Kemalangan dua kereta berpunca kenderaan dipandu lawan arus di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, semalam. FOTO TULAR
Wanita pandu lawan arus ditahan positif dadah
JOHOR BAHRU: Seorang wanita ditahan kerana memandu melawan arus di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan di Kilometer 16 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, Toyota Vios dipandu melawan arus oleh suspek, 30, merempuh bahagian hadapan dan sisi kanan sebuah Proton Saga di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, mengesahkan kejadian itu termasuk penahanan suspek yang mana video kemalangan terbabit turut tular di media sosial.
"Tiada kecederaan dialami pemandu kedua-dua kenderaan yang terbabit kemalangan itu, dengan hasil ujian saringan awal air kencing mengesahkan wanita yang memandu melawan arus itu positif dadah jenis amphetamine.
"Kes kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu tular di media sosial video memaparkan kemalangan secara berhadapan membabitkan dua kereta di jalan sehala itu.
Dalam pada itu, Rupiah menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kemalangan ini menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122. (BH)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Wanita pandu lawan arus, Lagi mabuk punya hal..
(BAYAN LINNAS SIRI KE-117 : 25 SEPTEMBER 2017)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Maidah: 90)
Arahan supaya menjauhi arak adalah lebih kuat daripada tegahan meminumnya. Hal ini kerana tegahan sahaja tidak termasuk tegahan lain yang berkaitan dengannya, seperti melayan seseorang minum, membeli atau menjualnya.
Sementara, arahan menjauhinya pula bermaksud, amaran supaya menjauhi segala perkara yang berkaitan dengan arak, termasuk minum dan sebagainya.
Setiap Perkara yang Memabukkan Adalah Haram
Ayat al-Quran terdahulu mengharamkan arak yang dibuat daripada anggur sahaja, tetapi pengharaman tersebut termasuklah semua benda yang memabukkan.
Ini berdasarkan hadith daripada Nabi SAW:
كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ
Maksudnya: “Semua yang memabukkan adalah haram.”
Riwayat Bukhari (5263) dan Muslim (2001)
Hadith ini menjelaskan maksud arak, iaitu semua perkara yang memabukkan. Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram.
Menurut ijma’ ulama’, pengharaman arak adalah kerana ia memabukkan. Oleh itu, pengharaman tersebut mestilah sama atas semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya.
Ini berdasarkan hadith daripada Abu Malik bin al-Asy’ari RA, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِى الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا
Pengertian Mabuk
Maksud mabuk ialah pemikiran terlalu kacau, yang menghalang fungsi akal kerana tidak dapat mengawal dengan bijak dan sepatutnya. Maksud memabukkan pula ialah sesuatu yang diminum itu biasanya menyebabkan seseorang mabuk tanpa mengira kadarnya. Oleh itu, tidak harus sama sekali mengambil sesuatu yang pasti memabukkan peminumnya sama ada kadar yang diminum itu sampai had yang memabukkan ataupun tidak, dan sama ada peminum itu mabuk ataupun tidak.
Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA:
مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ
Hadith seterusnya daripada Aisyah R.Anha, katanya, sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ مَا أَسْكَرَ الْفَرَقُ مِنْهُ فَمِلْءُ الْكَفِّ مِنْهُ حَرَامٌ
Minuman yang Memabukkan Adalah Najis
Menurut Mazhab al-Syafie, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT (yang bermaksud):
Perkataan rijsun dengan makna kotor dan najis.
Hikmah Pengharaman Minuman yang Memabukkan
Allah SWT mengurniakan nikmat yang berbagai-bagai kepada manusia dan yang paling utama ialah nikmat akal yang membezakan manusia, bahkan memuliakannya berbanding dengan makhluk yang lain.
Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal.
Semua minuman yang memabukkan merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan di kalangan orang Islam, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang.
Lebih dahsyat lagi, kesan minum arak menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Begitu juga hadith daripada Rasulullah SAW:
اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ
Begitu juga, hadith daripada Uthman RA secara mauquf:
اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِثِ
Itulah sebahagian hikmah pengharaman arak dan semua jenis makanan atau minuman yang memabukkan.
Hukuman Peminum Arak
Selepas diterangkan maksud memabukkan dan diketahui hukum perkara yang memabukkan. Begitu juga, dalil dan hikmah. Maka di sini, diterangkan hukum berkaitan meminum perkara yang memabukkan. Peminum arak akan menghadapi dua hukuman yang berikut:
Pertama: Hukuman dari sudut perundangan dilaksanakan di dunia, iaitu hukuman hudud.
Kedua: Hukuman dari sudut agama yang dilaksanakan pada hari Kiamat.
Dari sudut agama, hukumnya berdosa. Perlaksanaannya terserah kepada Allah terhadap hamba-Nya yang sedikit pun tiada kaitan dengan undang-undang dunia. Walau bagaimanapun, ulama’ sepakat menyatakan bahawa meminum minuman yang memabukkan dengan sengaja adalah berdosa besar.
Pada hari Kiamat, balasannya amat dahsyat selagi tidak mendapat pengampunan dan kemaafan daripada Allah SWT:
Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA , sabda Nabi SAW:
إِنَّ عَلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ عَهْدًا لِمَنْ يَشْرَبُ الْمُسْكِرَ أَنْ يَسْقِيَهُ مِنْ طِينَةِ الْخَبَالِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا طِينَةُ الْخَبَالِ؟ قَالَ: عَرَقُ أَهْلِ النَّارِ أَوْ عُصَارَةُ أَهْلِ النَّارِ
Hukuman Had bagi Peminum Arak
Hukuman peminum minuman yang memabukkan sama ada arak atau yang lainnya adalah dengan sebatan 40 kali dengan syarat-syarat yang akan dijelaskan. Pemerintah harus menjalankan hukuman tersebut hingga 80 kali sebatan sebagai tambahan dengan hukum ta’zir (تعزير). Ini berdasarkan hadith daripada Anas RA:
كَانَ يَضْرِبُ فِى الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ أَرْبَعِينَ
Hadith yang lain, daripada Anas RA:
أَنَّ نَبِىَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَلَدَ فِى الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ ثُمَّ جَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ. فَلَمَّا كَانَ عُمَرُ وَدَنَا النَّاسُ مِنَ الرِّيفِ وَالْقُرَى قَالَ: مَا تَرَوْنَ فِى جَلْدِ الْخَمْرِ؟ فَقَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ: أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا كَأَخَفِّ الْحُدُودِ. قَالَ: فَجَلَدَ عُمَرُ ثَمَانِين
Tindakan Umar tersebut menunjukkan bahawa sebatan yang melebihi 40 kali adalah ta’zir dan bukan hudud.
Ini berdasarkan hadith daripada Uthman RA:
فَاجْلِدْهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ جَعْفَرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا. وَعَلِىٌّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَعُدُّ حَتَّى بَلَغَ أَرْبَعِينَ فَقَالَ أَمْسِكْ. ثُمَّ قَالَ جَلَدَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعِينَ وَجَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ وَعُمَرُ ثَمَانِينَ وَكُلٌّ سُنَّةٌ وَهَذَا أَحَبُّ إِلَى
Maksud Ali ialah hukuman 40 kali sebatan sudah memadai kerana kadar itulah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Kadar ini lebih selamat dalam pelaksanaan hukum daripada menambahnya yang ditakuti berlaku zalim. Ulama’ fiqh menyatakan bahawa hukuman 40 kali sebatan daripada Rasulullah SAW ialah hukuman asas. Adapun tindakan Umar RA menyebat 80 kali, Ali menjelaskannya seperti berikut:
نَرَى أَنْ تَجْلِدَهُ ثَمَانِينَ فَإِنَّهُ إِذَا شَرِبَ سَكِرَ وَإِذَا سَكِرَ هَذَى وَإِذَا هَذَى افْتَرَى
Hukuman berbohong menuduh orang lain berzina ialah 80 kali sebatan. Justeru, hukuman minum arak yang melebihi 40 kali sebatan, sebagaimana yang dilaksanakan oleh Umar RA adalah sebagai ta’zir. Menurut Mazhab al-Syafie, hukuman yang lebih baik setakat 40 kali sebatan sahaja kerana itulah yang datang daripada Rasulullah SAW.
Ditegah melaksanakan hukuman sebat ketika peminum arak sedang mabuk. Hal ini adalah kerana hukuman yang dijalankan ketika itu tidak mencapai tujuan pencegahan. Oleh itu, pelaksanaannya hendaklah ditangguhkan sehingga dia pulih supaya terhasil pencegahan mengambil arak semula.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Dalam isu ini, hendaklah dilihat antara dua kondisi ini;
- Jika agama-agama selain Islam mengizinkannya, maka ia termasuk dalam kebebasan beragama dan kami tidak ada masalah dengannya.
- Mengadakan pesta arak secara terbuka adalah tidak ada kewajarannya dari sudut pendirian yang matang kerana mempromosikan arak itu sendiri adalah satu hal yang tidak bermanfaat.
Kami mengambil kesempatan untuk menasihat seluruh rakyat Malaysia untuk menghindarkan diri daripada hanyut dengan arak. Arak telah terbukti menjadi ibu bagi segala kerosakan masyarakat, perpecahan dan keruntuhan rumahtangga. Malah di dalam Islam, perbuatan meminum arak adalah satu maksiat yang wajib ditinggalkan.
Di United Kingdom (UK), angka rasmi jenayah akibat meminum alkohol adalah 45-46 % kejadian jenayah, 39 % keganasan rumah tangga dan hampir 1 juta serangan ganas berlaku pada 2007 hingga 2008 berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk. Ia jelas menunjukkan bahawa meminum arak bukanlah budaya yang baik dan sihat.
Semoga Malaysia terus maju ke hadapan dan meninggalkan budaya-budaya yang tidak bermanfaat kepada bangsa dan negara. Kami berpandangan, alangkah baiknya masyarakat Malaysia lebih meraikan pesta yang menyemarakkan semangat perpaduan sesama kita seperti pesta makanan dan minuman bangsa-bangsa di Malaysia. Ia juga lebih signifikan dan sesuai dengan masyarakat Malaysia yang tinggi dengan adab ketimuran.
Akhukum fillah
1 comment:
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan budaya buli bukan sesuatu yang harus dibanggakan.
22 tahun rakyat kelantan kena buli
Post a Comment