Friday, May 27, 2022

Bukan sukan 'acara sarkas & cadangan mengarut'.

 

SUKAN

Tiada keperluan wujudkan regu campuran lelaki wanita

BERSUKAN adalah amat dituntut dalam Islam. Setiap insan digalakkan menjaga tubuh badan agar kekal cergas dan sihat, supaya ia dapat digunakan untuk menunaikan tugas dan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah.

Namun dalam bersukan, ada batas yang perlu dipatuhi. Antaranya, sukan tersebut tidak boleh sehingga melanggar batas syarak yang ditetapkan. Contoh, walaupun dalam bersukan, pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi harus dielakkan sebolehnya.

Atas sebab itu, Dewan Pemuda PAS menzahirkan kebimbangan terhadap cadangan terbaru ISTAF dalam mewujudkan acara kategori regu campuran antara lelaki dan perempuan dalam sukan Sepak Takraw, yang akan pertama kali diperkenalkan dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok dari 23 hingga 31 Julai depan. Difahamkan, sebelum ini terdapat ura-ura untuk acara ini diperkenalkan pada Kejohanan Sukan SEA Kali ke-31 di Hanoi, tetapi tidak dapat dilaksanakan.

Pemuda PAS berpendapat tiada keperluan untuk mewujudkan kategori ini, selain ianya tidak sesuai dengan budaya ketimuran dan adat masyarakat Asia Tenggara selaku pewaris dan pengasas sukan Sepak Takraw. Dari segi kesesuaian juga, agak sukar untuk kategori ini dilaksanakan dengan baik kerana perbezaan fizikal dan kekuatan antara lelaki dan perempuan. Cadangan ini juga pernah ditegur oleh mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang menyifatkan ia sebagai acara sarkas dan cadangan mengarut.

Di sebalik mewujudkan kategori sebegini, adalah lebih baik sekiranya ISTAF dapat memperkasakan acara dan kategori sedia ada bagi mengangkat martabat Sukan Takraw di mata dunia. Begitu juga Persatuan Sepak Takraw Malaysia digesa untuk tidak menyertai kategori ini dalam Kejohanan Dunia tersebut. Adalah lebih baik segala usaha dan kudrat digunakan untuk menguatkan skuad yang sedia ada bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia di mata dunia dalam sukan Sepak Takraw. 

Setiap yang kita lakukan pasti akan membuahkan hasil dan kejayaan, seandainya prinsip syarak yang menjadi tunjang tidak digadaikan hanya untuk bersukan.

FAIZUDDIN ZAI 
Pengarah DACS
Dewan Pemuda PAS Malaysia –HARAKAHDAILY 26/5/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jom dakwah melalui sukan. Sukan patuh syariat.

Sukan dan riadah sebenarnya bukan asing dalam Islam, malah Rasulullah SAW sendiri bukan sahaja menyarankan umat Islam bersukan, bahkan beliau sendiri memiliki kecergasan dan kekuatan hebat.  Rukanah ibnu Abdu Yazid RA memeluk Islam selepas dikalahkan dalam pertandingan gusti dengan Rasulullah SAW.

Tokoh Quraisy itu memiliki badan tegap dan sasa yang hebat bergusti hingga mengalahkan mana-mana juara gusti di Tanah Arab pada zamannya. Bagaimanapun, berhadapan dengan Rasulullah SAW, ternyata menjadi pengalaman mengejutkan kerana Rasulullah berjaya memegang badan Rukanah, lalu membantingkannya ke tanah.

Malah perlawanan itu diulang sebanyak tiga kali atas permintaan Rukanah tetapi ketiga-tiga perlawanan itu menyaksikan Rasulullah SAW berjaya mengalahkannya hingga akhirnya akur dan mengalah.

Rukanah berkata: “Wahai Muhammad, tiada siapa pernah dapat membaringkan aku hingga jatuh terlentang dalam pertarungan selain daripadamu! Sebelum ini, engkaulah paling aku benci tetapi sekarang, aku menyaksikan tiada Tuhan yang lebih benar yang berhak disembah melainkan Allah SAW dan Nabi Muhammad SAW itu Rasul-Nya.” (HR Abu Daud dan Tirmizi)

Tindakan Rasulullah SAW itu semata-mata mengharapkan Rukanah dikurniakan hidayah dan menerima Islam. Apabila berlawan dengan Rasulullah SAW, Rukanah akhirnya kalah dan memeluk Islam. Inilah dakwah yang sangat menarik kerana membabitkan pelbagai pendekatan hingga gusti juga boleh menundukkan hati bukan Islam.

