Thursday, April 21, 2022

Tindakan ganas polis Perancis terhadap wanita, Islam & kuasa politik

 

Seorang wanita berhijab sedang berjalan di dataran Trocadero berhampiran Menara Eiffel di Paris, Perancis pada 2 Mei 2021. (FOTO Reuters)
Polis Perancis dirakam memukul dua wanita Islam berhijab dalam video yang telah disebarkan secara meluas di media sosial. - Gambar hiasan (Getty Images)

1. Dua wanita berhijab failkan aduan terhadap tindakan ganas polis Perancis

PARIS: Dua wanita Islam berhijab akan memfailkan aduan terhadap polis Perancis selepas mereka diperlakukan secara ganas pada minggu lalu.

Peguam kedua-dua wanita itu, Nabil Boudi berkata, kejadian yang berlaku pada 14 April lalu di Jambatan Clichy di utara Paris itu kini menyebabkan kedua-dua mangsa masih trauma tetapi mereka tetap bertekad agar keadilan ditegakkan.

“Aduan atas dakwaan perlakuan ganas polis terhadap kedua-dua wanita berkenaan akan difailkan dalam beberapa hari lagi,” ujarnya.

Rakaman video, yang dikongsi oleh Boudi di Twitter dan kini tular di media sosial menunjukkan seorang wanita berhijab hitam dengan tangannya ditarik ke belakang ditampar dan ditolak ke tanah oleh dua pegawai polis. 

Apabila wanita kedua yang bertudung merah jambu cuba membantu, seorang polis lain telah menolaknya dengan ganas sehingga dia kemudian terbaring.

Orang ramai yang cuba campur tangan dan meminta anggota polis berhenti melakukan  keganasan itu juga ditolak oleh salah seorang polis berkenaan.

Kejadian itu  adalah salah satu daripada bukti terhadap beberapa serangan anti-Muslim di Perancis sejak akhir-akhir ini yang berjaya di rakam dalam  video dan dikecam oleh pengguna media sosial.

Terdahulu, dua pelajar perempuan sekolah, salah seorang daripada mereka memakai tudung telah diserang oleh seorang lelaki di Montpellier pada awal bulan ini dalam rakaman video yang dikongsi secara meluas dalam talian. 

“Lelaki berkenaan akan dibicarakan di mahkamah atas dakwaan ‘melakukan serangan bersifat perkauman’,” kata Boudi. – The New Arab

2. Sukar laksana Islam tanpa ada kuasa politik 

MACHANG: Penglibatan PAS dalam politik demokrasi untuk memastikan hukum hakam yang terkandung dalam al Quran dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, usaha itu sukar dilaksanakan tanpa adanya kuasa politik.

Katanya perkara itu berlaku dalam sejarah awal perkembangan Islam di mana Nabi Muhammad s.a.w terpaksa berhijrah ke Madinah bagi membentuk kerajaan Islam yang pertama.

“Baginda berhijrah memandangkan penduduk Makkah tidak menerima Islam dan memusuhi baginda,” katanya pada ceramah Badar Qubra di Dataran Kemahkotaan Machang malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dato’ Dr Nik Muhamad Zawawi Salleh dan wakil-wakil rakyat.

Program tersebut bermula dengan solat Asar diikuti tadarus al Quran dan iftar beramai-ramai. Program tadarus diketuai Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Dr Johari Mat. Solat tarawih pula diimamkan Syeikh Yasir Al Syarqawi.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata, kerajaan Islam Madinah disenangi masyarakat Arab tanpa mengira agama dan bangsa kerana Islam berlaku adil kepada semua pihak.

Menurutnya keadilan kerajaan Islam sebenarnya sudah lama ditunggu masyarakat Arab memandangkan sebelum ini mereka berada di bawah pemerintah yang zalim dan menindas rakyat.

Katanya, Kerajaan Islam Madinah merupakan kerajaan Islam pertama dalam sejarah Islam.

Bagaimanapun kata beliau orang bukan Islam di Makkah tidak senang dengan kerajaan Islam di Madinah memandangkan pengaruhnya semakin berkembang.

“Mereka berusaha menjatuhkan kerajaan Islam Madinah sehingga tercetusnya Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadan iaitu tahun kedua Hijrah berlaku.

“Ia merupakan perang pertama dalam Islam. Badar ialah sebuah lembah yang terletak antara Madinah dengan Makkah.

“Peperangan itu melibatkan tentera Islam seramai 313 orang berhadapan dengan 1,000 orang anggota tentera Musyrikin Makkah yang lengkap dengan senjata. Peperangan itu akhirnya dimenangi tentera Islam,” katanya.

Beliau juga berkata, banyak catatan sejarah menyebut Islam mempelopori pelbagai tamadun dalam kehidupan manusia termasuk memperkenalkan penggunaan cek, pembinaan hospital dan hotel.

Bagaimanapun katanya kecemerlangan tamadun Islam itu tenggelam dengan kedatangan Barat sehingga ramai menganggap tamadun tersebut dicetus di Barat. 

Menteri Besar pula berkata, anak-anak muda jangan dibiarkan hanya mendapat maklumat semasa daripada media sosial sahaja kerana banyak perkara yang tidak benar.

“Kita kena ajak dan kumpul mereka bagi menjelaskan perjuangan PAS untuk memartabatkan Islam di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2022

3. Tumpu pada kestabilan politik yang berkekalan 

TITAH Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 Februari lalu diselitkan dengan beberapa rangkap pantun antaranya:

“Gunung Kinabalu sama didaki, Sungai Pahang sama direnang, Jikalau semua bersatu hati, kerja yang susah menjadi senang.

“Busana tradisi kain bersulam, Warnanya jingga berawan larat, Cukuplah berpolitik siang dan malam, Fokuskan menjaga kepentingan rakyat”.

Tuanku melafazkan kesyukuran Baginda apabila pihak kerajaan pimpinan Datuk Sri Ismail Sabri Yaakub berjaya mewujudkan kestabilan politik dalam negara. Menurut Baginda kestabilan tersebut penting bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat dan masa hadapan negara.

Malaysia berhadapan dengan ketidakstabilan politik sejurus Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 tahun 2018 dahulu. Buat pertama kali dalam sejarah kekuatan Kerajaan Persekutuan kini bertunjangkan Ahli-ahli Parlimen bukan Islam dan parti DAP yang diketuai bukan Melayu memegang dominasi dalam kerajaan.

Walaupun Tun Dr Mahathir Mohammad diangkat sebagai Perdana Menteri dan Dr Wan Azizah Ismail sebagai Timbalannya, namun kerajaan baru ini dilihat dengan penuh curiga dan kebimbangan oleh masyarakat Melayu yang merupakan penduduk majoriti dalam negara.

Dan sepanjang 22 bulan pemerintahan mereka beberapa isu kontroversi tercetus sehingga menyemarakkan lagi ketidakpuasan hati rakyat yang menyumbang kepada kestidakstabilan politik. Rakyat sehingga keluar ke jalanan, protes beberapa isu besar termasuklah berkenaan rektifikasi ICERD dan Statu Rom. 

Selain itu janji-janji bulan dan bintang sebagaimana terkandung dalam manifesto PH tidak ditepati, dan rakyat semakin cemas, tertekan dan tertipu.

Malah Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri PH sendiri hadir dan meraikan Kongres Maruah Melayu yang dipenuhi dengan ucapan dan pembentangan yang rata-rata menonjolkan permasalahan umat Melayu Islam yang semakin memuncak, kesemuanya dikaitkan dengan suasana ketidakstabilan politik yang ada. Sehinggakan Tun sendiri mengakui beliau tidak memiliki kekuatan politik seperti dahulu lantaran kerajaan Persekutuan kini didominasi DAP.

Ringkasnya Kerajaan PH akhirnya tumbang apabila Tun Dr Mahathir letak jawatan secara mengejut dan digantikan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran peristiwa ‘Langkah Sheraton’.

Kemudiannya Muhyiddin pula digantikan sebagai Perdana Menteri dan naik Ismail Sabri sehingga hari ini.

Hari ini PH duduk dibangku pembangkang manakala kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ pimpinan Ismail Sabri didukungi beberapa parti termasuklah BN, PN, GPS dan Bebas memerintah bersama. 

Dan atas beberapa inisiatif dan pendekatan yang berani dan matang, Perdana Menteri kini telah berjaya memulihkan keyakinan rakyat dan membawa negara fokus untuk memulihkan ekonomi dan kembali kepada kehidupan normal khasnya setelah berhadapan pandemik COVID-19 selama lebih 2 tahun.

Sebagaimana titah Seri Paduka:

“Kematangan politik seperti inilah yang didambakan rakyat beta. Melangkah ke hadapan, beta menyeru kepada Ahli Yang Berhormat untuk terus mengekalkan persefahaman yang terbina dan memelihara kestabilan politik yang tercapai.”

“Usaha memupuk budaya toleransi dan hormat-menghormati hendaklah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat beta.

“Bantu dan mudahkan segala urusan rakyat untuk membina semula kehidupan mereka dengan rasa selamat, aman dan makmur demi negara kita yang tercinta,”

Justeru mengekalkan kestabilan ini penting demi masa depan rakyat dan negara. Segala yang berkaitan kontrak sosial yang jelas memelihara kepentingan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan hanya dapat dibela dan dipertahankan kiranya kerajaan yang memerintah mewakili majoriti rakyat dan tidak sebaliknya.

Kerana itu penting rakyat memastikan teraju negara dipegang oleh saf kepimpinan yang bertaqwa, berintegriti dan disenangi semua. Hanya dengan kedudukan seumpama ini barulah kestabilan politik dapat dikecapi dan negara dan kerajaan dapat diuruskan dengan baik tanpa ada gangguan atau usaha yang boleh merebah atau menjatuhkannya.

Di sinilah pentingnya sebagaimana dibayangkan Yang di-Pertuan Agong agar rakyat jelata sendiri bersatu hati, matang dalam berpolitik sehingga tidak terbantut kemajuan dan pembangunan negara akibat terlalu berpolitik. Masa depan negara sesungguhnya terletak di tangan kita, kitalah yang mencorakkan nasib kita sendiri.

Demokrasi perlu subur namun amalannya biarlah setimpal dengan budaya dan adat kehidupan kita, bukannya mengimport budaya asing sehinggakan tiada lagi adab dan hormat. 

Kita bertanggungjawab menaikkan pemimpin yang berkualiti jika kita dambakan kerajaan yang baik yang dapat memperjuangkan hidup dan kepentingan kita, maka berusahalah ke arah itu.

Jangan mudah terperangkap dengan politik adu-domba dan terlalu taksub dengan pemimpin dan kelompok yang hanya memikirkan nasib dan masa depan mereka, bukannya untuk rakyat.

Keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno baru-baru ini untuk mengekalkan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Malaysia dalam PRU ke-15 nanti sesungguhnya adalah langkah yang bijak dan mengundang kestabilan politik yang sihat. 

Hari ini ternyata kita memiliki seorang Perdana Menteri yang cukup berwibawa, berintegriti dan lebih penting diterima dan disenangi rakyat. Beliau telah membuktikan kemampuan beliau dalam mengemudi negara keluar dari ancaman pandemik COVID-19 dan kini sedang rancak memulihkan ekonomi negara bersama anggota kabinetnya.

Kita tidak mahu kestabilan ini terganggu-gugat sehingga membuka ruang untuk pihak lain kembali memegang teraju negara. Cukuplah rakyat berhadapan pengalaman getir 22 bulan pemerintahan PH.

PAS melalui Setiausaha Agungnya turut mengalu-alukan langkah ini dan sebagaimana semangat titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong, biarlah kita beri fokus pada kepentingan rakyat, status quo yang ada perlu dikekalkan dengan penambah-baikan yang boleh menyumbang kepada kestabilan politik yang berkekalan.


ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR –HARAKAHDAILY 21/4/2022

2 comments:

Anonymous said...

Jom sokong Islam. Boleh lawan rasuah. Boleh lawan arak. Boleh lawan judi. Jangan jadi yahudi, asyik caci Islam.

Anonymous said...

Tak dengar cerita di negara majoriti Islam, berlaku penderaan terhadap orang bukan Islam. Di indonesia, ada penduduk cina. Tak dengar kes aniaya atau pelarian.

Tapi rakyat rohingya teruk kena aniaya oleh non muslim. Cuba lihat pengaruh iblis dan syaitan dalam jiwa orang bukan Islam. Begitulah bahayanya dap.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails