Friday, May 13, 2022

Gabungan PAS-Umno beri impak berganda.. Pub, kelab malam X faedah..

 

1. Gabungan PAS-Umno beri impak berganda dalam perjuangkan Islam

KUALA LUMPUR: Gabungan antara PAS dan Umno akan memberikan impak berganda jika hasrat untuk untuk menyelaraskan perjuangan Islam dilaksanakan, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata demikian membalas cadangan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya PAS dibubarkan kerana berpandangan Umno turut membawa wadah perjuangan Islam selepas meminda perlembagaan parti pada 2019.

“Bukankah elok PAS yang sudah lama bawa wadah perjuangan Islam dan kini Umno pun sama mahu perjuangkan Islam jika selaraskan? Itu lebih beri impak dan kesan berganda,” katanya semasa dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Bagaimanapun kata Amzad, pendekatan Umno mahukan PAS dibubar untuk meperjuangkan islam agak janggal.

“Jika UMNO tiba tiba kata hendak memperjuangkan Islam pula, belum apa-apa sudah mahu minta PAS bubar, macam tidak berapa kena dan pelik pendekatan baru Umno yang kata mahu perjuangkan Islam? Islam minta kita satukan ummah, jangan sokong perkara yang salah,” jelasnya.

Pada Rabu, Ahmad Maslan dalam sebuah program yang disiarkan melalui Facebook Live mencadangkan PAS perlu dibubarkan kerana Umno turut membawa wadah perjuangan Islam.

Katanya, Umno sudah menjadi parti politik yang turut membawa wadah perjuangan Islam dan sudah meminda perlembagaan parti pada 2019 dengan meletakkan agenda mempertahan dan mendokong cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama, berbanding hanya mendokong perjuangan kebangsaan Melayu.

Tambahnya, Fasal 3.3 Perlembagaan Umno sebelum ini, iaitu menegak dan mempertahan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan, kini sudah diletakkan menjadi Fasal 3.1.

Tambah Ahmad, jika sebelum ini Umno merupakan sebuah parti politik yang mendokong perjuangan kebangsaan Melayu, kini Umno adalah sebuah parti politik yang mendokong cita-cita agama Islam, kebangsaan Melayu, Bumiputera, anak negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Melayu dan kemakmuran serta kestabilan negara berdasarkan Fasal yang dipinda pada 2019. – HARAKAHDAILY 13/5/2022

2. Pub, kelab malam dibenarkan kembali beroperasi: Umat Islam perlu dilarang masuk 

KUALA LUMPUR: Pub dan kelab malam berlesen tidak mendatangkan faedah yang besar kepada negara dan tiada sebab kenapa ia perlu dibuka semula kepada orang ramai, khususnya kepada umat Islam yang seharusnya dilarang atau sama sekali tidak dibenarkan masuk ke situ.

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pub dan kelab malam yang diumumkan kerajaan baru-baru ini bakal dibuka semula berkuatkuasa esok Sabtu, 14 Mei, selepas ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19, tidak mendatangkan manfaat kepada Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Apa keperluan penting untuk membuka semula kelab malam dan pub? Hal ini demikian kerana ia membuka ruang kepada orang Islam untuk mengambil kesempatan.

“Pada pandangan saya, sebenarnya tidak perlu digalakkan agar pub dan kelab malam kembali beroperasi di negara ini seolah-olah ia seperti galakan kepada mereka yang memang menantikan pub dan kelab malam dibuka semula,” tegasnya kepada HarakahDaily.

Menurutnya, sekiranya pub dan kelab malam perlu juga dibuka, penguatkuasaan yang tegas perlu dilaksanakan khususnya terhadap umat Islam.

“Kalau mahu buka  juga (pub dan kelab malam), terpulanglah tetapi syaratnya orang Islam hendaklah dilarang masuk ke situ,” ujarnya. 

Datuk Nadzim Johan

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya orang Islam melanggar syarat tersebut, maka tanggungjawab hendaklah diserahkan kepada pemilik kelab atau pub terbabit yang sewajarnya perlu dikenakan hukuman denda maksimum sebagaimana denda untuk kes melanggar peraturan Covid-19 sebelum ini yang turut dikenakan denda yang tinggi.

Sementara itu, Ketua Program Psikologi, Jabatan Pendidikan & Psikologi, Fakulti Pengurusan, Pendidikan & Kemanusiaan, Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Dr Anizah Mohamed pula berkata, pembukaan semula pub dan kelab malam berlesen di negara ini langsung tiada keperluan.

Menurutnya, kerajaan seharusnya perlu bijak dalam menangani perkara tersebut. Jika kerajaan ingin terus menutup operasi ini,  ujar Dr Anizah, ia mungkin usaha yang tidak berhasil kerana pastinya akan wujud campur tangan dan tentangan lagipun perniagaan pub dan kelab malam ini sudah lama beroperasi di Malaysia.

“Pada pendapat peribadi saya sebagai seorang Muslim, sememangnya saya tidak bersetuju pub dan kelab malam dibenarkan kembali beroperasi di negara ini. 

Dr Anizah Mohamed

“Justeru, saya sarankan kepada kerajaan agar boleh mula  mengecilkan pengoperasian perniagaan ini dan ia dimulakan dengan undang-undang terhadap umat Islam,” tegasnya. 

Katanya lagi, larangan dan hukuman perlu dikuatkuasakan kepada umat Islam yang memasuki pub dan kelab malam berlesen tersebut.

Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataannya memaklumkan, protokol pengoperasian pusat hiburan itu telah dimuat naik di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di asset.mkn.gov.my.

“Operasi pub dan kelab malam berlesen yang dikategorikan dalam senarai negatif telah dihentikan operasi selama hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19,” kata kementerian itu.

Menurut kenyataan KPKT itu lagi, setelah mendapat pandangan Kementerian Kesihatan (KKM), KPKT telah mengeluarkan Protokol Pengoperasian Pub dan Kelab Malam Berlesen tersebut sebagai rujukan kepada semua penggiat dalam industri berkaitan.

Susulan itu, KPKT meminta semua penggiat dalam industri pub dan kelab malam berlesen di negara ini dapat mematuhi perkara-perkara penting yang telah digariskan dalam protokol tersebut bagi mengekang penularan kes positif Covid-19 semasa fasa transisi ke fasa endemik ini. 

Sementara itu menerusi poster dikongsi KPKT, protokol tersebut membenarkan kapasiti premis 100 peratus ruang tari. 

Selain itu, pelanggan perlu menjalani ujian kendiri Covid-19 dan premis perlu mempunyai pengudaraan serta ventilasi yang baik. – HARAKAHDAILY 13/5/2022

3 comments:

  1. Islam pada praktik, tapi tidak pada ilmu. Kalau ada pun, cupus sangat. Akhirnya tak dapat beza politik wang, rasuah, suapan. Sebab itu perlu ada ilmuan Islam yang berpolitik.

    Yang politiknya berasaskan syariah. Yang guna syariah sebagai garis panduan untuk berpolitik. Ini sangat kurang dalam umno. Kalau adapun cuma sorang dua.

    Akhirnya dalam politik umno, yang sorang dua akan ditunduk oleh yang majoriti. Tak selesai juga rasuah, politik wang, suapan, salah guna kuasa. Dulu ada deb, x capai pun.

    Kalau buat dasar pun, potensi gagal berulang macam 60 tahun berkuasa. Cakap lain, buat lain. Perlu rakan yg bersih. Perlu nasihat.

    ReplyDelete
  2. Rakyat dapat menilai siapa yang lebih berwibawa dan menang dalam perdebatan Bossku vs Bang Non. Akhirnya Tun Mahathir yang tewas dan panas bontot..

    Anwar hanya berkelulusan Pengajian Melayu (sastera) dari Universiti Malaya. Beliau secara ilmiahnya sudah tentu kurang arif dalam bab ekonomi.

    Jika Anwar protes ‘bailout’ terhadap Sapura Energy dalam debat Bossku vs Bang Non , ia nya terhasil dari rekod buruk di zaman Mahathir dan Daim. Anwar jelas menyerang Mahathir dan bukan Najib.

    Sekiranya beliau membuat “homework” atau persiapan berkenaan topik perdebatan semalam maka tidaklah beliau kelihatan terpinga-pinga atau “blur” ketika Datuk Seri Najib membentangkan isu ekonomi negara.

    Anwar Ibrahim dilihat gagal membuat persiapan untuk acara debat tersebut.

    Itu lah kelebihan Bossku berbanding Bsng Non dan Tun Mahathir. Bang Non lebih pada champion retorik dan goreng penyedap rasa tanpa fakta dan statstik.

    Manakala Tun Mahathir akan selalu berdasarkan pada persepsi dan fitnah jijik bila berhujah dan sering menafikan 'saya tidak tahu' dalam semua hal.

    Datuk Seri Najib pula mampu mengeluarkan statistik dan data, yang nampaknya gagal disangkal oleh presiden PKR itu.

    Bossku meletakkan statistik dan data daripada pengalamannya sebagai bekas perdana menteri dalam mempertahankan pandangannya.

    Komen Najib tentang bagaimana pekali Gini, yang mengukur jurang pendapatan, menyusut semasa beliau menjadi perdana menteri.

    Paling menonjol fakta ke laut dalam ada lah Anwar menyerang musuh nya Daim dan Mahathir secara tidak lansung.

    Kesemua rujukan “bailout’ yang disebut itu ada lah di zaman Mahathir bukan zaman Bossku fakta ke laut dalam Bang Non.

    Anwar perlu ada audit forensik berkenaan jumlah wang siapa tentukan semua itu serta jumlah nya.Maka jika Anwar protes ‘bailout’ terhadap Sapura Energy , ia terhasil dari rekod buruk Mahathir dan Daim bukan rekod buruk Bossku.

    Walaupun yang bedebat ada lah Anwar dan Najib, namun seluar Mahathir pula yang terlondeh.

    Kini semua tertumpu kepada yang tewas dalam berdebat, ia itu Mahathir.

    Malangnya fakta dan data yang berkembang dalam tempoh 22 bulan Pakatan Harapan memerintah yang menunjukkan kegagalan PH telah menyebabkan Anwar terpinga - pinga dan tidak mampu bertindak balas terhadap perkara ini.

    #gorengdanfitnahjijikrakyatdahmeluat

    ReplyDelete
  3. Ramai penyokong2 tegar UMNO yg suka dengan pendekatan2 yg dibuat oleh MB Kedah dalam membendung aktiviti2 judi seperti nombor ekor dan sebagainya. Oleh yg demikian eloklah sekiranya MN disemarakkan semula kerana ianya sangat digeruni kawan dan lawan. Ianya KUNCI kejayaan!

    ReplyDelete