Monday, May 16, 2022

N/Izzah bongkar rapuh PH.. perlu 5 tahun/2 pusingan..

 

Pendedahan Nurul Izzah bongkar realiti kerapuhan PH

Ramai terkejut apabila Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, membuat kenyataan bahawa Pakatan Harapan (PH) mungkin memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun atau dua pusingan Pilihan Raya Umum (PRU) untuk kembali menguasai Putrajaya.

Walaupun tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden, suara Nurul Izzah dilihat berpengaruh atas kapasiti sebagai anak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nurul Izzah yang disifatkan pemerhati politik sebagai mewakili ahli politik generasi baharu dengan pandangan objektif, juga berpandangan bahawa PH bakal berdepan laluan sukar dan kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU Ke-15 (PRU-15).

“Saya rasa tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan kita kena bersedia untuk kalah dua pusingan untuk impak lebih positif serta kembali diterima oleh rakyat.

“Kenapa saya mempunyai pandangan negatif mengenai keputusan PRU-15? Saya amat realistik kerana pada saya, kita akan mengambil masa untuk menawarkan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan keadaan yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan sebelum ini,” katanya.

Namun, pandangan berterus-terang Nurul Izzah, disanggah pemimpin PH lain, termasuk Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menyatakan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP juga tidak bersetuju dengan tindakan mempertikaikan kebolehan parti sendiri, kemudian dimaklumkan kepada umum.

“Adakah patut, kita beritahu pada tentera kita, kita akan kalah dalam perang ini ketika kita telah susun tentera kita nak pergi berperang.

“Nak jadi pemimpin parti politik atau panglima tentera, kalau kita sedar ada masalah untuk menang, kita sepatutnya bina strategi. Pastikan strategi itu boleh memenangkan kita,” katanya.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berpandangan sesiapa sahaja ahli dalam PH boleh mengeluarkan pandangan, namun PH tidak boleh mengizinkan Barisan Nasional (BN) kembali memerintah.

Pengarah Komunikasi Amanah yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berkata PH perlu mengeluarkan mesej positif kepada pengundi untuk memenangi PRU-15.

Katanya, perpaduan parti dalam PH untuk menentang BN adalah satu mesej positif yang boleh menggalakkan rakyat untuk keluar mengundi sekali gus memastikan kemenangan PH.

“Kalau kita nak gerakkan pengundi untuk keluar mengundi, kita mesti menzahirkan satu mesej kita menang. Inilah cara paling berkesan untuk menjamin lebih ramai keluar mengundi.

Nurul Izzah kemudian memohon maaf kerana membuat ramalan itu sambil menyatakan bukan berniat untuk mengguris hati mana-mana pihak, sebaliknya hanya cuba memberi bayangan senario yang terburuk mungkin berlaku pada dua PRU itu kelak.

Bagaimanapun, kerosakan sudah berlaku. Kenyataan Nurul Izzah, secara tersurat mengesahkan kegagalan PH menunaikan manifesto PRU-14 apabila diberi peluang membentuk kerajaan selama 22 bulan.

Walaupun ada yang berpandangan bahawa tempoh itu sangat singkat berbanding BN yang berkuasa selama lebih enam dekad, rakyat sukar melupakan kekalutan politik dan pentadbiran negara dengan kebanyakan manifesto tidak ditunaikan dengan 1,001 alasan.

Prestasi buruk PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor, menambah kebimbangan pimpinan gabungan parti pembangkang dan dalam situasi begini, kenyataan bekas Naib Presiden PKR itu bukan sesuatu yang dialu-alukan.

Namun, pemimpin PH yang kelihatan paranoid dari segi politik, jelas terlepas pandang dengan kenyataan Nurul Izzah yang pada masa sama turut meramalkan bahawa parti lain, terutama Umno juga berdepan kemungkinan hilang banyak kerusi pada PRU-15.

Walaupun ada desakan dari Umno terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya PRU-15 dipercepatkan kerana keyakinan parti itu dan BN untuk menang, senario di PRN berbeza dengan peratusan rakyat keluar mengundi sangat rendah.

Menurut Nurul Izzah: “PRN Melaka dan Johor berlangsung sebelum kita memasuki fasa peralihan endemik lagi seperti sekarang. Apabila semua sektor ekonomi sudah dibuka sepenuhnya, sudah pasti pengundi akan keluar beramai-ramai.”

Namun, pertelingkahan dalaman akan menyukarkan penonjolan imej positif seperti yang diharapkan Ahli Parlimen Shah Alam untuk menarik pengundi atas pagar.

Perebutan jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR antara Saifuddin Nasution dan Rafizi Ramli, mewujudkan dua kem dengan risiko perpecahan sama seperti ketika pertembungan sebelum ini antara Rafizi dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Bukan juga bukan rahsia bahwa keputusan pemilihan DAP baru-baru ini, menyaksikan beberapa pemimpin yang rapat dengan bekas Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, seperti Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, gagal mempertahankan kedudukan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC)

Walaupun pergolakan politik dalam DAP tidak serius seperti PKR, tetapi tetap memberi kesan terhadap prestasi hambar parti itu dalam PRN Melaka dan Johor. – HARAKAHDAILY 11/5/22

Perhatian: No telefon Ibnu Hasyim.com terkini 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails