir satu jam akad nikah kami sudah selesai. Bayaran sebanyak RM3,000 itu saya bayar sebaik semuanya selesai.

"Bagaimanapun, sehingga kini kami belum mendaftarkan perkahwinan kami di pejabat agama memandangkan keluarga saya dan isteri pertama suami belum mengetahui perkahwinan kami," katanya yang kini bekerja sebagai kerani di Kota Bharu.

Mengakui apa yang dilakukannya itu salah, namun Siti hanya mampu berdoa supaya keluarganya dapat menerima suaminya sebaik rahsia mereka didedahkan nanti.

Sementara itu, seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Jawahir, 36, berkata sebelum ini dia beberapa kali cuba menggunakan khidmat ejen nikah Thailand namun ditipu oleh mereka sehingga mengalami kerugian hampir RM10,000.

"Disebabkan kecewa dengan apa yang berlaku, saya dan pasangan, iaitu isteri kedua sanggup pergi sendiri ke Thailand tanpa bantuan ejen.

"Sebaik sampai di pekan Golok, saya menaiki teksi dan meminta mereka menghantar kami ke Majlis Agama Islam Narathiwat dan kami selamat bernikah dalam masa satu jam.

"Lebih mengejutkan apabila kos yang kami habis tidak sampai RM1,000 jika dibandingkan kerugian yang sudah saya alami sebelum ini," katanya. (BH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, hanya RM3,000 dapat nikah di Thailand. Islam memudahkan penganut dalam urusan perkahwinan. Nabi SAW berpesan, berkahwin dan beranaklah, sesungguhnya aku gembira dengan umatku yang ramai. Apalagi di zaman demokrasi melalui peti undi.

1. IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-331: HADITH KEHINAAN MEMBUJANG

Soalan: Apakah status dan makna hadith ini jika ia sahih?

إِنَّ سُنَّتَنَا النِّكَاحُ، شِرَارُكُمْ عُزَّابُكُمْ، وَأَرَاذِلُ مَوْتَاكُمْ عُزَّابُكُمْ

Maksudnya:“Sesungguhnya di antara sunnah kami adalah bernikah, sehina-hina kamu adalah orang yang bujang dalam kalangan kamu dan sehina-hina mayat di antara kamu adalah orang yang membujang daripada kalangan kamu”.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Allah SWT telah menciptakan lelaki dan wanita serta Allah SWT mensyariatkan perkahwinan di antara mereka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

al-Rum:21

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Tambahan pula, hukum asal atau secara umumnya bagi perkahwinan ini adalah sunat kerana ia berkait-rapat dengan fitrah dan keinginan yang ada pada diri manusia itu. [Lihat: al-Muktamad, 16/4]

Justeru itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan cuba menjelaskan berkaitan status hadith di atas terlebih dahulu sebelum pergi kepada maknanya:

Berkaitan sumber hadith ini adalah, hadith di atas merupakan sepotong atau sebahagian daripada sebuah hadith yang panjang yang mana ia telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya daripada Abu Zar RA dengan matan (teks) yang panjang.

Selain itu juga, Imam al-Thabarani ada mendangkan dua riwayat iaitu yang diriwayatkan sebahagian matannya (teksnya) oleh Abu Hurairah RA di dalam al-Mu’jam al-Awsath dan diriwayatkan juga secara panjang oleh ‘Ukkaf bin Wada’ah al-Hilaliy RA di dalam al-Mu’jam al-Kabir.

Adapun berkaitan dengan statusnya, di sini kami cuba untuk menukilkan beberapa pandangan dan penilaian para ulama atau para sarjana dalam bidang hadith berkaitan dengan hadith ini:

  • Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menilai riwayat Abu Hurairah RA sebagai tidak sahih. [Lihat: al-Mawdhu’at, 258/2]
  • Imam al-Haithami (807 H) menyatakan riwayat Abu Zar RA terdapat padanya perawi yang tidak dikenali tetapi selain daripadanya adalah perawi yang thiqah (dipercayai). [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 250/4] Adapun, berkaitan riwayat ‘Ukkaf bin Wada’ah RA di dalam sanadnya terdapat perawi yang dhaif iaitu Mu’awiyah bin Yahya al-Sadafiy dan berkaitan riwayat Abu Hurairah RA pula di dalam sanadnya terdapat perawi yang matruk (ditinggalkan riwayatnya). [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 251/4]
  • Imam al-Fattani (986 H) menghukum kedua sanad hadith tersebut (riwayat Abu Hurairah RA dan Abu Zar RA) di dalamnya terdapat perawi yang dhaif dan matruk. Begitu juga, setiap yang datang pada bab ini (bab berkaitan keburukan membujang) tidak terlepas daripada kedhaifan dan percanggahan tetapi ia tidaklah sampai ke tahap palsu. [Lihat: al-Mawdhu’at, 125]
  • Syeikh Syu’aib al-Arna’outh (1438 H) menilai sanad hadith ini adalah dhaif disebabkan terdapat perawi yang tidak dikenali dan juga berlaku pertembungan atau perselisihan dengan riwayat-riwayat yang lain. [Lihat: Musnad Ahmad, 355/35]

Setelah melihat beberapa pandangan para ulama di atas, kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadith di atas adalah dhaif dan tidak sampai ke tahap palsu. Walaupun begitu, ia perlulah difahami dengan baik supaya tidak berlaku salah faham terhadap golongan yang tidak berkahwin dan sebaiknya kita tidak menyandarkannya secara pasti bahawa ia datang daripada Rasulullah SAW.