Dalam konteks semasa, pernah tindakan Juara Lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov mengucapkan takbir apabila menang, membuka hati peminat untuk melihat Islam daripada perwatakannya sebagai Muslim.

Metodologi dakwah Rasulullah SAW dengan pelbagai pendekatan perlu dijadikan contoh kerana ada kala Islam dapat diterima melalui kaedah tidak disangka. Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa juga menekankan aspek sukan sebagai cara hidup seperti ditegaskan Rasulullah SAW.

Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Orang beriman yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang beriman lemah. Dan masing-masing ada kebaikannya. (HR Ibnu Majah)

Selain faktor kesihatan beriadah memberi peluang ahli keluarga meluangkan masa yang berkualiti dengan melakukan aktiviti bersama. Sirah juga mencatatkan Rasulullah SAW berlumba lari dengan isterinya, Aishah RA, sekali gus membuktikan sukan merapatkan hubungan kekeluargaan.

Kali pertama Nabi SAW kalah, manakala perlumbaan kali kedua pula menang. Boleh sahaja jika beliau sentiasa menang tetapi sengaja kalah untuk melihat Aishah seronok. Banyak unsur kekeluargaan boleh diterapkan dalam sukan seperti kasih-sayang, tolak-ansur dan kegembiraan ahli keluarga.

Tidak hairanlah, Saidina Umar al-Khattab RA juga menyarankan anak-anak diajar memanah, menunggang kuda dan berenang. Masjid boleh menjadi medan menyuburkan sukan sebagai landasan berdakwah dengan menyediakan gelanggang atau aktiviti riadah bersesuaian. Masjid Nabawi pernah dijadikan gelanggang sukan melontar lembing oleh orang Habsyah dan Rasulullah SAW tidak menghalang aktiviti berkenaan.

Kini sudah banyak masjid membina gelanggang futsal dan kemudahan riadah yang lain di kawasan rumah Allah itu. Perlu sukan patuh syariat. Hadiah atau ganjaran kepada pemenang juga diharuskan sebagai penguat semangat atau galakan. Atau saling memberi hadiah juga sebagai tanda kasih-sayang. 

Falsafah sukan ada banyak, bukan untuk berseronok sahaja sebaliknya sebagai jalan bermasyarakat.  Dalam kajian berkaitan perkembangan anak-anak, mereka yang suka bersukan dan sosial didapati akan lebih cepat matang. Imam al-Ghazali berkata, sesiapa yang menghalang anak bermain dan bersukan, dia menghalang daripada kecerdikan. 

Sidikit mengenai sukan patuh syariat.

1. Pelihara bahagian tubuh atau aurat menurut hukum Islam, iaitu antara pusat hingga lutut bagi lelaki (mazhab Syafie), manakala aurat wanita ialah seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.

2. Pastikan jurulatih dan atlet daripada jantina sama. Sekiranya berbeza, batas pergaulan perlu dijaga selaras tuntutan syarak seperti jurulatih lelaki tidak boleh menyentuh ahli sukan wanita, begitu juga sebaliknya.

3. Pakaian sukan perlu memenuhi etika berpakaian ditetapkan syarak seperti menutup aurat, sopan dan bersesuaian dengan sukan diceburi, manakala pakaian wanita perlu longgar dan tidak menampakkan susuk badan.

4. Percampuran bebas antara lelaki dan wanita semasa bersukan dilarang. Tempat bersukan seperti gimnasium dan kolam renang perlu disediakan berasingan atau melaksanakan jadual masa penggunaan berlainan.

5. Tidak boleh bersukan hingga melalaikan kewajipan agama seperti solat.

6. Tidak mempedulikan kepentingan orang lain seperti bermain di jalan raya hingga mengganggu lalu lintas, membuat bising atau menyebabkan kecederaan kepada pihak lawan kecuali kemalangan atau tidak sengaja.

7. Sokongan keterlaluan khususnya penyokong fanatik hingga mencetuskan pergaduhan atau mengeluarkan kata-kata kesat, bercanggah dengan Islam yang menyeru kepada perpaduan dan kasih sayang.

8. Islam melarang jenis sukan terlalu ekstrim, berisiko tinggi dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada fizikal, mental serta spiritual umpamanya pertandingan makan makanan eksotik seperti kala jengking dan labah-labah, haram, najis, kotor serta menjijikkan.

9. Penepatan Rasulullah SAW bahawa haiwan dilarang daripada dijadikan sebagai sasaran kezaliman.

10. Wanita Muslim dilarang menyertai sukan yang bercanggah dengan fitrah kewanitaan dan bertentangan adab, adat serta tatasusila.

Sekian.

Perhatian: No telefon Ibnu Hasyim.com terkini 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails