Sunday, April 03, 2022

Tangani Nelayan, ummah, masyarkat majmuk & tenaga solar.

 

1. Kerajaan patut guna budi bicara tangani masalah nelayan

BALIK PULAU: Kerajaan Negeri Pulau Pinang diharap dapat menggunakan pendekatan secara budi bicara dan perbincangan bersama dalam menangani isu-isu golongan nelayan terutama berkaitan kemudahan usaha perikanan mereka.

Ini kerana mereka perlu diberi bantuan sewajarnya agar terus dapat membekalkan hasil perikanan diperlukan setiap hari, selain sebagai sokongan bangkit dan pulih semula dari kesan pandemik COVID-19 yang melanda sebelum ini.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata demikian ketika turun melihat sendiri keadaan setor simpanan pukat nelayan yang dirobohkan penguat kuasa di Kampung Nelayan Sungai Batu, di sini Rabu lalu.

Mengakui adanya ketidakpatuhan undang-undang, namun kata beliau, hal tersebut bukan melibatkan kesalahan jenayah berat, sebaliknya memerlukan kompromi dan penyelesaian yang dapat memberikan kemudahan.

“Para nelayan menghadapi masalah batu ladung pemberat pada pukat mereka sering hilang. Batu timah itu orang ambil curi dan jual sebab ada harga. Pukat buang dalam air tak tenggelam bila nak tangkap ikan.

“Jadi depa bina setor berkunci macam ni semata-mata untuk simpan pukat supaya tak berlaku kecurian,” terang beliau yang simpati mendengar aduan disampaikan para nelayan ketika kunjungannya itu.

Seru beliau, dalam situasi tersebut pihak kerajaan sepatutnya mengadakan perbincangan bersama para nelayan bagi mencari alternatif kepada masalah golongan itu dan bukannya menambahkan lagi beban mereka.

Katanya, dengan perobohan tersebut menyebabkan para nelayan bukan sahaja tiada tempat selamat bagi menyimpan pukat mereka dan kecurian akan terus berlaku, malah kerugian atas kos binaan stor yang dirobohkan.

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim yang turut serta dalam tinjauan itu memberitahu bahawa tindakan perobohan oleh penguat kuasa sememangnya atas arahan kerajaan dan dalam makluman wakil rakyat kawasan berkenaan.

“Mesti dia (wakil rakyat) tahu (arahan perobohan) sebab tu dia buat tak tahu,” ujarnya memberi reaksi terhadap aduan para nelayan tersebut yang menyatakan tidak menerima maklum balas dari wakil rakyat DUN dan Parlimen di sini.

Menurut beliau, masalah kecurian ladung timah dihadapi para nelayan ini perlu menjadi satu perhatian daripada kerajaan negeri untuk membantu golongan ini, bukan diambil tindakan perobohan tanpa mendengar keluhan dihadapi.

Para nelayan ini ujarnya, menghadapi dilema hendak ke laut tetapi ladung timah hilang dan apabila dibuat bangunan sementara yang tiada kemudahan lain seperti air dan elektrik, dikenakan pula tindakan oleh pihak berkuasa.

“Hanya semata-mata bangunan yang ‘simple’ untuk pukat mereka dikunci disimpan (dari dicuri). Mereka berbelanja sehingga RM7,000 untuk buat bangunan tu. Mereka dizalimi dua kali, satu oleh pencuri dan satu lagi pihak berkuasa yang tak cuba memahami.

“Sepatutnya ADUN datang ‘letak telinga’ mendengar keluhan mereka itu. Bawa bincang dengan Exco berkaitan supaya kerajaan negeri dapat ambil inisiatif bantu mereka misalnya wujudkan pusat simpanan yang lebih tersusun.

“Sama ada letak kontena atau tempat yang dapat simpan pukat. Saya ingat dulu ada cadang pukat percuma oleh YB Batu Maung kepada nelayan. Kita ingat lagi siapa yang cadang itu. Kita PAS pun berada dalam Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) lepas PRU12.

“Kita rangka Manifesto PR PRU13 dulu dengan DAP dan PKR pun ada kemuka pemberian pukat percuma dua kali setahun. Cadangan itu baik kepada nelayan. 

“Tetapi bila nelayan hadapi musibah kehilangan ladung ini, kerajaan yang mengaku prihatin ini tidak datang melalui ADUN atau Exco berkaitan untuk mendengar dan selesaikan,” kesalinya terhadap tindakan sebaliknya yang berlaku.

Merujuk kepada notis diberikan yang menyatakan nelayan terbabit telah menceroboh tanah kerajaan, beliau mengajak supaya melihat isu pencerobohan tanah lebih berat berlaku di banyak lokasi dalam negeri ini.

