Thursday, May 12, 2022

Peluk Islam lepas dengar nasyid & pelakon Margaret Gan

 

Gambar kiri; Jasmina mengikut kuliah agama bersama saudara baharu lain di Kompleks Darul Hidayah. Gambar kanan; Jasmina lengkap berpakaian raya mahu sambut Aidilfitri di ibu negara. - Foto/Ihsan Jasmin Abdullah

1. Peluk Islam selepas dengar lagu nasyid di YouTube

KUALA LUMPUR: Syawal membawa 1001 memori indah kepada saudara baharu, Jasmina Abdullah, 21, apabila kali pertama dapat merayakan sambutan Aidilfitri bersama keluarga angkat di Koothanallurm, Tamil Nadu, India.

Baru sahaja kembali ke tanah air, Ahad lalu selepas lebih seminggu di India, menurut Jasmina, 1 Syawal disambut pada 3 Mei di sana, diraikan dengan meriah meskipun tidak ramai umat Islam menetap di Koothanallurm.

Jasmina ke sana bersama bapa angkatnya, iaitu seorang warga India yang sudah lama menetap di Malaysia dan bertanggungjawab membantunya memeluk Islam tahun lalu.

Mereka menaiki penerbangan ke Tiruchirappalli (Trichy) sebelum menempuh perjalanan beberapa jam dengan kereta ke Koothanallurm untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga bapa angkatnya.

Menurutnya, di Koothanallurm, hanya lelaki menunaikan solat Aidilfitri di masjid manakala wanita solat di rumah.

Selepas selesai takbir raya dan solat Aidilfitri, mereka disajikan pelbagai hidangan, iaitu nasi briyani, lauk-pauk mirip rendang ayam dan pelbagai manisan.

Jasmina sempat membawa dua pasang persalinan baharu, berkata beliau sudah lama ingin ke India dan tidak menyangka dapat meraikan Aidilfitri di sana.

"Saya lihat sambutan Aidilfitri berbeza di India. Tiada sesi bermaaf-maafan, tetapi suasana tetap meriah tambahan lagi kediaman keluarga angkat saya menerima ramai tetamu.

"Saya sudah lama tidak dapat menemui adik-beradik kandung di tanah air sejak memeluk Islam jadi kemeriahan Aidilfitri dikelilingi keluarga angkat sedikit sebanyak mengubat kerinduan kepada mereka," katanya kini tidak sabar merasai pengalaman menyambut Aidilfitri di tanah air.

Jasmina yang sudah lima bulan memeluk Islam sejak Disember lalu, berkata kemeriahan Aidilfitri menguatkan kerinduannya kepada kakak serta adik-adiknya yang kali terakhir berhubung, pada hujung tahun lalu.

"Ada halangan kami tidak dapat berhubung lagi, tetapi saya amat berharap dapat bertemu mereka dan kembali sebagai sebuah keluarga," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik ini berkata, kini giat mengikuti pengajian asas enam bulan di penempatan sementara bagi saudara baharu di Kompleks Darul Hidayah, Sentul, di sini.

Beliau mendalami Islam sebagai cara hidup dan gembira berkongsi mempelajari al-Quran dan hampir menghabiskan Iqra empat.

Mengikut kuliah agama dan belajar Iqra antara rutin Jasmina dan saudara baharu lain di Kompleks Darul Hidayah.

Membesar tanpa kasih sayang ibu dan ayah, Jasmina yang tinggal di sebuah pertubuhan kebajikan di Selangor sejak usia tiga tahun berkata, pengalaman sebagai saudara baharu dirasakan amat manis apabila kali pertama berpuasa, bersahur, berbuka dan solat tarawih pada Ramadan lalu.

Jasmina bangun seawal jam 4 pagi untuk solat Tahajud sebelum bersahur dengan hidangan disediakan Kompleks Darul Hidayah.

Mengakui penat menahan lapar dan dahaga, tetapi selepas berbuka, mereka solat tarawih bersama.

"Bukan mudah berpuasa sebagai saudara baharu, tambahan pula saya ada gastrik, tetapi

bersyukur dapat menghayati kepayahan orang miskin," kata gadis dari Tapah, Perak ini.

Sejak bersekolah rendah, Jasmina sudah berkawan dengan rakan beragama Islam. Tidak hanya menyarung tudung sekolah, malah beliau pernah cuba memasuki surau kerana begitu tertarik dengan Islam.

Tetapi tarikan itu dirasainya hilang perlahan-lahan ketika Jasmina bersekolah menengah, hingga secara tidak sengaja melayari lagu nasyid di YouTube, tahun lalu.

"Nasyid dalam pelbagai bahasa saya tonton pada masa itu mengembalikan ingatan kepada Islam yang sudah lama dilupakan.

"Saya ambil masa beberapa bulan belajar mengenai Islam dengan bantuan bapa angkat dan selepas yakin, saya membuat keputusan mengucap dua kalimah syahadah," kongsinya.

Pengetua Kompleks Darul Hidayah, Saiful Azhar Wahab, berkata Jasmina antara hampir 40 saudara baharu yang menetap di situ sejak awal tahun ini.

