Thursday, April 14, 2022

'Sahur, sahur, sahur!', kisah deruman motosikal, deringan hon...

 

Hampir 100 motosikal berkonvoi jadi tradisi kejut sahur apabila menjelang Ramadan. - Foto/Ihsan Pembaca
Mohd Idris Mohd Rafae

Deruman enjin motosikal dan enjin angin membangunkan penduduk ditunggu-tunggu setiap Ramadan. - Foto/Ihsan Pembaca

Geng motosikal ronda 1,000 rumah kejut sahur

DERUMAN enjin motosikal diiringi nyaring hon angin dan laungan 'sahur, sahur, sahur' berulang kali oleh sekumpulan penduduk memecah keheningan malam mengajak penduduk bangun seawal jam 4 pagi.

Bagi penduduk Kampung Batu 3, Kampung Cerah dan Kampung Batu 4, Teluk Intan, Perak, kebingitan enjin motosikal inilah yang ditunggu-tunggu sekali gus memeriahkan ketibaan Ramadan.

Sudah menjadi rutin segerombolan pemuda, iaitu lebih 50 motosikal berkonvoi mengelilingi tiga kampung berkenaan bagi mengejutkan lebih 3,000 penghuni membabitkan hampir 1,000 rumah untuk bersahur.

Inilah keunikan dan keseronokan dapat dirasai di negara ini apabila ada sesetengah kawasan kampung dan taman masih mengamalkan tradisi lama menyambut Ramadan.

Bagi tiga kampung di Teluk Intan itu, aktiviti kejut sahur sudah menjadi tradisi setiap kali Ramadan menjengah sejak 12 tahun lalu.

Aktiviti itu juga bertujuan mengajak penghuni kampung menunaikan solat Subuh.

Geng Gerak Sahur 'beraksi'

Program kejut sahur yang dipelopori bekas Imam Masjid As-Saadah, Kampung Selabak, Mohd Rafae Abdul Hamid, 75, juga bertujuan mengekalkan tradisi orang Melayu dengan amalan yang tersendiri.

Lebih menarik program itu terus disemarakkan menerusi penyertaan lebih ramai anak muda kampung dengan penubuhan Geng Gerak Sahur (GGS) sejak 2012.

Sekumpulan penduduk pelbagai lapisan umur akan berkumpul dan berkonvoi bersama-sama mengelilingi tiga kampung di Kampung Selabak sejauh lebih 10 kilometer (km) selama sebulan.

Uniknya, mereka tidak menggunakan konsep yang sinonim dengan aktiviti seumpama itu seperti paluan kompang, tambori dan gendang atau alunan lagu rakyat seperti di beberapa tempat.

Sebaliknya kumpulan GGS hanya membunyikan hon angin dan melaungkan 'sahur' berulang kali tanpa berhenti di rumah penduduk dan mengetuk pintu rumah mereka.

Tetapi ia mengujakan apabila sebaik laungan dilontarkan dan puluhan motosikal melalui kawasan perumahan penduduk, ada terus membuka lampu dan ada juga yang sudah menanti kumpulan itu di tingkap sambil melambai-lambai mereka.

40 minit ronda kampung

Bagi penggerak program kejut sahur ini, Mohd Idris Mohd Rafae, 36, menjelaskan aktiviti itu dimulakan ayahnya, Mohd Rafae sebelum dia bersama kumpulan anak muda kampung meneruskan usaha berkenaan supaya ia tidak ditelan zaman dan terus menjadi tradisi kampung.

"Kami bersiap sedia seawal jam 3 pagi setiap hari sepanjang Ramadan dan sejam selepas itu kami akan mula pusing kampung sambil membunyikan hon serta melaungkan sahur berulang kali. Ayah juga masih menyertai kami sehingga kini.

"Kalau hujung minggu lebih ramai yang menyertai kami hingga mencecah 50 hingga 60 motosikal, malah ada juga kaum Hawa ikut sama.

[gn4id:33537966]

"Aktiviti ini sudah menjadi rutin wajib di kampung setiap tahun dan ia juga memeriahkan Ramadan mereka.

