Sunday, April 24, 2022

Turki tutup pesawat Russia ke Syria & ketegangan Baitulmaqdis

 

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu. - AGENSI

1. Turki tutup ruang udara untuk pesawat Russia ke Syria

ISTANBUL: Turki menutup ruang udaranya kepada pesawat awam dan tentera milik Russia yang terbang ke Syria, kata media tempatan memetik Menteri Luar, Mevlut Cavusoglu.

Pengumuman itu menandakan satu tindak balas paling tegas oleh Turki setakat ini - yang menjalin hubungan rapat dengan Moscow walaupun menjadi ahli pakatan pertahanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) - terhadap serangan tentera Russia selama dua bulan ke atas Ukraine

"Kami menutup ruang udara kepada pesawat tentera Russia - termasuk kepada pesawat awam - yang terbang ke Syria.

"Mereka sudah diberi masa sehingga April dan kami sudah memintanya pada Mac," lapor media Turki memetik kenyataan Cavusoglu.

Cavusoglu berkata, beliau sudah memanjangkan keputusan itu kepada rakan sejawatannya dari Russia, Sergei Lavrov, yang kemudian menyampaikannya kepada Presiden Vladimir Putin.

"Satu atau dua hari kemudian, mereka berkata: Putin sudah mengeluarkan arahan, kami tidak akan terbang lagi," Cavusoglu dipetik sebagai berkata kepada wartawan Turki dalam pesawatnya ke Uruguay sambil menambah larangan itu akan kekal untuk tempoh tiga bulan.

Tiada sebarang maklum balas segera diberikan Russia terhadap pengumuman Turki, yang bersama Iran menjadi penyokong penting Presiden Syria, Bashar al-Assad semasa perang saudara di negara bergolak itu.

Turki menyokong pemberontak Syria ketika konflik berkenaan.

Hubungan Ankara dan Moscow terputus seketika selepas Turki menembak jatuh sebuah pesawat pejuang Russia berhampiran sempadan Turki-Syria pada 2015.

Bagaimanapun, hubungan itu bertambah baik sehingga berlaku pencerobohan Russia ke atas Ukraine, yang dilihat Turki sebagai rakan perdagangan dan sekutu diplomatik yang penting.

Turki cuba menjadi pengantara bagi menamatkan konflik itu, dengan menganjurkan pertemuan antara wakil rundingan Russia dan Ukraine di Istanbul, serta satu lagi antara Lavrov dan rakan sejawatnya di Ukraine, Dmytro Kuleba di Antalya.

Ankara kini cuba mengatur sidang kemuncak Istanbul antara Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, walaupun Cavusoglu mengakui prospek rundingan sedemikian ketika ini masih malap.

"Jika mereka mahukan perjanjian, ia tidak dapat dielakkan. Ia mungkin tidak berlaku untuk tempoh yang lama, namun ia boleh berlaku secara tiba-tiba," katanya. - AFP


2. PBB bincang ketegangan Baitulmaqdis bersama Israel, Palestin 

Polis Israel mengangkat seorang penunjuk perasaan warga Palestin yang cedera di perkarangan Masjidil Aqsa. - AFP

WASHINGTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, membincangkan ketegangan berterusan di sekitar tapak suci Baitulmaqdis dalam panggilan berasingan Sabtu bersama Perdana Menteri Israel dan Presiden Palestin.

Dalam kenyataan dikeluarkan selepas kedua-dua panggilan, PBB berkata, Guterres membincangkan usaha untuk meredakan ketegangan, menamatkan provokasi dan langkah unilateral, serta memulihkan ketenangan.

Lebih 200 orang kebanyakannya rakyat Palestin, cedera sejak seminggu lalu dalam pertempuran di dalam dan sekitar perkarangan Al-Aqsa, tapak suci bagi kedua-dua orang Islam dan Yahudi.

Rakyat Palestin marah dengan penempatan polis Israel secara besar-besaran dan lawatan berulang oleh Yahudi ke tapak suci itu, yang ditadbir melalui perjanjian perkongsian kuasa yang lemah.

Guterres mengulangi bahawa status quo di tapak suci mesti ditegakkan dan dihormati.

Pertempuran di Al-Aqsa berlaku di tengah gelombang keganasan maut, yang mencetuskan kebimbangan konflik lebih meluas. Pelancaran roket dari Semenanjung Gaza pada Rabu dan Khamis mendorong serangan balas daripada Israel.

Namun selepas serangan serupa dari Gaza pada malam Jumaat dan pagi semalam, Israel memutuskan untuk tidak melancarkan serangan balas, sebaliknya berkata ia akan menutup satu-satunya sempadannya ke daerah yang dikelilingi itu hari ini. - AFP

No comments:

Post a Comment