Kemudahan penempatan sementara serta tempat pengajian dibangunkan Majlis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) sejak 2017 itu, boleh menempatkan 300 saudara baharu dalam satu-satu masa.

Sejak Januari lalu, hampir 100 saudara baharu mengikuti kelas pengajian mengikut tahap asas, pertengahan dan lanjutan selama enam bulan, bagi meningkatkan kefahaman mengenai Islam. (BH)

2. 'Saya lebih tenang' -pelakon Margaret Gan.

Dalam suasana penuh emosi, Margaret memeluk Islam di hadapan anak tunggalnya, Mohd Taufik pada 15 Februari lalu.

KUALA LUMPUR: Lebih separuh abad mengabdikan diri dalam dunia seni, pada usia 79 tahun, pelakon veteran Margaret Gan yang sering menghiasi kaca televisyen (TV) dalam drama menyentuh hati pada era 1980-an, beroleh hidayah untuk melafazkan dua kalimah syahadah. 

Pada 15 Februari lalu, dalam suasana penuh emosi, Margaret yang sudah biasa dengan kehidupan orang Melayu dan amalan umat Islam sejak zaman persekolahan, memeluk Islam di hadapan anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan, 36.

Mohd Taufik terlebih dahulu mengucapkan dua kalimah syahadah ketika menuntut di universiti, kira-kira 20 tahun lalu.

Berkongsi cerita, Margaret yang manis berhijab mengaku Mohd Taufik tidak pernah mendesak agar mengikut jejak langkahnya memeluk Islam.

"Sebenarnya, hati sudah lama terdetik memeluk Islam. Anak tidak pernah mendesak. Cuma sekali-sekala dia bertanya bila saya mahu peluk Islam.

"Minggu lalu, tiba-tiba saya terus bersetuju apabila dia bertanya lagi.

"Saya meminta dia menguruskan hal berkaitan pengislaman. Anak memang terkejut mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut saya hingga berkali-kali dia bertanya, apakah betul keputusan yang saya ambil.

"Taufik menangis terharu dengan keputusan ini (peluk Islam). Mungkin dia sudah lama menantikan saat cukup bermakna ini," katanya kepada BH Online pada majlis anjuran Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) di ibu negara, baru-baru ini.

Margaret berkata, Taufik mengajarnya melafazkan syahadah dan merakamkan video pada detik itu di kediaman mereka.

"Taufik kemudian menghantar rakaman video kepada seorang ustaz yang tidak sempat datang ke rumah kami.

"Insya-Allah, kami akan pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) minggu depan untuk urusan selanjutnya," katanya.

Margaret yang dilahirkan di Batu 6, Jalan Klang Lama, Petaling, mengaku sudah biasa dengan amalan hidup orang Islam terutama sejak Taufik menjadi muslim. 

Margaret pernah menghadiri ceramah Datuk Ustaz Kazim Elias sebelum memeluk Islam. - Foto Facebook Ustaz Kazim Elias

Ketika anaknya menyuarakan hasrat memeluk Islam, Margaret tidak menghalang, sebaliknya, meminta dia memikirkan keputusan itu sebaik-baiknya.

Margaret menasihati Taufik agar tidak 'hangat-hangat tahi ayam' kerana menyedari ada ramai saudara-mara yang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai orang Islam sebaik-baiknya selepas melafazkan syahadah.

"Saya tidak halang. Saya minta Taufik jangan buat separuh jalan. Ada saudara-mara yang masih mengamalkan cara hidup lama walaupun sudah beragama Islam.

"Walaupun anak sudah memeluk Islam, kami tinggal bersama. Soal makan dan sebagainya tidak menjadi masalah kerana apa yang anak masak, itulah yang saya makan.

"Sehinggalah apabila anak berkahwin dan memiliki dua cahaya mata, kami terus tinggal sebumbung walaupun berbeza agama, sebelum ini.

"Saya juga sudah biasa melihat mereka bersolat dan mengamalkan gaya hidup Islam. Jadi, tidak sukar untuk saya melafazkan syahadah," katanya.

Berkongsi mengenai penampilan yang kini bertudung, pelakon filem 29 Februari itu berkata, Taufik menggalakkan agar dirinya berhijab.

"Taufik beritahu jika saya mahu berlakon, saya perlu bertudung. Jika tidak, dia tidak galakkan saya berlakon tanpa memakai hijab.

"Saya tiada masalah untuk bertudung kerana sudah biasa melihat menantu dan cucu berhijab.

"Alhamdulillah, saya rasa lebih tenang. Lagipun, umur saya menginjak 80 tahun pada 2023. Jadi, tiada apa lagi yang perlu saya tunggu," katanya yang mengekalkan nama sama.

Nama sebenar, Gane Ee Kek dan memulakan karier lakonan secara tidak sengaja pada usia lewat 20-an apabila sebuah syarikat produksi mencari pelakon berbangsa Cina.

Drama pertama lakonan adalah Kemarau Di Hujung Daun sebagai pelakon tambahan. Ini disusuli Dengan Keringat Aku Ingat dengan peranan lebih besar. (BH)

No comments:

Post a Comment