Sebaliknya kata Iszuree, fokus tindakan kepada nelayan hingga berlaku kerugian kehilangan atau kerosakan aset perikanan golongan itu sepatutnya ditangani dengan cara yang lebih prihatin dan menangani golongan susah.

“Mereka (kerajaan) ini hanya memandang keuntungan yang besar-besar seperti dibawa golongan kapitalis ke sini, tetapi tidak endah masalah dihadapi rakyat khususnya golongan seperti ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/4/2022 


2. PAS mahu satukan ummah, masyarakat majmuk 

MARANG: PAS mengulangi pendirian mahu menyatukan ummah dalam kalangan orang Islam dan masyarakat majmuk di negara ini.

Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS terbuka untuk sedia bersama siapa sahaja bagi menjayakan agenda Muafakat Nasional (MN).

Menurutnya, PAS masih berusaha untuk menyatukan MN yang tidak terhad kepada dua parti Umno dan PAS sahaja.

“Kita berhubung dengan semua orang, kita terbuka. Kita hendak menyatukan ummah, menyatukan orang Islam dan menyatukan masyarakat majmuk.

“Kita masih usaha nak menyatukan dan MN itu tidak terhadlah untuk dua parti (Umno-PAS) sahaja. Mana-mana parti yang boleh menerima konsep kita, dasar itu Perpaduan Ummah, kita terima,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media, semalam berkaitan ‘PAS main dua kolam’ dan bagaimana hubungan dengan MN.

Katanya, PAS masih berusaha ke arah penyatuan itu dan selaras dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, beliau turut dimaklumkan mengenai pertemuan antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut membayangkan akan bertemu dengan Dr Mahathir demi agenda menyatukan ummah.

“Ya, saya dimaklumkan (pertemuan) itu dan kita sedia jumpa dengan siapa sahaja. Insya-Allah, akan diatur. Kita hendak menyatukan ummah,” tegasnya. HARAKAHDAILY 2/4/2022

3. Tenaga solar: Kesedaran masih perlu ditingkatkan 

SELAIN manfaat penggunaan tenaga solar diperluaskan, Kerajaan perlu tingkatkan kesedaran dan kefahaman kepada rakyat Malaysia sama ada di bandar mahupun luar bandar tentang manfaat yang diperoleh hasil daripada pemasangan tenaga solar di kediaman negara ini. 

Berdasarkan jawapan Menteri berkaitan soalan tambahan saya di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, dilihat seolah-olah Kerajaan juga mengakui rakyat Malaysia masih kurang kesedaran tentang penggunaan tenaga solar yang mampu menjimatkan bil elektrik yang melambung tinggi berikutan harga arang batu global yang meningkat secara mendadak.

Meskipun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai program dan inisiatif bagi menggalakkan penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Malaysia, namun begitu sambutan pemasangan tenaga solar daripada sektor kediaman masih kurang memberangsangkan.

Sebagaimana laporan daripada Pihak Berkuasa Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) 2020 menyatakan hanya 7.76 megawatt (7 peratus) sahaja yang mengambil bahagian. Ini merupakan angka yang sangat sedikit sedangkan 3.2 juta hartanah kediaman berpotensi untuk memasang tenaga solar.

Ironinya, kebergantungan seratus peratus sumber yang semakin berkurangan terutama arang batu, minyak dan gas asli dalam penjanaan tenaga elektrik seluruh negara amat membimbangkan. Hal ini kerana kira-kira 93 peratus penjanaan elektrik di Semenanjung sahaja bergantung sepenuhnya kepada  arang batu dan gas asli. 

Sudah pasti sumber alam terutama cahaya matahari yang diberikan oleh Allah SWT secara fitrah ini perlu kita manfaatkan dan menggunakannya sebaik mungkin kerana ianya didapati secara mesra alam dan tidak dipengaruhi kuasa politik antarabangsa dan monopoli syarikat multinasional yang menguasai sumber tenaga dunia. Ini membuktikan tanda kekuasaan Allah SWT sepertimana FirmanNya:

Maksud: 

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah.”

(Fussilat: 37)

Justeru, saya mengharapkan Kerajaan dan agensi yang terlibat dapat memikirkan mekanisme yang berkesesuaian untuk memperhebat lagi program, kempen, skim bantuan dan sebagainya dalam memberi kesedaran dan kefahaman kepada rakyat khususnya B40 dan M40 manfaat yang diperoleh hasil daripada pemasangan tenaga solar di kediaman masing-masing.

“Islam Menyatukan Ummah”

SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 3/4/2022

No comments:

Post a Comment