Tuesday, May 17, 2022

Gandum melonjak. Perlu hemah & utama baang tempatan.

 

Sekatan eksport oleh India menyebabkan barangan tempatan berasaskan gandum akan menjadi lebih mahal - Foto hiasan

Harga produk berasaskan gandum bakal melonjak

KUALA LUMPUR: Tindakan India menyekat eksport gandum ke pasaran global termasuk Malaysia dijangka meningkatkan harga produk berasaskan bahan mentah itu, selain bakal menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi dunia.

Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata langkah yang dilaksanakan bagi melindungi kepentingan pasaran domestik India itu juga dilihat menambah tekanan ke atas rantaian bekalan gandum global yang terjejas akibat krisis Russia-Ukraine.

"Ini akan menyebabkan barangan tempatan berasaskan gandum akan menjadi lebih mahal, sekali gus boleh menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi.

"Situasi ini dijangka akan berterusan beberapa bulan lagi kerana bukan mudah meningkatkan kembali bekalan gandum dengan segera kerana ia bergantung kepada faktor cuaca dan permintaan peringkat domestik serta global.

"Justeru, rakyat Malaysia dinasihat berhemah dalam berbelanja dan mengutamakan barangan tempatan," katanya ketika dihubungi BH.

India melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta ketika gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi.

Harga gandum di India meningkat kepada rekod tertinggi dengan beberapa pasaran mencecah 25,000 rupee (RM1,418) satu tan, berbanding harga sokongan minimum ditetapkan kerajaan 20,150 rupee (RM1,143).

Bagaimanapun, kerajaan India menjelaskan, pihaknya masih membenarkan eksport membabitkan surat kredit sudah dikeluarkan serta atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka.

Pembeli global mengharapkan negara pengeluar gandum kedua besar di dunia itu untuk bekalan selepas eksport dari wilayah Laut Hitam merudum susulan pencerobohan Russia terhadap Ukraine.

Sebelum penguatkuasaan larangan itu, India menyasarkan untuk mencatat rekod eksport 10 juta tan gandum, tahun ini.

Larangan eksport oleh India itu boleh mengakibatkan harga global melonjak ke paras baharu, sekali gus menjejaskan pengguna miskin di Asia dan Afrika.

Peningkatan harga makanan dan tenaga mendorong inflasi runcit tahunan India melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun bulan lalu serta mengukuhkan pandangan ahli ekonomi bahawa bank pusatnya perlu menaikkan kadar faedah secara lebih agresif untuk mengekang harga.

Indonesia sebelum ini turut mengambil langkah menyekat eksport minyak sawit bagi mengekang kenaikan harga komoditi itu, di samping menjaga kepentingan pasaran domestiknya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata sesuatu yang tidak menghairankan apabila India sekat eksport gandum bagi mengawal permintaan dalam negara yang memiliki populasi kedua tertinggi dunia selepas China.

"Susulan peperangan Russia dan Ukraine yang menjejaskan bekalan gandum dengan kedua-dua negara itu membekalkan 30 peratus daripada keperluan dunia, maka tidak mengejutkan India pula mengambil tindakan demi kepentingan domestik.

"Selain kekurangan bekalan, kenaikan harga gandum dunia menyebabkan India sukar memenuhi permintaan negara pengimport, jadi India perlu mementingkan rakyatnya dahulu," katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, wujud juga gangguan imbangan pembayaran antara eksport dan import susulan kenaikan harga barangan termasuk gandum dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang menjurus kenaikan kadar inflasi dunia.

"Kenaikan harga gandum dunia mula memberi kesan kepada harga barang di Malaysia dan dijangka terus memberikan tekanan, apatah lagi ringgit lemah berbanding dolar AS.

"Ia dijangka berterusan kerana perang masih berlaku dan kemusnahan di Ukraine mengambil masa beberapa tahun untuk diperbaiki, itu pun seandainya perang tamat," katanya. (BH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: India melarang eksport gandum telah berkuat kuasa serta-merta, ketika gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman tempatan dan mencecah rekod paras tertinggi.

Pembeli global mengharapkan negara pengeluar gandum kedua besar di dunia ini untuk bekalan gandum, selepas eksport dari wilayah Laut Hitam merudum susulan krisis pencerobohan Russia terhadap Ukraine. Kesannya kini sudah melanda Malaysia.

Rakyat Malaysia diingatkan supaya hemah berbelanja dan mengutaman barangan tempatan. Apa cara lain lagi untuk mengatasi masalah ini?

Perhatian: No telefon Ibnu Hasyim.com terkini 014-400 2015

1 comment:

Unknown said...

India import banyak minyak sawit dr.<Malaysia.tidakkah kita boleh berbuat sesuatu..selain India..kita juga import dr.Australia dan Argentina.Mungkin ini boleh mengurangkan kesan kenaikan harga.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails