Wednesday, May 11, 2022

15 artis veteran terima sumbangan Yayasan Kebajikan Artis (YKAT)

 

DJ Dave menjelaskan setiap kali tiba musim perayaan atau keperluan lain, YKAT menyalur sumbangan kepada artis merangkumi pelakon, penyanyi dan pemuzik pelbagai bangsa. Foto IG DJ Dave
HALAMAN HIBURAN

Pengarah dan pelakon, Mior yang cukup terkenal dengan produk bermutu pada era 1980-an turut menjadi antara 15 penerima sumbangan YKAT sempena Aidilfitri. Foto Ihsan YKAT

KUALA LUMPUR: Meneruskan tradisi, Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) mengagihkan sumbangan RM15,000 kepada 15 artis sempena Aidilfitri tahun ini.

Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave, berkata sumbangan kepada artis veteran yang mencapai usia 60 tahun setiap kali tiba musim perayaan dimulakan sejak 10 tahun lalu.

"Yayasan sedia bantu semua artis. Namun, ini tertakluk kepada syarat ditetapkan. Kami masih mahu memberi sumbangan dan tradisi ini diteruskan sebaik mungkin. 

"Inisiatif ini dilakukan termasuk melalui kerjasama dengan persatuan artis lain demi matlamat memberi bantuan kepada artis yang benar-benar memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama," katanya kepada BH Online.

DJ Dave berkata, setiap kali tiba musim perayaan atau keperluan lain, YKAT menyalur sumbangan kepada artis merangkumi pelakon, penyanyi dan pemuzik pelbagai bangsa.

"Pada Aidilfitri tahun ini, sumbangan disalurkan kepada 15 artis yang layak di mana agihan dibuat terus kepada akaun bank penerima.

"YKAT memperuntukkan bajet RM15,000, tahun ini. Setiap artis menerima RM1,000 termasuk percuma keahlian program khairat bernilai RM100.

"Kali ini, dua artis menerima RM1,000 manakala 13 artis lagi menerima RM900 dan RM100 keahlian program khairat.

"Sumbangan ini hasil dana diperoleh daripada kerajaan sejak YKAT ditubuhkan pada 2012. Dana ini diguna secara berhemah untuk membiayai pelbagai aktiviti seni, selain membantu kebajikan artis memerlukan," katanya.

Antara artis menerima sumbangan termasuk Mior Hashim Manap, Jimmy Saxophone, Ahmad Jamil Shuib, Nor Rihan Yakob, Tengku Mohd Shahid Tengku Fathel, Mohamad Zaini Hassan, Mohammad Hifni Mustaffa dan Noor Saida Ali Sabarmisi.

Turut menerima sumbangan Mohd Nor Abdullah, Chin Then Shoong, Oh Chuan Leong, S Sumadhi Suppiah, Francis Maruthan, Subramanian Packri dan Choo Ah Tan.

DJ Dave berkata, sumbangan itu tanda penghargaan kepada anak seni yang sudah lama berjuang dalam industri kreatif.

"YKAT berharap sumbangan ini dapat meringankan beban penggiat seni ketika musim perayaan.

"Pada masa sama, YKAT berharap terus mendapat sokongan pelbagai pihak sama ada daripada segi tajaan dana atau sokongan agar dapat terus menjaga kebajikan artis tanah air," katanya.

Tambah DJ Dave, YKAT sudah membantu 1,600 penggiat seni sejak 10 tahun ditubuhkan dan sedang merangka beberapa aktiviti sempena ulang tahun ke-10 yayasan itu. (BH)

No comments:

Post a Comment