 

Makna Hadith

Di antara maksud hadith ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-San’ani (1182 H) ketika mensyarahkan hadith-hadith di dalam al-Jami’ al-Saghir bahawa lelaki bujang bermaksud lelaki yang tidak mempunyai wanita (isteri) dan bagi wanita pula adalah wanita yang tidak mempunyai suami. Orang yang bujang ini dikatakan sebagai orang yang hina adalah disebabkan mereka itu mendedahkan dirinya kepada keburukan (maksiat) dan dia juga tidak selamat daripada terkena fitnah walaupun dia merupakan orang yang soleh. Hal ini juga disebut oleh Imam al-Baihaqi. Selain itu juga, mereka dikatakan sebagai mayat yang hina adalah disebabkan mereka tidak mampu mendapatkan ganjaran dan kemuliaan yang banyak daripada Allah SWT. [Lihat: al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 49/6]

Akan tetapi, kita tidak boleh menganggap orang yang bujang itu kesemuanya adalah seburuk-buruk atau sehina-hina manusia. Ini kerana, ramai daripada kalangan ulama terdahulu yang tidak bernikah termasuklah tokoh-tokoh yang besar di dalam Islam. Di samping itu juga, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (1417 H) ada menulis serta menghimpunkan nama-nama ulama yang tidak pernah berkahwin di dalam sebuah kitab yang khusus iaitu “العلماء العزاب” seperti Imam al-Nawawi (676 H). Justeru itu, mungkin yang boleh difahami daripada hadith ini juga adalah orang bujang yang hina adalah orang yang berkemampuan untuk berkahwin tetapi dia masih bergelumang atau melakukan perbuatan yang haram seperti zina dan sebagainya.

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang menceritakan berkaitan keburukan orang yang bujang adalah hadith yang dhaif dan tidak sampai ke tahap yang palsu sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Selain itu juga, kami menasihati kepada sesiapa sahaja yang berkemampuan untuk berkahwin kerana itu akan memelihara dirinya daripada terjebak dengan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara diri kita daripada melakukan maksiat serta menjadikan kita daripada kalangan hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

Wallahua'lam

2. IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-267: GALAKAN MENIKAHI WANITA YANG SUBUR

Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan galakan menikah dengan wanita yang subur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Allah SWT menciptakan setiap makhluk itu secara berpasang-pasangan seperti lelaki dan wanita. Lalu Allah SWT mensyariatkan perkahwinan bagi mereka yang mampu sebagaimana firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

al-Rum:21

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

Tambahan pula, agama kita amat menggalakkan setiap umatnya agar berkahwin berdasarkan hadith-hadith yang sahih. Akan tetapi, di sana terdapat beberapa ciri-ciri yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada kita sebagai panduan sebelum mendirikan rumahtangga.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith daripada Ma’qil bin Yasar berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata:

إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ، وَإِنَّهَا لَا تَلِدُ، أَفَأَتَزَوَّجُهَا، قَالَ: "لَا." ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ، فَقَالَ: "تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ."

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik tetapi dia seorang yang tidak boleh melahirkan anak. Maka, apakah aku boleh menikahinya? Rasulullah SAW menjawab: “Jangan.” Kemudian lelaki itu datang buat kali yang kedua maka Baginda SAW juga melarangnya. Lalu lelaki itu datang buat kali yang ketiga, maka Nabi SAW bersabda: “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.” [Riwayat Abu Daud (1050)] [Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith adalah kuat]

Hadith ini menunjukkan bahawa anjuran Nabi SAW agar lelaki ini berkahwin dengan wanita yang penyayang supaya dia (isteri) dapat menyayangi suaminya dan yang subur pula adalah yang boleh melahirkan ramai anak. Hadith ini diikat dengan dua ciri ini kerana jika seorang wanita itu tidak bersifat dengan penyayang maka ia akan menjadikan tarikan suami kepadanya berkurangan. Adapun, jika wanita itu tidak bersifat subur maka ia tidak mencapai salah satu tuntutan iaitu meramaikan umat dengan melahirkan ramai anak. Selain itu, kedua ciri ini kebiasaannya terdapat pada wanita yang masih dara. Tambahan pula, hadith ini juga menunjukkan isyarat agar kekal dengan perkahwinan yang mana terdapat padanya (pada isteri) dua ciri atau sifat tersebut. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 33-34/6]

Justeru itu, hadith ini merupakan salah satu petunjuk atau hadyu nabawi dalam memilih pasangan hidup. Tuntutan ini bukanlah bersifat wajib, bahkan ia merupakan satu galakan kerana Nabi SAW berbangga melihat umatnya ramai di akhirat kelak. Seperkara lagi, anak merupakan rezeki daripada Allah SWT dan Allah SWT berhak untuk memberikan rezeki tersebut kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Untuk itu, janganlah kita bersedih jika Allah SWT belum lagi mengurniakan kita cahaya mata atau Allah SWT tidak mengurniakan kita cahaya mata. Tugas kita sebagai seorang hamba adalah sentiasa berdoa serta berusaha dengan bersungguh-sungguh dan selebihnya kita serah kepada Allah SWT.

Penutup

Kesimpulannya, antara kunci kebahagian rumahtangga adalah apabila mana-mana pasangan mendapatkan cahaya mata. Bahkan, ini akan menguatkan lagi hubungan di dalam perkahwinan tersebut. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mengikut setiap panduan yang telah diberikan oleh junjungan besar kita Nabi SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan zuriat-zuriat yang soleh dan solehah serta penyejuk mata buat ibubapa. Amin.

Wallahua’lam

1 comment:

Anonymous said...

Kahwin halal takpa. Jangan kahwin ikut pintu belakang macam abam. Atau macam jemin student abam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails