1. Buah anggur manis dari Masjid Tanah
MELIHAT berpuluh-puluh buah anggur warna kemerahan, hijau, hitam dan ungu melayut dari setiap tangkai pohonnya membuat sesiapa sahaja teruja untuk memetik serta ingin menikmati rasanya.
Terdetik di fikiran adakah itu buah semanis seperti diimport dari negara asalnya. Lantas sesiapa mengunjungi Amanda Putri's Garden di Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah, Melaka mahu terus meneroka di kawasan yang dipenuhi kira-kira 1,000 pokok anggur.
Ternyata anggur itu bukan ditanam di tanah tinggi seperti di Cameron Highlands, apatah lagi negara di lembangan Mediterranean atau yang beriklim empat musim, sebaliknya boleh didapati di Melaka.
Kebun milik tiga beranak, Dol Malek Md Sap, 57, dan isteri, Maizah Jalil, 55, serta anak, Dzarul Hakim, 27, yang ditanam sejak Ogos tahun lalu itu dimajukan sebagai lokasi untuk penggemar menikmati pelbagai varian anggur sebelum membawa pulang anak pokok untuk ditanam di kediaman masing-masing.
Setakat ini, pelanggan yang hadir di taman itu diberikan peluang menikmati anggur secara percuma, selain dapat mengenali pelbagai varian anggur.
Warna, rasa berbeza mengikut spesies anggur
Berdasarkan maklum balas pengunjung, tidak mengecewakan, buah anggur dipetik itu manis.
Kini keluarga terbabit masih dalam peringkat mencuba menanam pelbagai varian anggur seperti jupiter, ninel dan velles yang masing-masing berbeza warna dan rasa.
Jupiter berwarna merah hati kehitam-hitaman manakala ninel merah pekat dan velles kuning kemerah-merahan ditanam melalui kaedah konvensional di atas tanah dan fertigasi.
Dol Malek membuktikan kemajuan inovasi dan teknologi membolehkan anggur ditanam dan tumbuh subur melalui sistem penjagaan sempurna.
Justeru, beliau tidak berpaling lagi apabila membuat keputusan tepat mengubah tanaman daripada pokok tin kepada anggur dengan memanfaatkan pelaburan hampir RM100,000 membina lima Rumah Lindungan Hujan (RLH), tidak terbiar begitu sahaja.
Selepas pokok tin diusahakan sejak 2010 rosak teruk akibat tidak dijaga kerana tidak dapat merentas negeri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, mereka mengubah strategi kepada penanaman anggur.
Sejak dulu, mereka yang menetap di Kajang, Selangor akan sering pulang ke kebun itu setiap hujung minggu bagi memantau perkembangan tanaman berkenaan.
Baca di internet cara tanam pokok
Dol Malek mahu memastikan pokok anggur ditanam di kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar di dalam lima RLH selepas menimba ilmu mengenai aspek penanaman anggur melalui pembacaan buku dan internet supaya dapat tumbuh dengan baik.
"Pokok anggur memerlukan panas berpanjangan dan dengan adanya RLH, cahaya matahari memberikan ruang amat luas untuk pokok membesar dengan cepat.
"Setakat ini, kita masih belum memasarkan anggur secara komersial kerana yang lebih penting ialah menghasilkan anak pokok anggur.
"Sejak memulakan usaha menyemai anak pokok anggur dalam polibeg awal tahun ini. Kami sudah memasarkan lebih 200 anak pokok anggur kepada pelanggan yang berminat membelinya sebagai tanaman hiasan.
"Kami jual semaian anak pokok anggur antara RM50 hingga RM350 sepokok," katanya.
Mahu jadikan kawasan agropelancongan
Pada masa depan pelanggan boleh memetik sendiri anggur sebelum membelinya mengikut harga pasaran apabila semua RLH sudah mengeluarkan hasil yang konsisten.
Sebagai pelengkap usaha memajukan industri agropelancongan, beliau bercadang membina chalet di kawasan berhampiran RLH yang sekarang dipenuhi dengan pokok durian, rambutan, manggis dan kuini.
"Kami begitu optimis suatu hari nanti, orang ramai yang berkunjung bukan sahaja dapat memetik dan makan pelbagai buah-buah di sini, malah dibanjiri pelancong untuk menikmati pemandangan indah di sekitar kebun ini," katanya. (BH)
2. 'Anggur Ukraine lebat berbuah di Slim River'
SLIM RIVER: Usaha seorang jurutera menanam anggur ternyata berbaloi selepas hasil kedua tanaman terbabit meningkat kepada 800 kilogram berbanding hanya 500 kilogram sebelum itu.
Peningkatan hasil tanaman anggur berasal dari Ukraine di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat sini, susulan penggunaan baja dibuat mengikut formula sendiri menggunakan campuran bahan tempatan.
Ir Hishamuddin Othman, 57, berkata pokok anggur yang ditanam dalam rumah pelindung hujan (RPH) bukan setakat mampu mengeluarkan buah yang lebat , malah ia tahan daripada perubahan cuaca dan suhu di kawasan persekitaran.
"Terdapat 54 pokok anggur membabitkan 28 jenis anggur ditanam secara fertigasi di dalam RPH sejak Februari tahun lalu.
"Selepas hasil tuaian anggur yang pertama, kerja pemangkasan daun dan dahan perlu dilakukan dua kali iaitu selepas buah dituai dan empat bulan kemudian, barulah pokok anggur mampu mengeluarkan hasil lumayan," katanya ketika ditemui di Muallim Hortigard and Nursery, dekat sini.
Tanaman anggur diusahakan beliau itu turut dilawati pengunjung yang mahu menikmati buah anggur dipetik daripada pokok dengan bayaran RM5 bagi dewasa dan percuma bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.
Pokok anggur yang ditanam secara fertigasi di dalam rumah pelindung hujan (RPH) bakal masak sepenuhnya pada minggu depan. - NSTP/Rosman Shamsudin Hishamuddin menunjukkan anggur jenis Veles. - NSTP/ Rosman ShamsudinAntara anggur yang menjadi kegemaran pengunjung ialah jenis Jupiter yang mempunyai perasa buah laici, manakala jenis Krasava dan Lorano pula berbuah besar dengan ketiga-tiga jenis ini berwarna merah gelap.
Hishamuddin berkata, benih pokok anggur ditanam itu berasal dari Ukraine.
Katanya, usaha beliau menanam pokok anggur dan memberi peluang orang ramai melawat secara tidak langsung dapat memberi peluang pengunjung merasai kepelbagaian jenis, rasa, warna dan bentuk buah anggur.
"Buah anggur yang sedang lebat berbuah dijangka masak sepenuhnya pada minggu depan dan ketika cuti Aidilfitri baru-baru ini, ramai pengunjung singgah sambil merakam gambar di sini.
"Bagi mereka yang selalu melancong ke luar negara, melihat pokok anggur lebat berbuah adalah perkara biasa, namun bagi sesetengah pengunjung pula inilah masa untuk merasai suasana seolah berada di luar negara," katanya.
Hishamuddin berkata, beliau juga boleh memberi khidmat nasihat penanaman dan penjagaan pokok anggur kepada mereka yang berminat menceburi tanaman terbabit.
Hishamuddin menunjukkan anggur jenis Veles yang lebat berbuah ditanam secara fertigasi. - NSTP/ Rosman Shamsudin3. Ibnu Hasyim melawat ladang anggur di China, antara yang terbaik di dunia. Diusahakan oleh rakyat China Muslim.
Lorong pejalan kaki pun dibumbungi dan dihiasi pokok-pokok anggor.
Lanjut lihat..
No comments:
Post a Comment