"Kita mengambil masa kira-kira 40 minit hingga sejam untuk menyelesaikan 'rondaan' sebelum ia akan berakhir di perkarangan rumah saya untuk kami semua bersahur bersama-sama," kongsinya yang menjalankan perniagaan kedai makan.

Kembalikan nostalgia zaman dahulu

Aktiviti seperti itu turut mendapat sambutan dan sokongan penduduk setempat yang mengakui ia membantu mereka menyiapkan juadah bersahur sekali gus memeriahkan suasana Ramadan.

Malah, ada yang bertanya jika tidak mendengar deruman motosikal dan laungan GGS, selain ada yang memaklumkan kehadiran kurang lebih 10 jentera itu diakui kurang didengari atau 'menyengat'.

"Apabila melihat reaksi penduduk seperti itu kami rasa terharu, gembira dan dihargai, malah ada dalam kalangan mereka juga memberi sumbangan untuk juadah bersahur kami walaupun kami tidak minta.

"Kami mahu mengembalikan nostalgia zaman dahulu dan biarlah generasi muda melihat usaha ini supaya ia dapat diteruskan sampai bila-bila. Aktiviti ini sekali gus dapat menyatukan penduduk kampung tak kira generasi berkumpul bersama," katanya yang turut membawa anaknya bersama.

Kemeriahan dirindui

Mohd Idris turut mengakui suasana Ramadan kali ini berbeza dengan dua tahun sebelumnya dan aktiviti juga dilakukan dengan lebih meriah serta masih kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditentukan kerajaan.

Dua tahun lalu suasana kampung berubah wajah apabila ia sunyi tanpa sebarang aktiviti susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan setahun lalu situasi sama biarpun mereka ada melakukan aktiviti dalam kumpulan kecil.

"Tahun ini, kemeriahan yang dirindui sudah dapat dirasai kembali. Ramai yang teruja untuk kembali mengelilingi kampung sambil kejut sahur seperti ini," katanya.

Bagi penduduk Kampung Selabak, Muhammad Husni Zulkifli, 25, pula mengakui Ramadan, bulan yang sentiasa dinantikan kerana tidak sabar untuk menyertai program kejut sahur.

Setibanya bulan mulia ini, dia pasti tidak melepaskan peluang melakukannya dan perkara itu sudah disertainya sejak enam tahun lalu.

Muhammad Husni yang membantu ayahnya berniaga mengakui gembira dapat menjadi sebahagian anak muda yang masih mengekalkan tradisi itu.

"Pada mulanya golongan berusia saja yang menghidupkan kumpulan kejut sahur ini dan tidak ramai. Tetapi lama-kelamaan ia menarik minat anak muda pula ikut menyertai mereka.

Bukan aktiviti buat 'kecoh'

Bagi Muhammad Husni, dia sendiri memang tidak akan melepaskan peluang ini kerana tidak semua tempat ada aktiviti seperti ini.

Aktiviti ini bukan buat 'kecoh' dinihari tetapi ia boleh dianggap sebagai kerja amal mengejutkan penduduk kampung untuk bersahur pada bulan ini yang hanya setahun sekali.

Kumpulan GGS menggerakkan usaha itu dengan dana sendiri semata-mata untuk menghidupkan tradisi turun-temurun biarpun teknologi canggih kini semakin berkembang pesat dengan bantuan penggera di telefon pintar atau jam loceng.

Mengakui tradisi itu mempunyai nilai sentimental tersendiri, Muhammad Husni juga berasa cara mengejut sahur dengan konsep itu lebih dirasai.

"Sambutan menggalakkan terutama pada malam minggu pernah mencecah penyertaan lebih 100 motosikal dan sejak lima tahun lalu makin ramai yang sertai kami.

"Saya harap usaha seperti ini dapat diteruskan dan lebih ramai anak muda menyertainya. Kita perlu mendidik mereka dari awal supaya ia tidak ditelan zaman," ujarnya. (BH)

Previous

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails